Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho menegaskan anak buahnya wajar dihukum susulan kelemahan mental yang dipamerkan pada aksi separuh masa kedua sehingga membenarkan West Ham United bangkit untuk mengikat kedudukan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21, awal pagi tadi.
Tottenham memiliki kelebihan tiga gol ketika perlawanan baharu sahaja berusia 16 minit menerusi jaringan awal Son Heung-min serta dua lagi gol dihasilkan Harry Kane. Tetapi segalanya berubah dengan sekelip mata pada 10 minit terakhir apabila skuad bimbingan David Moyes itu mempersembahkan kebangkitan dramatik.
Ia bermula dengan jaringan pemain pertahanan tengah kelahiran Paraguay, Fabian Balbuena yang merapatkan jurang pada minit ke-82 dan kemudiannya Davinson Sanchez pula tertanduk bola ke gawang sendiri hanya berselang tiga minit kemudian.
Ketika perlawanan begitu hampir untuk ditamatkan, Manuel Lanzini meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti untuk mengikat kembali kedudukan sekali gus kelebihan tiga gol yang dimiliki Spurs lenyap dengan serta-merta untuk sekadar berpuas hati dengan satu mata.
Mengulas mengenai keadaan tersebut, Mourinho tanpa berselindung mengakui anak buahnya tidak cukup kuat dari segi psikologi untuk mengekalkan kelebihan dimiliki.
”Bola sepak. Sudah tentu saya perlu untuk menganalisis aksi di separuh masa kedua dan harus melakukannya secara dalaman, tetapi untuk anda, saya lebih suka untuk katakan itulah yang berlaku dalam bola sepak dan memuji kepercayaan [untuk bangkit] West Ham.”
”Tidak mudah untuk ketinggalan 3-0 dan menguasai permainan, untuk terus percaya. Saya tahu mereka merupakan sebuah pasukan yang berbeza berbanding musim lalu, tetapi kehilangan kelebihan tiga jaringan itu merupakan satu hukuman besar dan mereka [pemain Tottenham Hotspur] layak merasainya.”
”Saya mendapatinya dengan menganalisis di tepi bangku simpanan, beberapa perkara yang di luar konteks, sekali lagi tendangan bebas tidak langsung, gol sendiri dan bola kedua [second ball], ada bola [rebound],” ujar Mourinho menurut laporan Goal.
”Permainan masih di dalam kawalan, kami memiliki Harry Kane untuk menjaringkan gol keempat apabila terkena tiang gol, Gareth Bale [memiliki peluang] untuk mematikan perlawanan. Permainan lebih menuju kepada jaringan keempat tetapi itulah bola sepak.”
”Kami seharusnya menjadi lebih kuat. Pada separuh masa kedua, mereka [West Ham United] lebih berisiko, menekan dan memberi kami lebih banyak ruang. Kami seharusnya mendapat peluang untuk memenangi perlawanan ini.”
”Saya memberitahu kepada mereka untuk berhati-hati dengan situasi bola mati, yang kami tahu bahawa mereka sangat kuat. David [Moyes] telah menemui [Tomas] Soucek sebagai [Marouane] Fellaini baharu buatnya.”
”Pada akhirnya, mereka lebih bernasib baik, tetapi mereka bekerja keras untuk menjadi bertuah dan sebab itu saya memuji mereka,” tambah Mourinho lagi.
Kredit featured image: Matt Dunham – Pool/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Jose Mourinho: