Deco: Tak Dapat Bayangkan Barcelona Tanpa Lionel Messi

Lionel Messi

Bekas pemain tengah Barcelona, Deco mengakui bintang bola sepak dunia, Lionel Messi perlu yakin bahawa The Blaugrana masih merupakan kelab yang tepat buat karier bola sepaknya.

Masa depan Messi bersama juara 26 kali kempen La Liga itu masih menjadi tanda tanya selepas beliau dikatakan mahu meninggalkan Barcelona susulan pelbagai masalah dalaman yang dihadapi kelab tersebut.

Kekalahan memalukan di tangan Bayern Munich pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tempoh hari nyata memburukkan lagi keadaan sehingga turut menyebabkan pengendali pasukan, Quique Setien dan Pengarah Sukan, Eric Abidal dipecat.

Dalam pada itu, Deco yang pernah beraksi bersama-sama Messi selama empat musim [2004/05 hingga 2007/08] mahu bekas rakan sepasukannya itu memikirkan sebaik-baiknya mengenai masa depannya di Barcelona.

”Saya tidak tahu [jika Messi mahu meninggalkan Barcelona], tetapi dia masih mempunyai baki kontrak,” ujar Deco menurut laporan Goal.

”Dia merupakan pemain yang ingin mengekalkan kemenangan dan ia akan bergantung kepada apa yang Barca akan lakukan apabila menawarkan kepadanya sebuah pasukan yang kompetitif. Saya belum bercakap dengannya, tetapi saya pasti itulah yang difikirannya.”

”Saya rasa dia perlu untuk memikirkan tentang masa depannya pada tahap kesukanan. Sangat sukar untuk membuat keputusan kerana kita bercakap tentang kelab sepanjang hidupnya, dia bukan berada di Barca untuk tiga atau empat tahun.”

”Kita juga bercakap tentang pemain terbaik dalam sejarah kelab dan keluarganya juga berada di bandar ini. Tidak mudah tetapi ia juga jelas bahawa dia mahu untuk mengekalkan kemenangan.”

”Kita tidak boleh bayangkan Barca tanpa Leo, tetapi ia masih boleh terjadi,” tambah Deco lagi.

Dalam perkembangan sama, terdapat juga cakap-cakap dalam kalangan peminat bola sepak tanah air berhubung spekulasi ini di mana mereka menganggap ‘amaran’ Messi untuk meninggalkan Nou Camp adalah hanya sebagai strategi untuk menaikkan gajinya untuk terus bersama Barcelona.

Apa-apa pun sangat menarik untuk kita menantikan keputusan Messi sama ada beliau akan terus kekal atau berkelana ke pasukan lain selepas lebih 20 tahun ‘menghambakan diri’ bersama The Blaugrana.

Kredit featured image: Dave Thompson – PA Images/PA Images via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Lionel Messi:

Leave a Reply