Sebaik sahaja pengadil Nazmi Nasaruddin meniupkan wisel penamat, Stadium Nasional Bukit Jalil bingit dengan ngauman Harimau Selatan.
Ianya rasmi. JDT: juara Piala FA Malaysia 2022. Shane Lowry terus bergerak ke arah Farizal Marlias, merangkul kepala kaptennya sambil bersorak kegembiraan.
Bergson da Silva melutut melafazkan kesyukuran sebelum membuka jersi dan menyertai keraian.
“Jelas sekali, JDT berada di level yang berbeza,” kata pengulas Wan Khairil Azwa selepas perlawanan.
Level apa yang membezakan kedua-dua pasukan ini? Data expected goal (xG) membuktikan memang ada perbezaan kualiti serangan JDT dengan Terengganu.
Tetapi bezanya tak ketara. Malah ia menunjukkan JDT sebenarnya hanya boleh menjaringkan 1.4 gol berdasarkan kualiti peluang yang diperolehi mereka.
Dalam erti kata lain, JDT outscored their xG. Terengganu sebenarnya melakukan tugas yang baik untuk mengehadkan JDT peluang berkualiti lebih tinggi.
Expected Goals (xG) via @FC_Python
Terengganu FC (0.49) 1 – 3 (1.4) Johor Darul Ta'zim
Tahniah @OfficialJohor ! pic.twitter.com/fEA9k1H8dU
— chunhang 🇲🇾 (@chunhang7) September 10, 2022
Bagaimana pun level JDT dengan Terengganu jelas berbeza dalam dua aspek. Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain sendiri mengakui hakikat ini.
“Dari segi kualiti dan pengalaman, memang kita jauh berbeza dengan JDT,” kata beliau.
Disebalik percubaan terbaik Terengganu untuk menyaingi JDT, jelas mereka tak mampu membayangi kualiti dan pengalaman anak buah Hector Bidoglio.
Kualiti JDT nampak jelas pada separuh masa pertama. Secara spesifiknya: kualiti pemain mereka bermain bola sepak berintensiti tinggi.
JDT banyak memenangi duels, mendapatkan bola kedua (second balls) dan mengekalkan bola di kawasan padang Terengganu melalui kualiti ini.
Hanya satu peluang berjaya dicipta Terengganu pada separuh masa pertama, dan ia berjaya digagalkan oleh kualiti kedua JDT yang disebut oleh Nafuzi: pengalaman pemain.
Secara spesifiknya: pengalaman Farizal Marlias dalam situasi 1v1.
Ketika Tchetche Kipre tampak hampir pasti menjaringkan gol pada minit ke-24, Farizal keluar dari garisan golnya pada masa yang tepat untuk menafikan cubaan penyerang dan kapten Terengganu itu.
ANALISIS: Bagaimana Tekanan Tinggi JDT ‘Matikan’ Taktikal Terengganu
Kejayaan merangkul trofi Piala FA kedua sejak 2016 ini mengesahkan kehandalan JDT. Dua puluh trofi sejak 2013 adalah buktinya.
Seberapa jauh mampu mereka pergi? Sebulan lepas, peminat dan pemerhati bola sepak tempatan merasakan Bidoglio memerlukan masa di JDT.
Tempoh peralihan akan berlaku. Ini masa paling ideal untuk pasukan-pasukan lain mendakap trofi.
Malam Sabtu lepas, telahan mereka berkubur. Jurulatih datang dan pergi di JDT. Tetapi kualiti pemain-pemain mereka kekal.
Sasaran seterusnya: trofi Liga Super.
Secara spesifiknya: trofi Liga Super kesembilan berturut-turut.
Misi: melabuhkan tirai perlumbaan kejuaraan Liga Super secepat mungkin bermula dengan kunjungan ke halaman PJ City pada malam 15 September ini.
Susulan kekalahan 2-3 Sabah kepada Selangor pada malam Sabtu lepas, JDT hanya memerlukan 7 mata sahaja daripada baki 6 perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan liga.
Jika misi ini berjaya dilengkapkan, kejuaraan Piala FA akan terasa seperti satu calitan dalam lukisan agung. Pelengkap untuk karya masterpiece.
Dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia, hanya Kedah berjaya menghasilkan masterpiece ini: juara treble. Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim.
Bidoglio tidak berselindung menyatakan gelaran juara treble adalah sasarannya.
“Saya juga berharap kita boleh mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga,” katanya selepas final Piala FA.
JDT sebenarnya berpeluang mengatasi rekod Kedah memandangkan mereka juga juara Piala Sumbangsih 2022. Tiada siapa pernah menjadi juara quadruple di Malaysia.
Imbas kembali musim-musim gemilang JDT yang lepas, musim paling gemilang mungkin adalah musim 2015 apabila mereka menjuarai Liga Super, Piala Sumbangsih dan Piala AFC.
Atau mungkinkah sepatutnya musim 2016 apabila mereka menjuarai Liga Super (tanpa kalah), Piala Sumbangsih dan Piala FA?
Musim 2019 (juara Liga Super, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia) juga boleh dianggap calon musim terbaik jika anda menganggap Piala Malaysia lebih berprestij daripada Piala FA.
Bagi JDT, ada simetri yang memuaskan jika mereka dapat melengkapkan quadruple domestik pada musim ini.
Bidoglio akhirnya berjaya merangkul trofi pertamanya bersama JDT, tetapi bukan terakhir.
Tumpuan kini terarah kepada usaha untuk menamatkan kempen Liga Super musim ini sebagai juara, dan peluang mencipta rekod baharu yang kini terletak di tangan mereka.