Salah satu pembida untuk mengambil alih pengurusan pasukan Kedah, Koperasi Anak Kedah telah membuat diskusi secara langsung di Facebook page mereka, malam tadi.
Ia berkisar tentang isu yang sedang hangat diperdebatkan ketika ini iaitu hal nama dan logo pasukan selain intipati lain seperti pemilikan pasukan melalui koperasi, ‘fan based club’ dan sebagainya. Diskusi tersebut telah bersiaran langsung selama hampir 2 jam.
Salah seorang wakil, Shamsul Qamar yang merupakan seorang peguam berkata yang hasil daripada diskusi malam ini terutamanya mengenai logo dan nama pasukan, mungkin nanti boleh dibawa oleh mereka ke Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
“Sementara kita juga masih berkomunikasi bersama KFA, mungkin kita juga boleh tolong sampaikan hasrat hati penyokong kedah,” jelasnya mengenai tujuan utama perbincangan yang dibuat secara langsung bersama dua lagi ahli panel tersebut.
Baru-baru ini, KFA melalui presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan yang Kedah akan dikenali sebagai Darul Aman FC dan turut tersebar logo yang bakal digunakan yang kemudiannya mendapat respon negatif daripada pelbagai pihak.
Pihak koperasi sememangnya mengikuti dan mengambil maklum mengenainya serta turut senada dengan semua penyokong yang identiti Kedah wajar dipertahankan.
Kata Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman yang merupakan seorang ahli perniagaan dan penasihat koperasi, “Andai kata kalau kita berjaya untuk bersama dengan KFA, kami bagi pihak Koperasi Anak Kedah akan usulkan nama Kedah itu dikekalkan.”
Pada Shamsul Qamar mengenai isu ‘takut orang panggil ayam goreng KFC’ sekiranya diletakkan Kedah FC sebagai nama pasukan, ia bukanlah satu isu besar. Menurutnya, “Kedah tetap Kedah, sebagaimana Arsenal FC tetap dipanggil Arsenal.”
“Bagi saya apa benda baru kita hendak buat, penjenamaan semula atau sebagainya, identiti itu kena kekal. Janganlah kerana kita hendak buat benda baru, identiti semua hendak ubah. Kita tahu identiti pasukan kita. Itu jugalah yang penyokong mahukan.
“Saya bercakap sebagai seorang peguam. Apa sahaja berkaitan logo dan nama ini boleh diubah. Sebab Darul Aman FC itu adalah nama syarikat yang didaftarkan oleh KFA untuk tujuan penswastaan,” jelas Shamsul Qamar lanjut mengenainya.
Tambahnya lagi, nama syarikat dan pasukan boleh berlainan dengan memberikan contoh KFC yang sebenarnya dimiliki oleh Yum! Brands sambil menekankan sekali lagi kepada semua penyokong yang nama pasukan Kedah itu masih boleh diubah.
Shaizuan pula mengambil contoh terdekat sebagaimana yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed ketika menswastakan Lembaga Letrik Negara (LLN) yang kini dikenali dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Bagi seorang lagi ahli panel, Taufik, “Bagi saya secara peribadi, saya lebih gemarkan Kedah 1924. 1924 itu adalah sejarah kita dan unik. Banyak orang buat FC. Jadi kalau ikut saya, biar apa juga bahasa digunakan [untuk panggilan], Kedah tetap ada.”
“Kita kena tengok pasaran kita. Pasaran kita [setakat ini] Malaysia dan Asia Tenggara,” tekan Taufik lagi mengenai pemilihan nama sambil berkata yang identiti Kedah tetap perlu dikekalkan agar ia tidak terpesong jauh daripada sejarah pasukan sendiri.
Selain daripada itu, turut ditekankan dalam diskusi itu adalah bagaimana pemilikan menerusi koperasi boleh dijayakan. Sebagaimana diskusi itu membuka ruang untuk penonton melontarkan pandangan, begitu jugalah konsep yang dibawa koperasi.
Penyokong adalah pemegang saham dan apa yang dilontarkan oleh penyokong perlu diambil peduli. Penyokong yang memiliki saham pasukan layak untuk bersuara dan barulah membawa rasa ‘sense of belonging’ kepada semua penyokong Kedah.
Mengenai kewangan koperasi pula, ahli panel berkata yang semua telah dibentangkan kepada KFA dan ketika ini hanya menanti kata putus daripada pihak mereka. Koperasi ada duit ka? Itu mungkin persoalan yang timbul daripada semua pihak.
Begitu jugalah dengan KFA, persoalan yang sama berbangkit. Presiden KFA sebelum ini pernah menyatakan mengenai ‘proof of fund’ ketika mengulas mengenai pihak yang berminat untuk memiliki pasukan Kedah perlulah memiliki ‘proof of fund’.
Menurut Shamsul Qamar, penyokong perlu membezakan pemilikan pasukan daripada individu dan juga pemilikan oleh penyokong. Untuk individu mereka sememangnya memiliki kewangan yang kukuh dan kaya raya selain memiliki objektif tersendiri.
Kata Shamsul Qamar mengenai pemilikan menerusi penyokong, “Pada asasnya kita melihat kekuatan pasukan Kedah ini adalah pada penyokongnya. Apa salahnya kita gunakannya dan bersama-sama penyokong untuk [membina] pasukan.”
“Saya lihat ini peluang untuk kita ‘reset’ semula, buat daripada awal. Memanglah pada awal akan ada masalah sedikit. Orang tanya, koperasi ada duit ka? Koperasi Anak Kedah Berhad dari segi kewangan, kita adalah duit untuk perniagaan kita.
“Untuk projek bola ini pula, kita ada pelabur-pelabur yang sememang berminat, yang kita telah berjumpa. Kita ada ‘personal network’ kita [daripada perniagaan]. Boleh semak profil kita semua,” tambahnya lagi mengenai kewangan koperasi.
Disamping ada penaja, penyokong juga memiliki saham, di mana mereka memiliki kelab dengan memiliki saham. Contoh yang diberikan, jika ada yang tidak sukakan mereka sebagai ‘pemimpin’ nanti, penyokong boleh melantik pula individu lain.
Duit daripada pembelian saham adalah salah satu ‘proof of fund’ yang Koperasi Anak Kedah mahu bawakan. Penyokong yang mahu memiliki suara di dalam pasukan perlulah memiliki saham yang telah dilancarkan oleh pihak mereka sebelum ini.
Daripada diskusi itu, dapat difahami yang memiliki saham adalah berbeza dengan menaja pasukan. Penaja boleh angkat kaki pada bila-bila masa yang mereka mahu, sedangkan pemegang saham pula akan sentiasa berada bersama pasukan.
Untuk mengikuti lebih mendalam mengenai perkongsian pihak Koperasi Anak Kedah mengenai pemilikan menerusi penyokong, para pembaca boleh klik LINK INI.
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH UNITED