Pengurus Manchester United, Jose Mourinho meneruskan siri pertikaman lidah dengan pengendali Chelsea, Antonio Conte dengan berkata dirinya tidak akan sama sekali akan digantung daripada tugas kerana isu rasuah.
Bekas pengendali skuad kebangsaaan Itali tersebut pernah digantung selama empat bulan daripada tugas ketika bersama Juventus pada musim 2012-13, kerana didakwa gagal melaporkan amalan rasuah ketika masih bersama Siena.
Bagaimanapun pada 2016, mahkamah di Itali akhirnya mendapati Conte tidak melakukan sebarang kesalahan atau terlibat dengan amalan rasuah di dalam kes tersebut.
Komen terbaru daripada Mourinho ini adalah sebagai respon kepada pengurus Chelsea tersebut setelah Conte berkata ia adalah pengendali dari Portugal itu yang terlupa akan sikap dirinya sebelum ini.
Sebelum ini, Mourinho berkata dirinya tidak perlu bersikap seperti badut di kawasan teknikal pasukan. Media di UK melaporkan ‘badut’ yang dimaksudkan oleh Mourinho ditujukan secara sinikal kepada Conte dan juga pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Ketika ditanya oleh wartawan mengenai perkara tersebut satu sidang media di kem Chelsea sempena perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Norwich City, Conte memberi reaksi dengan nada kemarahan sambil berkata:
“Saya berpendapat Mourinho perlu melihat kepada dirinya sendiri pada masa lalu. Atau mungkinkah beliau bercakap mengenai tingkah laku dirinya sebelum ini.”
“Kita semua tahu ada seseorang yang selalu memperhatikan setiap perkara di Chelsea. Anda boleh faham maksud saya? Dia telah pergi, namun sentiasa mengalihkan perhatian ke sini.”
“Sebenarnya saya rasa agak terganggu. Jika mahu berperang dengan saya, maka saya bersedia. Saya sudah meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.”
“Saya sudah bersedia untuk melawan untuk diri saya, untuk pemain kendalian saya, untuk kelab ini. Saya tidak ada masalah,” ujar Conte dengan marah.
Namun ketika mengenai respon balas Conte selepas menyaksikan pasukan kendaliannya menewaskan Derby County 2-0 di Old Trafford pada awal pagi tadi, Mourinho menafikan ‘badut’ yang dimaksudkan ditujukan sebagai Conte.
“Saya tidak menyalahkan pengurus Chelsea untuk respon tersebut. Saya boleh memahami respon oleh beliau. Tetapi saya bercakap mengenai diri saya,” ujar Mourinho.
“Saya berkata bahawa saya tidak perlu bersikap seperti badut untuk menunjukkan kesungguhan saya. Bahawasanya saya perlu menjaga emosi saya ketika perlawanan dengan cara yang lebih baik.”
“Untuk memberhentikan pertelagahan ini, saya cuma mahu berkata mengenai satu perkara. Saya pernah melakukan kesilapan ketika berada di kawasan teknikal satu masa dahulu. Ya, saya akan mengurangkan atau mungkin melakukan sedikit kesilapan selepas ini,” ujar Mourinho.
“Tetapi satu perkara tidak akan berlaku kepada saya. Sama sekali tidak akan berlaku. Iaitu digantung daripada tugas kerana amalan rasuah. Itu adalah perkara yang sama sekali tidak akan berlaku sama sekali,” tambah pengurus Manchester United itu.
Mourinho kemudiannya dimaklumkan oleh wartawan bahawa Conte pernah dikenakan tindakan kerana gagal melaporkan amalan mengatur perlawanan satu ketika dahulu.
“Pernahkah beliau dikenakan tindakan? Itu bukan saya,” ujar Mourinho sinis.
Sejak perlantikan Antonio Conte sebagai pengendali Chelsea menggantikan Jose Mourinho pada musim lalu, beberapa siri konfrontasi dan pertikaman lidah telah berlaku di antara kedua-dua pengurus ini.