Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menjelaskan bahawa tiada jaminan daripadanya terhadap pemain tengah, Henrikh Mkhitaryan mengenai masa depannya di Old Trafford.
Pemain kelahiran Yerevan, Armenia yang berusia 28 tahun itu merupakan pemain pertama direkrut oleh Mourinho pada musim panas 2016 dari Borussia Dortmund.
Prestasi turun naik yang dipamerkan Mkhitaryan telah menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap perancang tengah ini.
Mkhitaryan berada dalam prestasi yang memberasangkan pada permulaan saingan liga musim ini, namun lama-kelamaan aksi yang dipamerkannya semakin tenggelam hingga beliau kehilangan tempat sebagai pemain di kesebelasan utama.
Pada perlawana pusingan ketiga Piala FA bertemu Derby County, Mourinho telah bertindak mengeluarkan Henrikh Mkhitaryan selepas tamat babak pertama perlawanan. Pengendali dari Portugal itu kemudiannya meminta maaf kepada Mkhitaryan atas apa yang dilakukannya pada perlawanan tersebut.
”Pendekatan saya terhadap pemain adalah setiap pemain mempunyai harga,” Mourinho mengulas ketika ditanya sama ada Mkhitaryan akan kekal ataupun tidak di United.
”Ia tidak kira siapa juga pemain tersebut, tidak kira tahapnya, tidak kira prestij dan statusnya, saya merasakan semua pemain mempunyai harga.”
”Dan saya bukannya jenis seorang pengurus yang buta. Buta dalam erti kata, pemain ini tidak boleh disentuh, tidak akan dijual.”
”Ketika jendela perpindahan dibuka, ianya terbuka juga buat mana-mana kelab untuk mendapatkan pemain kami. Kemudiannya terpulang kepada kami untuk membuat keputusan, ya atau tidak.”
”Ia terpulang kepada kami untuk menentukan apa yang kami fikir adalah harga yang tepat. Tetapi Mkhitaryan beraksi ketika perlawanan terakhir dalam Piala FA dan berkemungkinan akan bermain dalam satu lagi perlawanan (bertemu Stoke City).”
”Dia sedikit sama seperti pemain lain yang dikaitkan dengan gossip perpindahan.”
”Dia merupakan pemain kami dan adalah pemain yang baik. Jadi pada hari Sabtu dia menjalani latihan, hari Ahad dipilih dan dia akan beraksi pada hari Isnin.”
Ketika ini sedang hangat diperkatakan mengenai Henrikh Mkhitaryan bakal menjadi sebahagian daripada pertukaran yang akan dilakukan oleh Manchester United bagi membawa masuk Alexis Sanchez ke pasukan ditangga ke-2 Liga Perdana Inggeris itu.