Penyerang Mexico, Javier Hernandez atau lebih dikenali sebagai Chicarito dijangka bakal menamatkan karier penuh sukar bersama West Ham United pada bulan ini.
Bekas penyerang Manchester United dan juga Bayer Leverkusen ini mengalami tempoh karier yang gagal di London Stadium apabila tidak berjaya beraksi pada tahap yang dijangkakan oleh pihak kelab dan peminat.
Dengan beliau bukanlah penyerang utama pilihan David Moyes ketika ini, adalah lebih baik buat Hernandez untuk membawa diri meninggalkan West Ham United.
Menurut sumber di England, Hernandez kini dikatakan sudah pasti akan menyertai kelab utama Turki – Besiktas.
Perpindahan yang dijangka bernilai €8.5 juta itu bakal menyaksikan Hernandez bakal bersama semula dengan bekas rakan sepasukan beliau ketika beraksi untuk Real Madrid secara pinjaman iaitu Pepe.
Buat masa sekarang, perpindahan tersebut sudah memasuki fasa terakhir dengan pengerusi Besiktas iaitu Fikret Orman menjadi individu bertanggungjawab memastikan perpindahan Hernandez ke Turki berhasil.
Kehadiran Hernandez ke Besiktas nyata mampu memberikan kesimbangan pasukan tersebut baru saja menjual penyerang mereka iaitu Cenk Tosun ke Everton.
Hernandez pulang semula ke Premier League bersama West Ham United dengan harapan besar sebagai salah seorang pemain yang boleh beraksi di liga tersebut dengan baik ketika bersama Manchester United.
Namun begitu, beliau tidak berjaya memberikan impak yang diharapkan dan perpindahan ke Besiktas ini dijangka mampu memberikan permulaan baharu kepada beliau.