Juara Liga Super 4 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu bangkit daripada kekalahan 0-1 kepada Kuala Lumpur ketika perlawanan ketiga Liga Super minggu lepas.
Mereka tekad memburu 3 mata penuh apabila bakal melayan kunjungan pasukan Melaka United (MU) di Stadium Larkin malam ini.
Walaupun JDT pernah menewaskan MU dengan jaringan besar, 7-0 di halaman sendiri, namun begitu, pengendali skuad Harimau Selatan, Ulisses Morais tetap memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak memandang mudah pada cabaran pasukan lawan.
“Persiapan para pemain JDT untuk berhadapan dengan pasukan Melaka kini berada dalam keadaan terbaik.
“Segala perancangan yang diatur berjalan dengan lancar demi memastikan kami memperoleh tiga mata dalam perlawanan ini.
“Kami mempunyai kelebihan iaitu beraksi di halaman sendiri pada malam ini.
“Walaubagaimanapun kami tidak sesekali akan memandang rendah kepada pasukan lawan. Oleh itu, saya amat berbesar hati sekiranya para penyokong dapat hadir memenuhi segenap ruang stadium bagi memberi semangat kepada para pemain,” katanya seperti dipetik melalui laman facebook JOHOR Southern Tigers.
Morais juga memberikan bayangan akan menurunkan kesebelasan utama yang terbaik untuk memastikan rekod kebal di halaman sendiri tidak tercalar musim ini.
“Mengenai pemain yang bakal saya turunkan, seperti biasa semestinya saya akan menurunkan barisan pemain yang terbaik untuk malam ini.
“Apa yang penting adalah kami sangat mahu melihat stadium dipenuhi dengan para penyokong, kerana sokongan mereka sangat hebat sehingga mampu memberi suntikan semangat kepada para pemain,” katanya.