ANALISIS: Bagaimana Tekanan Tinggi JDT ‘Matikan’ Taktikal Terengganu

Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala FA 2022 selepas menumpaskan Terengganu 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol dari Arif Aiman dan jaringan berganda Bergson da Silva memberikan kejuaraan pertama Hector Bidoglio dalam kancah bola sepak Malaysia.

Sejurus selepas tamat perlawanan, ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain yang ditemui wartawan ada menggariskan beberapa perkara yang boleh merumuskan aksi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini.

Menurut Nafuzi, aspek kualiti yang dimiliki oleh  JDT dalam melakukan tekanan terhadap mereka serta faktor pengalaman jelas menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Dalam analisis kali ini, saya akan menggunakan input yang dikongsikan oleh beliau bagi membantu kita semua untuk mengenalpasti bagaimana faktor “kualiti pasukan” serta “pengalaman” mempengaruhi keputusan perlawanan semalam.

Namun sebelum kita pergi lebih jauh, ayuh kita saksikan bagaimana susunan pemain serta formasi yang digunakan oleh kedua-dua pasukan bagi menghadapi perlawanan akhir Piala FA 2022 ini.

Kesebelsan utama Terengganu

Terengganu memulakan perlawanan dengan formasi 4-2-3-1, dimana penjaga gol muda mereka, Rahadiazli Rahahalim dipertanggungjawab untuk menjaga gawang pasukan.

Posisi pertahanan tengah pasukan digalas oleh gandingan Shahrul Nizam-Pape Diakite sementara Azam Azmi dan Alif Zakaria masing-masing bermula sebagai pertahanan tepi sebelah kanan dan kiri pasukan.

Jentera tengah dikemudi oleh pivot berganda Habib Haroon-Manuel Ott, sementara Petrus Shitembi beroperasi di belakang trio serangan pasukan Terengganu iaitu Faisal Halim-Tchetche Kipre-Faiz Nasir.

Kesebelsan utama JDT

JDT menurunkan pasukan terkuat mereka bagi menghadapi perlawanan ini dengan penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias ditugaskan untuk menjaga gawang pasukan.

Gandingan Shane Lowry-Shamsul Saad dipertaruhkan untuk mengisi posisi pertahanan tengah pasukan, manakala Matthew Davies dan La’Vere Corbin Ong masing-masing bermula di posisi pertahanan tepi sebelah kanan dan kiri Harimau Selatan.

Teraju bahagian tengah JDT ditunjangi oleh gandingan Natxo Insa-Afiq Fazail-Leandro Valazquez bagi menyokong jentera serangan pasukan yang dikemudi oleh Fernando Forestieri-Bergson da Silva-Arif Aiman bagi merobek kubu pertahanan lawan.

Faktor kualiti pasukan JDT

Nafuzi ada menyatakan faktor kualiti yang dimiliki oleh JDT memberi masalah kepada pasukan kendaliannya.

Maksudnya, di mana pemain-pemain Terengganu dilihat sedikit bergelut untuk bermain di bawah tekanan tinggi yang dilakukan oleh skuad JDT ke atas mereka.

Umum mengetahui JDT saban tahun bermain di pentas tertinggi Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL), dimana mereka akan bermain dalam perlawanan-perlawanan kompetitif serta berintensiti tinggi berhadapan dengan kelab-kelab terbaik di benua Asia.

Pengalaman bermain di tahap ini meletakkan pasukan JDT pada kelas tersendiri untuk mempamerkan permainan berintensiti tinggi ke atas pesaing-pesaing domestik mereka.

Intensiti ini turut menjadi tema buat mereka bagi menguasai setiap detik penting (key moments), termasuklah organisasi situasi bola mati mereka.

Seawal minit pertama permainan, JDT telah menunjukkan keinginan mereka untuk mendominasi permainan dengan intensiti yang tinggi, dan ianya dilakukan menerusi tekanan tinggi (high pressings) yang dilakukan ke atas pemain lawan yang cuba menyusun permainan mereka daripada penjaga gol secara teratur.

Tekanan tinggi yang dikenakan, serta ketiadaan pilihan hantaran yang telah pun ditutup oleh JDT menerusi ‘Man-oriented Markings’ memaksa pemain-pemain Terengganu untuk kerap kali melakukan hantaran jauh yang tidak efektif.

