Faisal Halim meledak jaringan kedua bersama skuad Harimau Malaya dan dilihat mengalir air mata selepas membantu Malaysia meraih kemenangan 3-1 berdepan Turkmenistan, dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023.
Ini perlawanan kompetitif pertama antara kedua-dua pasukan dan berada di atas Malaysia, Turkmenistan dijangka ada sedikit kelebihan untuk mendapatkan sesuatu, paling tidak mungkin meraih keputusan seri.
Sebaliknya berlaku, barisan bertenaga skuad negara mempamerkan 45 minit babak pertama berintensiti tinggi dan hasilnya tiga gol tercipta. Selain Faisal, gol Malaysia turut dilakar oleh Safawi Rasid dan Corbin Ong.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan E • Kelayakan Piala Asia 2023 | Rabu, 8 Jun 2022
TURKMENISTAN 🇹🇲 1-3 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Altymyrat Annadurdyyev 38'
⚽️ Safawi Rasid 11' Faisal Halim 16' La'Vere Corbin-Ong 45'+2#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/UUPKDSZ5pB— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 8, 2022
Faisal meraih kaps ke-8 dalam perlawanan malam tadi dan percaturan pengendali, Kim Pan-gon meletakkannya dalam kesebelasan utama membuahkan hasil. Mungkin ramai menjangkakan Akhyar Rashid akan diturunkan.
Beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik untuk perlawanan malam tadi. Air mata Faisal akhirnya melimpah.
Gol minit ke-16 yang diledaknya adalah hasil kuisan daripada bola yang didapatkan oleh Arif Aiman daripada pertahanan Turkmenistan sebelum membawa masuk ke dalam kotak penalti dan disudahkan dengan jaringan ‘trademark’-nya. Jika pemain lain yang berada di tempatnya, mungkin agak sukar untuk gol itu terhasil.
Sebak Faisal Halim melihat keluarganya menyaksikan beliau meraih gol pertamanya buat peringkat antarabangsa.
Congrats @FaisalHalim_7 dinobatkan Man of The Match perlawanan Malaysia vs Turkmenistan dan kerana berjaya menjaringkan gol pertama buat peringkat antarabangsa 🔥🔥 pic.twitter.com/3bHsrM5wAb
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) June 8, 2022
Ketika sesi post-match reaction bersama Astro Arena, bekas pemain skuad kebangsaan dan juga pengacara, Nizaruddin Yusof telah bertanya kepadanya perasaan ketika menjaringkan gol kedua buat skuad kebangsaan.
“Jujur saya cakap, memang saya sebak bang. Ini jaringan pertama dalam perlawanan antarabangsa di peringkat yang tertinggi. Ini semua untuk anda, untuk rakan-rakan saya, tanpa mereka, siapalah saya.”
Faisal Halim
Ia mungkin jaringan yang bermakna seperti yang dikatakannya kerana ia adalah jaringan di peringkat yang tertinggi – yang Malaysia bermain setakat ini. Sebelum ini, jaringan pertamanya adalah ketika berdepan Brunei dalam perlawanan persahabatan, yang mana Malaysia meraih kemenangan besar 4-0 pada 27 Mei lalu.
Jaringannya juga memastikan Harimau Malaya telah meraih kemenangan berharga ke atas Turkmenistan yang berada di ranking ke-134 dunia dan tiga mata pertama Malaysia dalam memburu tiket merit ke Piala Asia 2023.
Memang menjadi impian setiap pemain menyarung jersi skuad kebangsaan dan ia telah tercapai, malah sangat berharga pada malam tadi. Di usia 24 tahun, beliau boleh dianggap antara tunjang skuad kebangsaan di era Kim kini. Masih ingat bagaimana Faisal bermula? Mungkin artikel di bawah akan kembalikan ingatan kita.
[VIDEO]: Siapa Antara Pemain Cilik Ini Sudah Cipta Nama Di Arena Bola Sepak Malaysia?