Pemain tengah berpengalaman, Javier Mascherano mengharapkan agar gandingan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar yang lebih dikenali sebagai trio ‘MSN’ dapat kembali bergabung tenaga di Barcelona.
Trio yang bergandingan selama tiga musim itu (2014/15 hingga 2016/17) berjaya menjaringkan 364 gol dalam semua pertandingan yang disertai Barcelona bagi menjadikan mereka sebagai antara unit serangan paling menggerunkan pertahanan lawan pada ketika itu.
Gandingan tiga pemain dari negara Amerika Selatan itu juga turut menyaksikan Barcelona berjaya mencatatkan kejuaraan ‘treble’ setelah muncul juara Liga Juara-Juara Eropah, La Liga dan Copa del Rey 2014/15.
Jodoh mereka terhenti pada 3 Ogos 2017 apabila Neymar menggemparkan dunia dengan saga perpindahan bernilai €222 juta sekaligus membawanya ke kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain.
Mascherano yang turut pernah merasai pengalaman beraksi bersama pemain-pemain tersebut turut berkongsikan sumbangan berkesan diberikan trio itu.
”Pada suatu hari, saya menyaksikan kembali perlawanan akhir [Liga Juara-Juara eropah 2014/15] dan apa ketiga-tiga pemain ini lakukan di bahagian hadapan adalah sangat mengagumkan.”
”Setiap daripada mereka mempunyai posisi dalam pasukan, tekanan apabila terlepas bola dan kawalan. Mereka menambah kelebihan terhadap permainan kami,” jelas Javier Mascherano menurut laporan Goal.
”Saya berharap agar Neymar kembali semula ke Barcelona dan mereka dapat kembali beraksi bersama. Ia merupakan sesuatu yang baik buat kelab dan juga para peminat.”
Spekulasi semakin kuat mengatakan bahawa Neymar akan kembali ke saingan La Liga dengan Barcelona dan Real Madrid menjadi antara pasukan yang kerap dikaitkan dengan pemain skuad kebangsaan Brazil itu.
Kredit foto: Quality Sport Images/Getty Images