Kedudukan Josep Bartomeu Kini Dalam Bahaya

Josep Bartomeu

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu yang dikatakan menjadi dalang kepada permasalahan yang melanda kelab gergasi Sepanyol itu sejak kebelakangan ini bakal menghadapi usul undi tidak percaya terhadapnya.

Usul tersebut dikemukakan oleh sekumpulan ahli kelab menggelarkan diri mereka sebagai ‘Mes Que una Mocio’ [More Than a Motion] dan berjaya mengumpul sebanyak 20,687 tandatangan yang sah sebagai sokongan.

Jumlah itu juga bermakna sudah melebihi 16,520 tandatangan sah yang diperlukan untuk membuka referendum dalam usaha ‘menghumban keluar’ Bartomeu daripada The Blaugrana.

Sehubungan dengan itu, Barcelona diberikan masa selama 10 hari bekerja untuk bertindak dalam memberikan lampu hijau serta mengatur jadual pengundian [pungutan suara], yang akan dimulakan pada pertengahan bulan Oktober.

Menurut sumber Goal, pemecatan Bartomeu memerlukan majoriti 66 peratus, dengan jumlah mininum 10 peratus dalam kalangan ahli kelab.

Sekiranya undian tersebut berhasil, Bartomeu akan serta-merta meninggalkan jawatan yang disandangnya sejak 23 Januari 2013 itu dan ahli jawatankuasa sementara akan mengendalikan pemilihan presiden, yang akan dipercepatkan pada Disember ini.

Sebelum ini, Bartomeu telah menetapkan bahawa pemilihan presiden akan diadakan pada 20 dan 21 Mac 2021.

Bekas presiden, Joan Laporta bersama-sama Victor Font, Jordi Farre dan Luis Fernandez merupakan calon yang bakal bertanding bagi mengetuai kepimpinan tertinggi kelab Catalan itu.

Sudah pastinya keempat-empat mereka ini turut menandatangani petisyen bagi mengemukakan undi usul tidak percaya terhadap Josep Bartomeu.

Kredit featured image: Urbanandsport/NurPhoto via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Barcelona:

Leave a Reply