Quantcast

KAJIAN & FAKTA

5 Perkara Final Piala Malaysia 2019: Kedah ‘Hilang’ Dalam Ramai, JDT Raih ‘Domestic Double’

Kedah menerima tamparan kedua selepas kehilangan tiga tonggak utama di benteng apabila tewas mudah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 3-0 dan gagal melunaskan dendam tewas pada Piala Malaysia edisi 2017, juga kepada JDT, sebentar tadi.

Kedah hilang dalam ramai. Kedah tenggelam dalam keriuhan para penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil. Harimau Selatan sejak awal permainan telah mengesahkan kejuaraan kedua Piala Malaysia buat mereka apabila mendominasi keseluruhan aksi dan memanfaatkan kelompongan di bek kanan Helang Merah.

Berikut adalah 5 perkara mengenai pentas final Piala Malaysia 2019 yang menemukan juara Liga Super, JDT dan juara Piala FA, Kedah.

Perubahan mengejutkan

Seperti dijangkakan, tiada perubahan kesebelasan utama JDT dan mereka mempertaruhkan barisan terbaik mereka. Untuk Kedah, seperti yang Semuanya BOLA jangkakan, pertahanan penuh pengalaman, Khairul Helmi Johari dan Amirul Hisyam Awang Kechik menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Duo ‘R’, Renan Alves dan Rizal Ghazali di benteng Helang Merah.

Namun, apa yang mengejutkan adalah peledak utama Kedah dengan sembilan gol peribadi, Fernando Rodriguez bermula di bangku simpanan dan posisinya diambil alih Jonatan Bauman, yang tempatnya pula digantikan oleh Edgar Bernhardt. Formasi yang sama menjadi pertaruhan Aidil Sharin berdepan JDT.

Jonatan Bauman JDT Kedah Piala Malaysia

FOTO: JST

Azamuddin Akil yang beraksi baik dalam separuh akhir juga tiada dalam kesebelasan utama seakan-akan memberi bayangan Kedah hanya akan ‘menikmati’ perlawanan akhir menentang JDT kali ini. Zaquan Adha yang kehilangan posisinya kepada Baddrol Bakhtiar sejak beberapa bulan lalu kembali ke dalam skuad utama.

JDT menekan posisi paling lemah Kedah

Seperti yang dijangkakan, Benjamin Mora akan mengerahkan anak buahnya untuk menyerang dan menyusup masuk menerusi posisi paling lemah Kedah pada aksi ini iaitu bek kanan yang kehilangan khidmat Rizal Ghazali buat kali pertama sepanjang musim 2019.

Hampir setiap asakan, Harimau Selatan menggunakan gerbang kiri mereka yang digerakan oleh Gonzalo Cabrera untuk memecah masuk ke kawasan gol Helang Merah. Dua gol di babak pertama mereka adalah berpunca gerakan daripada zon tersebut. Dan, gol ketiga oleh Syafiq Ahmad juga diterima daripada kawasan itu.

Harus diakui, tanpa Rizal Ghazali, bek kanan Kedah sangat longgar apabila menyandarkan harapan kepada pemain yang bukanlah posisi utamanya, malah hanya beraksi beberapa kali tahun ini. Ketiadaan Renan Alves menambah luka buat benteng juara lima kali Piala Malaysia itu yang kemudian kehilangan pula bek kiri, Azmeer Yusof yang mengalami kecederaan selepas 15 minit.

Dua pengendali asing bertarung

Kali terakhir dua pengendali asing membawa pasukan di pentas akhir Piala Malaysia adalah pada edisi 1997, di mana Selangor bertemu Pahang, yang menyaksikan Gergasi Merah mengatasi Pahang 1-0 untuk kejuaraan Piala Malaysia ke-30 mereka.

Luciano Figueroa JDT Kedah Piala Malaysia

FOTO: JST

Selangor ketika itu dibimbing oleh Steve Wicks dan Pahang pula dikendali oleh Jorgen Erik Larsen. Kejuaraan itu melengkapkan kejuaraan hatrik Piala Malaysia buat Selangor dan gol emas penyerang import, Christopher Kiwomya membantu Gergasi Merah membenam Pahang buat kali kedua selepas setahun berselang.

Dan selepas 22 tahun, dua pengendali asing kembali mewarnai pentas akhir Piala Malaysia di mana Benjamin Mora membimbing JDT, sementara Aidil Sharin yang berasal daripada Singapura pula membawa Kedah dengan penuh dramatik ke pentas akhir.

JDT raih ‘Domestic Double’

Gol jaringan Leandro Velazquez, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad memberikan JDT kejuaraan kedua Piala Malaysia sejak 2013. Ini juga merupakan piala kedua mereka pada musim 2019 selepas menjulang kejuaraan Liga Super selain Piala Sumbangsih.

Selepas tidak memberi fokus untuk saingan Piala Malaysia, JDT kembali bernafsu untuk menambah koleksi kejuaraan tersebut pada edisi kali ini dan sejak awal mendendangkan bahawa mereka serius mahu melangkah ke final dan mengucup trofi berprestij ini.

Kali terakhir Harimau Selatan meraih kejuaraan Piala Malaysia adalah pada edisi 2017 iaitu menewaskan lawan yang sama dengan keputusan 2-0 di Stadium Shah Alam hasil ledakan pertahanan, Aidil Zafuan dan Gonzalo Cabrera – kedua-dua pemain ini juga masih beraksi dalam kesebelasan utama pada malam ini.

Safawi Rasid JDT Kedah Piala Malaysia

FOTO: JST

Selain itu, Safawi Rasid menjadi penjaring terbanyak kejohanan apabila meledak 11 gol untuk Piala Malaysia kali ini dan menjadi penyerang tempatan pertama dinobat penjaring terbanyak selepas kali terakhir dilakukan oleh Hairuddin Omar (8 gol) ketika membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia edisi 2011.

Liga Juara-Juara Asia (ACL)

JDT dan Kedah, kedua-duanya telah layak ke pentas tertinggi kejohanan antara kelab-kelab Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) untuk musim 2020. Pentas final Piala Malaysia kali ini juga seperti perlawanan Piala Sumbangsih 2020 yang telah diawalkan.

Selaku juara Liga Super, JDT akan terus layak bersaing di peringkat kumpulan sementara, Kedah pula yang melayakkan diri sebagai juara Piala FA, akan memasuki kempen ACL menerusi pusingan kedua kelayakan yang akan berlangsung pada awal tahun depan.

Jika tahun ini hanya JDT yang membawa nama Malaysia selepas Perak dibenam wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai 5-1 di pusingan ketiga kelayakan, Kedah diharapkan akan melakukan yang lebih baik untuk bersama-sama JDT di peringkat kumpulan.

Penutup

Tahniah buat JDT atas kejuaraan kedua Piala Malaysia dan juga kejuaraan kedua mereka untuk musim 2019 selain kejayaan dalam Piala Sumbangsih pada permulaan musim 2019 yang lalu.

Ini adalah kejuaraan mudah buat mereka apabila Kedah sejak awal kehilangan khidmat dua benteng, Renan Alves dan Rizal Ghazali sebelum bek kiri, Azmeer Yusof pula menambah luka buat skuad kendalian Aidil Sharin tersebut selepas 15 minit babak pertama.

Tirai Liga Malaysia 2019 akhirnya dilabuhkan.

Kredit Featured Image: Johor Southern Tiger (JST)