AFC Piala Asia: Perjalanan Kempen Negara Tuan Rumah (Bahagian 1)

Piala Asia

Piala Asia merupakan kejohanan berprestij bagi pasukan bola sepak di Asia. Kejohanan ini dianjurkan 4 tahun sekali.

Tetapi, bagaimanakah perjalanan kempen negara tuan rumah semasa kejohanan ini diadakan? Ada pasukan yang menjadi juara di negara sendiri.

Tidak kurang juga yang gagal dan terkandas lebih awal.

Round-robin

4 edisi terawal menyaksikan pertandingan diadakan secara round-robin. Piala Asia yang pertama diadakan pada 1956 di Hong Kong.

Pada ketika itu, Hong Kong ditadbir oleh Britain. Mereka menduduki tangga ketiga selepas mengutip 2 mata daripada 3 perlawanan. Hong Kong seri sewaktu menentang Korea Selatan dan Vietnam Selatan. Tetapi mereka tewas kepada Israel.

Tuan rumah edisi 1960, Korea Selatan menjadi pasukan pertama dinobatkan juara di tanah air sendiri. Mereka menewaskan Vietnam Selatan, Israel dan Taiwan. Pada ketika itu, hanya 4 pasukan bertanding dan format round-robin dikekalkan.

Israel pula menganjurkan Piala Asia 1964. Israel menewaskan semua lawan yang dihadapi sewaktu kejohanan tersebut iaitu India, Korea Selatan dan Hong Kong. Mereka menduduki tangga pertama dan menjadi juara buat kali pertama.

Iran mengecapi kejuaraan sulung semasa menjadi hos Piala Asia 1968. Sumber: AFC.

Format round-robin ini digunakan buat kali terakhir sewaktu Piala Asia 1968 walaupun slot pasukan bertanding ditambahkan menjadi 5. Iran diberikan hak penganjuran kejohanan kali ini.

Iran memanfaatkan peluang ini dengan merangkul kejuaraan. Iran menewaskan Burma, Israel, Taiwan dan Hong Kong untuk kemenangan 100%.

Mansuh ’round-robin’

AFC memilih Thailand menjadi hos sewaktu Piala Asia 1972. Piala Asia 1972 memperlihatkan format baharu digunapakai iaitu peringkat kumpulan dan kalah mati.

Thailand menduduki tangga kedua Kumpulan 1 dan mara ke separuh akhir. Mereka tewas kepada Korea Selatan pada perlawanan tersebut.

Namun begitu, Thailand menewaskan Republik Khmer (nama lama Kemboja) melalui sepakan penalti 5-3 untuk merangkul tempat ketiga keseluruhan. Perlawanan tersebut asalnya terikat seri 2-2 dan pemenang terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.

Iran sekali lagi diberikan peluang untuk menjadi hos pada Piala Asia 1976. Iran menewaskan Kuwait pada perlawanan akhir untuk memenangi Piala Asia melalui gol tunggal Ali Parvin.

Kuwait memenangi Piala Asia di laman sendiri pada 1980. Sumber: AFC.

Kuwait mencoret nama dalam senarai pemenang Piala Asia. Mereka melakukan kejayaan tersebut sewaktu Piala Asia 1980 di mana negara Teluk itu menjadi tuan rumah.

Kuwait menewaskan Korea Selatan pada perlawanan akhir dengan jaringan 3 gol tanpa balas.

1984, 1988

Skuad Singapura semasa Piala Asia 1984. Sumber: AFC.

Negara Asia Tenggara, Singapura menjadi hos sewaktu Piala Asia 1984. Namun, mereka tidak dapat memberikan persembahan terbaik.

Singapura menewaskan India dan seri kepada Iran dalam perlawanan kumpulan. Sayangnya, mereka tewas kepada China dan Emiriah Arab Bersatu sewaktu peringkat kumpulan.

Singapura menduduki tangga ketiga Kumpulan 2 dan tidak dapat mara ke peringkat seterusnya. Format 1984 menampilkan 10 pasukan yang diagihkan kepada 2 kumpulan dengan setiap satu kumpulan dihuni oleh 5 pasukan.

Format Piala Asia yang menampilkan 10 pasukan kekal sewaktu Piala Asia 1988. Qatar juga gagal memanfaatkan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Mereka terkandas pada peringkat kumpulan walaupun menang ke atas Emiriah Arab Bersatu dan Jepun. Qatar tewas kepada Iran dan Jepun semasa aksi kumpulan. Kesudahannya, Qatar menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan 1.

1992, 1996, 2000

Jepun merangkul kejayaan semasa Piala Asia 1992. Sumber: AFC.

Jepun berjaya memenangi Piala Asia di gelanggang sendiri. Mereka mengalahkan Arab Saudi dalam final Piala Asia 1992. Gol tunggal Takuya Takagi memastikan Samurai Biru berjaya menewaskan Arab Saudi.

Tuan rumah 1996, skuad Emiriah Arab Bersatu beraksi baik. Namun kempen untuk menjulang trofi rebutan ini gagal. Emiriah Arab Bersatu kalah kepada Arab Saudi melalui sepakan penalti 4-2.

Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan selepas masa sebenar dan masa tambahan lalu ditentukan dengan sepakan penalti.

Lubnan diberikan hak penganjuran sewaktu Piala Asia 2000. Lubnan menduduki tangga tercorot Kumpulan A setelah seri kepada Iraq dan Thailand. Lubnan dimalukan di hadapan penonton sendiri apabila tewas kepada Iran dengan keputusan 4 berbalas 0.

Penutup

Bahagian kedua akan menampilkan sorotan aksi negara tuan rumah semasa Piala Asia 2004, 2007, 2011 dan 2015.

Harus diingat, Piala Asia 2007 menyaksikan 4 negara menjadi penganjur. Ia merupakan kali pertama dalam sejarah lebih daripada 1 negara menganjurkannya serentak bagi sesebuah edisi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN