JDT Meterai Perjanjian Kerjasama Dengan Subway

JDT Subway

Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus giat dalam menjalinkan hubungan strategik bersama jenama-jenama antarabangsa apabila baharu sahaja mengumumkan kerjasama dengan syarikat sandwich dari Amerika Syarikat, Subway.

Menurut kenyataan dikeluarkan laman JOHOR Southern Tigers (JST) sebentar tadi, kerjasama yang terjalin itu menyaksikan Subway akan membuka outlet mereka di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri bermula musim hadapan.

Perkembangan terbaharu itu juga bermakna JDT telah berjaya menggamit kerjasama bersama dua jenama antarabangsa pada bulan ini apabila pembuat kenderaan elektrik, SWAG telah memeterai perjanjian penajaan pada 16 November lalu.

Dalam perkembangan sama, JDT kini sedang dalam proses perbincangan bersama tiga lagi jenama terkenal untuk turut serta dalam membuka cawangan mereka di Stadium Sultan Ibrahim.

Stadium yang dilancarkan secara rasmi pada 22 Februari lalu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar itu dibina dengan rekaan khas sebagai  destinasi pelancongan di mana para pengunjung boleh menikmati makanan, membeli-belah dan juga menonton perlawanan bola sepak.

Sebagai makluman, Stadium Sultan Ibrahim juga turut memiliki lapan buah bilik korporat yang bertema khas untuk memenuhi pelbagai keperluan hospitaliti.

Selain Subway dan SWAG, JDT telah bekerjasama dengan pengeluar jam tangan mewah dari Switzerland, Hublot pada tahun lalu sekali gus menjadi jam tangan dan penjaga masa rasmi buat skuad yang digelar Harimau Selatan itu. Selain itu, JDT juga turut menerima tajaan dari jenama pakaian sukan terkenal, Nike.

Dengan visi yang cukup jelas pemilik kelab, YAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, tidak mustahil JDT mampu untuk menggamit kedatangan lebih banyak jenama antarabangsa untuk menjalinkan kerjasama dengan gergasi bola sepak tanah air itu.

Kredit featured image: JOHOR Southern Tigers

Baca artikel lain dari kami mengenai JDT:

Luciano Figueroa Ucap Selamat Tinggal Buat JDT

Tidak Dibenarkan Ke Doha, JDT Hormati Keputusan MKN

TMJ, JDT Jadi Sumber Inspirasi Buat Kelab Indonesia Ini

One Comment

Leave a Reply