Setiap kali pihak lawan melakukan hantaran-hantaran jauh, pemain pertahanan JDT sentiasa bersedia untuk memenangi perebutan bola di udara.

Intensiti yang dimiliki oleh JDT turut membantu mereka untuk memenangi sebarang bola kedua (second balls).

Organisasi taktikal ini banyak membantu JDT untuk memenangi semula penguasaan bola terutamanya di kawasan pihak lawan, sekali gus mengganggu rentak permainan Terengganu dalam mengatur gerakan serangan mereka.

Terengganu juga terpaksa melakukan kekasaran bagi menghentikan sebarang transisi serangan JDT dalam perlawanan ini.

Intensiti tinggi yang dipamerkan oleh pasukan JDT ini tidak hanya tertakluk ketika mereka berada dalam fasa permainan terbuka sahaja, malahan intensiti ini turut dilakukan oleh mereka setiap kali memperoleh situasi bola mati. Di awal permainan, JDT terlebih dahulu menghantar isyarat kepada pasukan lawan bahawa mereka mampu mendatangkan ancaman menerusi lontaran ke dalam yang diambil secara pantas.

Gambar di atas menunjukkan saat lontaran ke dalam diambil oleh Corbin Ong secara pantas kepada Bergson.

Meskipun Bergson menerima bola dengan kedudukan badan yang tertutup, namun sokongan yang diberikan oleh Leandro (dalam bulatan) membolehkan JDT mengatur gerakan serangan tanpa sebarang tekanan kepada pembawa bola, iaitu Leandro.

Dalam situasi ini, Leandro mempunyai ruang dan masa mencukupi untuk memilih Arif sebagai destinasi hantaran berikutan ketiadaan tekanan yang diberikan terhadap beliau.

Organisasi situasi bola mati yang dimulakan dengan lontaran ke dalam ini membolehkan  JDT memperoleh percubaan tepat pertama dalam perlawanan ini, namun sayangnya sepakan deras Arif mengenai tiang gol pasukan lawan.

Organisasi lontaran ke dalam yang diambil secara pantas ini cukup identical dengan JDT dalam perlawanan ini, dan hasilnya, mereka berjaya menjaringkan gol pertama dalam perlawanan ini.

Forestieri bijak melakukan lontaran ke dalam dengan pantas tatkala pemain-pemain Terengganu masih dalam usaha untuk memperbetul kedudukan mereka.

Lontaran ke dalam yang bertemakan intensiti ini membolehkan pemain-pemain JDT mengeksploitasi ruang di antara garisan (space between the lines) menerusi pergerakan Leandro yang pantas menyediakan sokongan untuk bermain secara kombinasi bersama Bergson.

Situasi ini sekali lagi memberikan ruang dan masa buat leandro untuk memilih Arif sebagai destinasi hantaran yang seterusnya, berikutan ketiadaan tekanan yang dikenakan oleh pemain lawan terhadap beliau.

Gerakan ini membolehkan Arif  mencipta situasi ‘superiorities’ ke atas pemain ‘left-back’ lawan menerusi kemampuan teknikal beliau dalam situasi satu lawan satu.

Hasilnya, Arif berjaya membuka akaun jaringan gol buat dirinya dalam pentas akhir Piala FA.

Faktor pengalaman JDT

Nafuzi turut menyatakan faktor pengalaman yang dimiliki oleh JDT turut memberi kelebihan buat pasukan Harimau Selatan untuk memenangi perlawanan ini.

Faktor pengalaman ini tidak tertakluk kepada profil pemain sahaja, malahan ianya turut melibatkan pendekatan permainan yang digunapakai oleh jurulatih kedua-dua pasukan.

Jurulatih JDT, Hector Bidoglio dan barisan kejurulatihan beliau bijak dalam meneutralkan ancaman daripada Faisal  yang merupakan watak penting dalam menggerakkan jentera serangan Terengganu.

Ianya dilakukan dengan menutup pergerakan Faiz yang mempunyai kualiti dalam aspek ball progressions pasukan menerusi pergerakan tanpa bola beliau yang sentiasa memberikan pilihan hantaran buat rakan sepasukannya.

Dalam usaha untuk menyusun gerakan serangan yang tersusun, Faiz kerap beroperasi di kawasan deeper area bagi mencipta situasi overloading, dan menawarkan pilihan hantaran buat rakan sepasukannya.

