Previu MSL: Skuad Hang Tuah Mahu Gegar Harimau Selatan Di Larkin

Pasukan serba lengkap, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menanti kunjungan Melaka United dalam perlawanan minggu keempat unifi Liga Super Malaysia 2018.

Di atas kertas, ia bagaikan dua pasukan berbeza darjat. Tetapi di dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku.

Prestasi semasa

Selepas dikejutkan oleh pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur dalam perlawanan terakhir, JDT pasti tidak akan memandang ringan cabaran pasukan seperti Melaka United.

Dua perlawanan sebelum itu, menyaksikan JDT mencatatkan kemenangan, dengan 5 gol dijaringkan setakat ini. Uniknya, lima gol tersebut dijaringkan oleh lima pemain berbeza.

Kredit: JST, Facebook.

Fadhli Shas, Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figueroa, Marcos Antonio, dan Natxo Insa masing-masing menjaringkan satu gol setakat ini.

Beraksi di gelanggang sendiri, JDT pasti mahu memanfaatkan kelebihan yang dimiliki dengan sorakan penyokong sebagai pemain ke-12.

Untuk rekod, kali terakhir JDT tewas di Larkin dalam pertandingan domestik ialah pada tahun 2015, apabila ditundukkan oleh Felda United di peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Jika ada isu di dalam pasukan JDT, ia adalah di bahagian pertahanan. Kecenderungan pemain pertahanan seperti Corbin-Ong dan S. Kunanlan untuk membantu bahagian serangan, adakalanya meninggalkan ruang yang begitu besar di bahagian pertahanan.

Perkara tersebutlah yang menghukum mereka ketika berhadapan dengan Kuala Lumpur dalam perlawanan lalu.

Bagi Melaka United, mereka perlu mengambil inspirasi daripada kejayaan dan kemampuan Kuala Lumpur mengejutkan JDT di Cheras, sekiranya ingin membawa pulang sebarang mata.

Aksi Melaka United ketika menentang Kelantan. FOTO: Melaka United

Dua kemenangan sebelum ini, masing-masing menentang Kelantan dan Negeri Sembilan seharusnya dijadikan inspirasi dan tonik untuk terus memburu kemenangan ketiga pada musim ini.

Namun demikian, JDT adalah pasukan yang berbeza. Untuk pulang daripada Larkin tanpa tangan kosong, skuad kendalian Eduardo Almeida harus mengambil segenap peluang yang hadir untuk menghukum bahagian pertahanan JDT.

Begitu juga dengan aspek disiplin di dalam permainan. Tumpuan harus diberikan pada keseluruhan 90 minit perlawanan, atau pun keputusan sepertimana mereka ditundukkan oleh Selangor di minggu kedua saingan, mungkin berulang.

Pemain tumpuan

Bagi pasukan tuan rumah, mereka mempunyai ramai pemain yang mampu menghukum lawan pada bila-bila masa sahaja.

Gandingan penyerang, Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa perlu lebih klinikal dengan tidak membazirkan terlampau banyak peluang.

JDT seperti mempunyai isu penyudah di dalam beberapa perlawanan sebelum ini, termasuk ketika menewaskan Persija Jakarta di saingan Piala AFC.

Safawi Rasid / foto: Asiana.my

Namun pada masa yang sama, JDT memiliki pemain seperti Safawi Rasid di bangku simpanan, untuk dibawa masuk ketika pemain lawan mulai keletihan.

JDT turut berkemampuan menghukum lawan daripada pelbagai variasi gerakan set-pieces yang mereka perolehi dalam perlawanan.

Bagi skuad Melaka United, sandaran di bahagian serangan pasti terus disandarkan kepada pemain import, Yahor Zabovich.

Yahor Zabovich

Adakalanya pemain ini seolah-olah membawa pasukan Melaka secara sendirian di atas padang.

Di bahagian tengah, work rate pemain import daripada Korea Selatan, Jeon Woo-young turut ditagih terutama untuk menggerakkan jentera tengah.

Cabaran utama bagi Jeon Woo-young dan rakan-rakan tentunya ialah untuk mencari kaedah terbaik mematikan ancaman pemain seperti Natxo Insa, Haris Harun, dan Safiq Rahim di bahagian tengah padang.

Rekod lampau

Dalam dua pertemuan di peringkat Liga Super pada musim lalu, JDT mencatat kemenangan di Larkin, dan seri di Melaka.

Keputusan di Larkin ialah keputusan yang pasti ingin dilupakan oleh mana-mana penyokong Melaka United.

Skuad Hang Tuah ini dibelasah 7-0 dalam perlawanan tersebut, menyaksikan kapten pasukan Safiq Rahim menjaringkan hatrik.

Dalam perlawanan pusingan kedua, Melaka United berjaya mengikat JDT 1-1, dalam perlawanan yang diinspirasikan oleh persembahan Jeon Woo-young.

Sebelum wisel

Pengendali kedua-dua pasukan, Ulisses Morais (JDT) dan Eduardo Almeida (Melaka United) berjanji akan menurunkan kesebelasan terbaik dalam perlawanan ini.

Tiada isu kecederaan dilaporkan daripada kedua-dua kem setakat ini.

Bagi yang tidak berkesempatan untuk menhadirkan diri ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada malam ini, anda boleh menyaksikan perlawanan siaran secara langsung di iflix, mulai jam 9 malam.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN