Luciano Figueroa Ucap Selamat Tinggal Buat JDT

Luciano Figueroa

Sebut sahaja nama Luciano Figueroa sudah pasti secara tidak langsung membuatkan tumpuan kita terus sahaja terarah kepada kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bermula daripada tugasan sebagai peledak bagi mengisi kuota pemain import skuad juara tujuh musim berturut-turut kempen Liga Super itu, Figueroa kemudiannya telah dilantik sebagai pengurus pasukan JDT bermula musim lalu.

Namun sudah menjadi lumrah kehidupan buat kita semua, setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya apabila Figueroa terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat JDT kerana beliau terpaksa kembali ke negara kelahirannya, Argentina.

Perkembangan terbaharu melibatkan masa depan Figueroa itu telah diumumkan laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers (JST) dan faktor komitmen terhadap keluarga menjadi penyebab utama beliau terpaksa meninggalkan Johor Bahru.

”Saya pergi dengan penuh kenangan manis dan saya amat terharu dengan penamaan sebuah ‘stand’ di Stadium Sultan Ibrahim bersempena nama saya. Ia sebuah perjalanan yang indah, memenangi banyak piala dan menjalin banyak hubungan rakan-rakan baharu yang kini saya panggil keluarga.”

”Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim serta para penyokong atas sokongan tidak berbelah bahagi yang saya perolehi sebagai pemain dan pengurus.”

”Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa sayangnya masa saya di Johor telah berakhir disebabkan perlu kembali ke Argentina kerana komitmen keluarga.”

Saya percaya Benjamin Mora, yang merupakan sebahagian kunci utama kejayaan JDT dalam pelbagai cara di belakang tabir, Pengarah Teknikal, Pengarah Sukan dan tentu sekali DYAM Tunku Mahkota Johor akan terus membawa kejayaan kepada kelab.”

”Selamat maju jaya buat JDT dan semoga kita akan bersatu semula pada masa akan datang,” ujar Figueroa menurut kenyataannya di JST. 

Figueroa hadir ke JDT sebagai pemain import dengan reputasi besar apabila beliau memiliki 12 kaps bersama skuad kebangsaan Argentina dan berjaya menjaringkan sembilan gol. Gol-gol tersebut terhasil dalam kempen Kelayakan Piala Dunia, Copa America dan Piala Konfederasi.

Bersama JDT sebagai pemain, beliau mengecapi nikmat kejuaraan Piala AFC 2015, Liga Super 2014, 2015 dan 2018 manakala ketika bergelar pengurus, Figueora telah memenangi Liga Super 2019 dan 2020 serta Piala Malaysia 2019.

Dengan pelbagai pencapaian hebat dinikmatinya, tidak hairanlah beliau pernah menjadi duta buat JDT dan seterusnya nama beliau diabadikan pada ‘stand’ di Stadium Sultan Ibrahim.

Kredit featured image: JOHOR Southern Tigers

Baca artikel lain dari kami mengenai Luciano Figueroa dan JDT:

JDT Perkenalkan ‘Luciano Figueroa Stand’ Di Stadium Sultan Ibrahim

Luciano Figueroa: “Kejuaraan Liga Sentiasa Berikan Ganjaran Paling Baik”

https://semuanyabola.com/luciano-figueroa-legenda-hidup-harimau-selatan-yang-pernah-digelar-batigol-kini-intai-asia/

 

Leave a Reply