Manchester United ketika ini mempunyai waktu yang cukup mengujakan selepas pengendali sementara, Ole Gunnar Solskjær tiba di Old Trafford.
Mereka kembali mendapatkan rentak dengan menang 3 perlawanan berturut-turut dan pemain yang paling ketara mempunyai perubahan ialah Paul Pogba.
Pogba kembali ke prestasi terbaik beliau dan mula sedikit demi sedikit memberikan sebab mengapa Manchester United membayar harga yang mahal terhadapnya.
Menurut laman The Guardian, rakan sepasukan iaitu Jesse Lingard kini gembira kerana kembali melihat kualiti Pogba yang beliau ketahui sebelum ini.
“Kini saya sudah kembali melihat Paul Pogba yang biasa saya kenal.”
“Beliau kini cukup menikmati bola sepaknya. Pogba cukup gembira bermain dengan tugasan hanya duduk di tengah, sedikit ke kiri.”
“Pogba mempunyai kebebasan untuk lakukan apa saja. Beliau akan mara ke depan dan menjaringkan gol.”
Lingard jelas berterima kasih kepada Solskjær di atas usaha beliau mengembalikan prestasi Manchester United.
Pada hemat Lingard, pengurus sementara itu mempunyai kualiti yang cukup baik dalam pengurusan pemain atau man-management.
“Pengurus sementara ini cukup mantap apabila bercakap secara satu lawan satu dengan para pemain.”
“Ianya satu pengurusan pemain yang baik, beliau akan selalu bercakap dengan pemain dan beritahu apa yang mereka perlu lakukan.”
Manchester United menang 3 perlawanan pertama di bawah kendalian Solskjær dengan Pogba menjadi pemain terbaik perlawanan sebanyak 2 kali.
Lawan mereka seterusnya ialah Newcastle United di St. James’ Park.