Pertahanan kebangsaan Malaysia, Junior Eldstal secara rasminya telah pun bergelar pemain import baharu dalam saingan Liga 1 Indonesia untuk mewakili Dewa United menerusi slot Asia Tenggara.
Pengumuman rasmi itu dibuat menerusi akaun Twitter Dewa United semalam, bersama ucapan selamat datang diberikan kepada Eldstal untuk menyambut pemain tersebut.
𝐎𝐮𝐫 𝐍𝐞𝐰 𝐂𝐞𝐧𝐭𝐫𝐞 𝐁𝐚𝐜𝐤 𝐟𝐫𝐨𝐦 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 🇲🇾
Selamat Datang @JuniorEldstal 🤝🖤#DUFC#anakdewa#liga1#BEBRAVE pic.twitter.com/0Q2ma86SlG
— DEWA UNITED FC (@dewaunitedfc_) July 20, 2023
Eldstal yang memiliki banyak pengalaman termasuk pernah beraksi bersama Chonburi FC serta PT Prachuap di Thailand dianggap sebagai pemain bintang baharu buat pasukan tersebut menerusi reputasinya dalam karier bola sepak.
Malah, Eldstal juga menjadi antara pemain yang mencipta sejarah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memperoleh gelaran Piala AFC pada tahun 2015 serta banyak lagi kejohanan domestik lain bersama kelab tersebut.
Dengan karier beliau bermula di England untuk mewakili beberapa kelab tempatan sana, Eldstal tampil sebagai pemain warisan negara yang cukup berkualiti di posisi pertahanan tengah menerusi susuk tubuh dimiliki beliau.
Jelas pemilik kelab Dewa United iaitu Ardian Satya Negara, kelibat Eldstal sememangnya telah pun dipantau mereka dalam usaha untuk menambahkan lagi kekuatan di posisi pertahanan.
“Setelah mengharungi beberapa perlawanan serta melihat situasi semasa kelab, pengendali kelab ada menyatakan kepada kami untuk menambah kekuatan di posisi tengah.
“Tidak menunggu lama, kami cuba menghubungi Eldstal dan masing-masing mencapai kata sepakat sebelum khidmat beliau ditandatangani selaku import terbaharu kelab,” jelas beliau menerusi Goal.com.
Pada masa sama, Ardian turut menyatakan urusan pendaftaran Eldstal sudah pun selesai dan sudah pun bergelar pemain Dewa United secara rasmi untuk menyertai rakan sepasukan lain.
“Segala urusan pendaftaran membabitkan Eldstal sudah pun selesai dan beliau sudah pun rasmi bergelar pemain import baharu kelab.
“Semoga kehadiran Eldstal mampu menambah kekuatan kelab untuk saingan musim ini dalam Liga 1 Indonesia,” tambah beliau dengan penuh rasa semangat.
Dari Thailand ke Indonesia. Junior Eldstal sertai kelab Liga 1 Indonesia Dewa United FC. 🇮🇩⤵️ pic.twitter.com/age4VTZemf
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) July 20, 2023
Dengan rasminya kini Eldstal bergelar pemain Dewa United, beliau akan beraksi bersama-sama bintang Indonesia lain seperti Egy Maulana Vikri serta Ricky Kambuaya musim ini.
Untuk kedudukan semasa, Dewa United kini berada di tangga kedua liga menerusi dua kemenangan serta satu seri daripada tiga perlawanan dihadapi dan bakal berhadapan Persik Kediri pada hari ini.