Tidak Dibenarkan Ke Doha, JDT Hormati Keputusan MKN

JDT

Polisi pintu sempadan yang masih ditutup menyaksikan peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meneruskan baki saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020 sudah tertutup apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan kelab tersebut berlepas ke Doha, Qatar.

Ia seiring dengan pengumuman dilakukan oleh  Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian yang mengatakan tiada rakyat Malaysia dibenarkan untuk keluar dari negara ini atas apa jua alasan sekalipun termasuklah bola sepak.

Perkembangan terkini itu pastinya mengecewakan kem JDT tatkala skuad juara tujuh musim berturut-turut kempen Liga Super Malaysia itu sudah berkira-kira untuk terbang ke Doha pada minggu hadapan.

Hakikat itu diakui sendiri Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards yang meluahkan kekecewaan tersebut. Bagaimanapun beliau berpendirian bahawa adalah menjadi keutamaan untuk mematuhi segala yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa kami tidak…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, 11 November 2020

”Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim  telah dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara bahawa kami tidak diberikan kebenaran untuk terbang ke Doha, Qatar untuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2020.”

”Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan Kerajaan Malaysia dan memahami tindakan atas faktor keselamatan ini terpaksa diambil disebabkan oleh peningkatan kes pandemik Covid-19.”

”Keselamatan setiap orang — termasuk skuad JDT yang bakal ke Doha — adalah satu keutamaan. Kami berdoa dan berharap agar dunia dapat mengatasi pandemik ini sebelum bermulanya musim 2021,” ujar Alistair menurut kenyataan dikeluarkan JOHOR Southern Tigers.

Mengikut perancangan asal, JDT yang sudah menghadapi dua perlawanan ACL bertemu Vissel Kobe dan Suwon Bluewings sebelum ini akan menamatkan baki empat perlawanan lagi di Stadium Antarabangsa Khalifa. JDT juga ketika ini berada di kedudukan yang baik apabila menghuni tempat kedua selepas mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan.

Kredit featured image: Stanley Chou/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Johor Darul Ta’zim:

Lukas Podolski Nyatakan Minat Sertai JDT

ACL 2020: Vissel Kobe Sertai JDT Dalam Kumpulan G

MKN Tak Benarkan JDT Terbang Ke Doha Bagi Hadapi Saingan ACL

Leave a Reply