EPL 2019/20: Manchester United Terkulai Layu di Bournemouth

Gol tunggal perlawanan oleh bekas pemain Manchester United, Joshua King pada akhir separuh masa pertama memberikan kemenangan pertama buat Bournemouth sejak September sekaligus mengakhiri rekod tiga kemenangan berturut-turut Manchester United.

United memulakan perlawanan dengan meletakkan David De Gea yang kembali mengawal gawang United sambil gandingan Scott McTominay dan Fred terus mendapat kepercayaan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer untuk mengemudi bahagian tengah. Pemain muda Mason Greenwood, James Garner dan Brandon Williams bersedia di bangku simpanan.

Marcus Rashford, Harry Maguire dan Victor Lindelof yang dilaporkan tidak cergas 100% sebelum ini semuanya memulakan perlawanan. Sementara Paul Pogba pula masih diketepikan kerana masih belum sembuh dari kecederaan buku lali.

Dari awal permainan, United aktif membuat serangan dalam cuaca hujan seolah-olah mereka telah pun melupakan rekod buruk aksi di tempat lawan sejak tujuh bulan lalu.

Minit ke-16, Bournemouth menuntut sepakan penalti diberikan kepada mereka selepas Fraser Foster dijatuhkan. Namun semakan VAR mendapati tiada sebarang sentuhan kepada pemain berkenaan.

Sebelum tamat babak pertama, Bournemouth akhirnya memecah kebuntuan mengakhiri kemarau gol selama 358 minit.

Hantaran lintang Adam Smith dari arah kanan didada Joshua King dan menyungkit bola melepas Aaron Wan-Bissaka kemudian terus melepaskan rembatan voli dari jarak dekat dan masuk melalui celah kaki De Gea. Gol pertama hasil dari sepakan tepat ke arah gol yang pertama dalam perlawanan.

Bermula separuh masa kedua, United seakan-akan hilang punca dengan Bournemouth menerus momentum serangan dan Harry Wilson dua kali mendapat peluang untuk menambah jaringan.

United mula membuat pertukaran dengan memasukkan Jesse Lingard bagi mengganitkan Andreas Pereira dan minit ke-82, pemain gantian Mason Greenwood hampir menyamakan kedudukan menerusi sentuhan pertamanya namun rembatannya terkena tiang.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan Bournemouth meraih kemenangan pertama dan enam perlawanan dan kembali meletakkan beban tekanan ke atas pengurus Solskjaer.

Leave a Reply