Namun pemain-pemain JDT bijak menghidu ancaman daripada Faiz, dan mereka tidak teragak-agak untuk memberikan tekanan tinggi serta melakukan kekasaran bagi menghalang beliau daripada melakukan pusingan badan, serta memilih opsyen hantaran yang mampu mendatangkan bahaya buat JDT.

Gambar di atas merupakan kesinambungan daripada terjahan yang dilakukan oleh pemain JDT ke atas Faiz, sekali gus memberikan sepakan percuma buat Terengganu.

Arah tekanan yang dilakukan Afiq telah menghalakan pergerakan Faiz ke arah ruang yang sudah pun dipasang jerat tekanan (pressing traps) daripada JDT, dengan tiga orang pemain Harimau Selatan telahpun bersedia untuk memberi tekanan terhadap Faiz.

Tekanan yang dikenakan terhadap Faiz membolehkan JDT memperoleh kembali penguasaan bola, serta menggagalkan usaha Terengganu dalam melakukan ‘switching play’ bagi mencari Faisal yang memiliki kemampuan dalam situasi satu lawan satu.

Selain daripada pengalaman dalam aspek pendekatan taktikal permainan, pengalaman seorang pemain turut memainkan peranan penting dalam perlawanan ini.

Ianya merujuk kepada pengalaman penjaga gol kedua-dua pasukan secara khusus, kerana tindakan susulan yang dilakukan oleh kedua-dua penjaga gol ini membawa kesan besar kepada keputusan perlawanan akhir Piala FA ini.

Ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan, Terengganu memperoleh peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan menerusi kapten mereka, Tchetche Kipre.

Semuanya bermula selepas Rahadiazli menangkap kemas sepakan percuma JDT, sekali gus membuat lontaran jauh bagi mencari Faiz untuk memulakan serangan balas pantas pasukannya.

Meskipun dikasari, Faiz sempat melorongkan bola ke arah ruang, dan Pengadil memberikan kelebihan buat  Terengganu untuk menyambung gerakan serangan balas mereka.

Kipre dan  Ott masing-masing melakukan larian bagi menyerang ruang yang telahpun terbuka buat mereka.

Disinilah Farizal Marlias menggunakan pengalaman beliau untuk merancang jangkaan masa (timing) paling sesuai untuk keluar dari posisinya untuk berhadapan dengan Kipre dalam situasi satu lawan satu.

Kejayaan Farizal Marlias menepis percubaan Kipre ini menjadi salah satu titik tolak kepada keputusan perlawanan ini, kerana skripnya pasti berbeza andai Terengganu berjaya menjaringkan gol menerusi situasi ini.

Namun berbeza pula dengan nasib penjaga gol muda Terengganu, Rahadi yang kekurangan pengalaman beraksi dalam perlawanan besar sebegini, beliau telah melakukan beberapa keputusan yang memberi kelebihan buat pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

Gol kedua JDT menerusi sepakan penalti ada kaitan dengan organisasi pertahanan pasukan Terengganu ketika transisi permainan berlaku serta kedudukan Rahadi selaku benteng terakhir pasukan untuk meneutralkan ancaman pihak lawan.

Merujuk kepada gambar di atas, ketika barisan pertahanan Terengganu dalam keadaan tidak teratur (disorganized), Bergson bijak melakukan larian untuk menyerang ruang di belakang mereka.

Ketika kedudukan badan Bergson masih lagi tertutup (membelakangkan gol lawan), seharusnya Rahadi telah mula melakukan gerakan bagi memberikan beliau kelebihan dari aspek ruang, masa serta sudut bagi menghentikan penyerang itu.

Namun, tindakan lambat Rahadi menyukarkan beliau untuk menghentikan Bergson, sekali gus memaksa beliau untuk melakukan kekasaran yang membawa kepada sepakan penalti JDT.

Situasi ini berterusan ketika JDT menjaringkan gol ketiga mereka dalam perlawanan ini.

Tindakan Rahadi untuk keluar dari posisinya dalam cubaan untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya jelas memakan diri, apabila jangkaan masa (timing) yang dilakukan beliau kelihatan kurang efektif, lantas menggagalkan usahanya untuk memenangi bola daripada pihak lawan.

Bergson dengan tenang menyudahkan peluang yang terhidang luas, sekali gus menutup sisa perjuangan pasukan lawan yang cuba bangkit untuk mengikat kedudukan di penghujung perlawanan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN