Pengurus terkenal dunia, Jose Mourinho menganggap skuad Real Madrid pada musim 2011/12 adalah pasukan terbaik di Eropah pada ketika itu yang menyaksikan Los Blancos berjaya menamatkan dominasi tiga tahun berturut-turut Barcelona bagi menjuarai saingan La Liga.
Real Madrid yang ketika itu dibimbing Mourinho bukan sahaja muncul sebagai juara La Liga tetapi turut mencipta rekod dengan meledakkan 121 jaringan dan mengumpul 100 mata serta meninggalkan Barcelona dengan kelebihan sembilan mata.
Kecemerlangan itu bagaimanapun tidak mampu dijelmakan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah setelah Real Madrid dikecewakan Bayern Munich di peringkat separuh akhir selepas tewas 1-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Cristiano Ronaldo, Kaka dan Sergio Ramos gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu itu.
Namun bagi Mourinho, beliau masih beranggapan skuad yang dimilikinya pada musim 2011/12 itu adalah yang terbaik di Eropah.
”Pada musim tersebut, Real Madrid adalah pasukan terbaik di Sepanyol dan juga terbaik di Eropah.”
”Kerana itulah kami begitu sukar untuk menerima setelah ditewaskan oleh Bayern di saingan Liga Juara-Juara Eropah,” ujar Mourinho menurut laporan Goal.
”Menamatkan dominasi Barcelona dan melakukannya dengan mencipta rekod mata dan jaringan tertinggi membuatkan ia lebih menarik dan penting kerana kami melakukannya dengan sebaik mungkin.”
”Ia bukan hanya berkenaan kami memenangi La Liga, kami juga melakukannya dengan mencipta sejarah,” ujar Mourinho lagi.
Selepas tiga musim menabur bakti buat Real Madrid, Mourinho akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Sepanyol dan kembali semula ke Chelsea buat kali kedua.
Kredit featured image: Denis Doyle/Getty Images