Kelayakan Piala Asia: Bisa Serangan Malaysia Terlalu Tajam Buat Turkmenistan

kelayakan Piala Asia 2023

Pertembungan kompetitif yang pertama antara Turkmenistan dan juga Malaysia menyaksikan kemenangan memihak Harimau Malaya dengan jaringan 3-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023.

Strategi Kim Pan-gon untuk memastikan skuad negara menguasai permainan secara habis-habisan jelas kelihatan apabila Harimau Malaya melakukan tekanan tinggi seawal minit pertama permainan.

Airf Aiman dan Faisal Halim merupakan nadi utama gerakan serangan Malaysia dengan pergerakan dua pemain ini sering kali membuatkan Turkmenistan pening kepala.

Hasil tekanan tinggi itu berjaya meletakkan Malaysia di depan menerusi jaringan Safawi Rasid yang mengambil kesempatan diatas tepisan yang dicipta oleh penjaga gol Turkmenistan – Orazmuhammedov Mammet.

Tepisan itu berlaku selepas penjaga gol itu mahu menolak keluar hantaran lintang Arif yang kemudiannya jatuh ke kaki Safawi lalu disudahkan dengan baik.

Lima minit kemudian, Malaysia menambah lagi jaringan menerusi Faisal yang mengambil kesempatan selepas kesilapan pertahanan Turkmenistan.

Arif sekali lagi menjadi nadi apabila mencuri bola dari pertahanan lawan lalu menghantar kepada Faisal yang kemudiannya tenang menewaskan Mammet.

15 hingga 20 minit yang pertama cukup sukar untuk Turkmenistan apabila tekanan yang diberikan oleh Malaysia cukup tinggi. Namun, mereka berjaya mengawal sedikit demi sedikit permainan sehingga berjaya mendapatkan gol.

Persembahan Darren Lok juga menjadi masalah buat Turkmenistan apabila kehadirannya berjaya membuatkan pertahanan lawan bekerja keras dari sudut pertembungan fizikal.

Kealpaan pertahanan negara berjaya dihukum oleh Altymmyrat Annadurdyyev apabila beliau menolak bola mudah ke gawang Malaysia selepas tandukan Dion Cools dihalakan ke gol sendiri.

Tandukan Cools terkena palang dan ianya tidak dapat dikawal baik oleh Farizal Marlias lalu memberikan peluang untuk Annadurdyyev menjaringkan gol.

Momentum memihak Turkmenistan ketika itu dengan mereka semakin berani memasuki kawasan Malaysia.

Malaysia kembali memperoleh jurang dua gol apabila situasi tiga lawan empat dipenghujung babak pertama menerusi La’vere Corbin Ong.

Corbin Ong mungkin sedikit lambat untuk melakukan rembatan atau menghantar bola kepada Arif atau Faisal yang turut memberikan sokongan kepadanya, tetapi penyudahnya berjaya menghasilkan gol untuk negara.

Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan lebih fizikal ditonjolkan oleh Turkmenistan.

Persembahan yang ditonjol mereka itu sedikit sebanyak mengundang rasa tidak senang penyokong Harimau Malaya di Bukit Jalil kerana terdapat beberapa kali pemain-pemain negara dikasari.

Melihat kepada situasi itu, Kim Pan-gon mula memasukkan lebih ramai pemain yang keras dari segi fizikalnya untuk mengimbangi Turkmenistan seperti Junior Eldstal, Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh.

Percaturan itu jelas sekali membawa hasil apabila jentera serangan negara mula mengimbangi kekuatan fizikal pasukan lawan.

Tugas Turkmenistan di penghujung perlawanan semakin sukar apabila Bashimov Abdy dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Secara keseluruhan, benar sekali Turkmenistan gerun dengan serangan Malaysia dan ini terbukti apabila mereka memboloskan dua gol awal.

Turkmenistan cuba untuk menggunakan permainan fizikal di separuh masa kedua, tapi kebijaksanaan Kim memasukkan pemain lebih kuat fizikalnya seperti Eldstal dan De Paula membuatkan pasukan Asia Tengah itu terus buntu untuk mengejar Malaysia.

Keputusan penuh, Turkmenistan 1-3 Malaysia.

Kesebelasan utama

Turkmenistan: Orazmuhammedov Mammet (penjaga gol), Annagulyyev Guychmyrat, Amanov Arslan (ketua pasukan), Atayev Ahmet, Annayev Myrat, Tagayev Elman, Rejebov Berdimyray, Bashimov Abdy, Annadurdyyev Altymyrat, Saparmammedov Yhlas, Hojayev Resul

Malaysia: Farizal Marlias (penjaga gol) (ketua pasukan), Matthew Davies, Shahrul Saad, Faisal Halim, Darren Lok, Safawi Rasid, Arif Aiman, Syamer Kutty Abba, Azam Azih, Dion Cools, La’vere Corbin Ong

Leave a Reply