JDT Tepati Ramalan, Julang Piala Malaysia 2019

JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup tirai musim ini dengan langkah bergaya selepas menjulang Piala Malaysia 2019 apabila berjaya menundukkan Kedah 3-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Memasang impian besar mahu mengulangi kejayaan edisi 2017, JDT membuktikan kejaguhan dengan menampilkan corak permainan kemas serta penguasaan permainan sejak dari wisel permulaan ditiup pengadil bertugas, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

Keyakinan tinggi skuad bimbingan Benjamin Mora itu terserlah sejak minit keempat selepas tandukan Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak berpunca daripada sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid sekadar singgah di tiang gol Kedah.

Kedah yang sudah kehilangan Renan Alves dan Rizal Ghazali sebelum aksi bermula terpaksa menelan satu lagi kepahitan apabila pemain pertahanan kiri, Azmeer Yusof terpaksa dikeluarkan pada minit ke-17 akibat kecederaan.

Penguasaan permainan oleh JDT membuahkan hasil pada minit ke-27 setelah Leandro Velasquez berjaya membuka tirai jaringan.

Gol tersebut terhasil susulan kombinasi menarik Syafiq Ahmad dan Gonzalo Cabrera yang kemudiannya disudahkan dengan ledakan dalam kawasan penalti oleh pemain import kelahiran Argentina itu.

Baddrol Bakhtiar kemudiannya hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-32 setelah tandukannya ketika situasi sepakan percuma hanya sedikit tersasar.

Namun, skuad Harimau Selatan tidak membiarkan Kedah terus memberikan tekanan apabila Safawi Rasid meledakkan sepakan percuma yang terus menewaskan Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim bagi melebarkan kedudukan.

Gandingan Safawi dan Syafiq Ahmad nyata menjadi igauan buat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak pada penghujung babak pertama, tetapi penyudah kurang berkesan Syafiq gagal menambah koleksi jaringan.

Syafiq bagaimanapun menebus kehampaan tersebut pada babak kedua selepas menanduk masuk bola hantaran lintang dilakukan  Mohd Afiq Fazail untuk mengukuhkan cengkaman buat JDT.

Kedah yang berusaha keras untuk mengurangkan defisit dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu JDT terutamanya menerusi situasi bola mati daripada Edgar Bernhardt dan Baddrol Bakhtiar masih tidak mampu untuk menembusi kekebalan pertahanan serta penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Kejayaan menjulang Piala Malaysia buat kali kedua itu menyaksikan musim 2019 boleh dikatakan antara kempen yang cukup manis buat JDT setelah turut menjuarai Liga Super buat kali keenam berturut-turut serta menikmati pengalaman beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Leave a Reply