Previu MSL 2018: Gabungan Pemain Baharu & Lama Warnai Skuad Selangor Musim Ini

Walaupun masih lagi terpalit dengan pelbagai isu luar padang yang berakar umbi sejak musim lalu, pasukan Selangor berjaya mengharungi musim 2017 dengan baik.

Apa yang pasti, skuad yang turut dikenali dengan jolokan nama Red Giant ini mahu memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan liga yang menyaksikan mereka menduduki tangga ke-6 pada musim lalu.

Pembentukan pasukan

Sekali lagi untuk musim ke-2, P. Maniam menggunakan ramuan gabungan pemain baharu dan juga pemain lama dalam pasukan beliau.

Terma pemain baharu ini tidaklah tertumpu kepada pemain muda sahaja. Namun pemain berpengalaman dari pasukan lain turut dilamar oleh Selangor untuk menyertai mereka.

Sebagai contoh, persiapan skuad Red Giant musim ini diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman baharu seperti Azammudin Akil dan juga Joseph Kalang Tie, sambil dibantu dengan pemain berpengalaman sedia ada seperti Amri Yahyah dan juga Razman Roslan.

Musim ini juga menyaksikan pasukan Selangor sekali lagi menggunakan sepenuhnya kelebihan mereka sebagai antara pasukan terbaik di Malaysia dalam menghasilkan pemain muda dengan menaikkan beberapa pemain dari skuad Piala Presiden.

Nama-nama seperti Syukri Azman, Amirul Ashraf Ariffin dan juga M. Tamil Maran antara muka baharu yang dinaikkan dari skuad Piala Presiden.

Sementara itu, pemain yang dinaikkan dari skuad Piala Presiden pada 2017 seperti A. Namathevan, Faizzudin Abidin serta Syahmi Safari masih lagi dikekalkan.

Bagi pemain import, hanya Rufino Segovia sahaja yang dikekalkan dengan Selangor mendapatkan khidmat dua pemain Indonesia iaitu Evan Dimas dan Ilham Udin.

Selain itu, Willian Pacheco dibawa masuk menyertai kem Red Giant bagi mengisi kekosongan pertahanan tengah yang ditinggalkan oleh Ugo Ukah.

Komposisi skuad Selangor musim ini nyata mempunyai perubahan yang ketara apabila secara keseluruhannya apabila mereka membawa 14 muka baharu bagi menggantikan 14 muka lama.

Kualiti serangan

Bahagian serangan Selangor pada musim lalu nyata tidak mengecewakan apabila pemain seperti Amri Yahyah dan Rufino Segovia nyata berjaya memberikan hasil.

Prospek baharu nyata terarah kepada penyerang baharu dari Indonesia iaitu Ilham Udin.

Ilham merupakan pemain yang berpotensi besar di Indonesia, pastinya kehadiran beliau ke Selangor memberikan jangkaan bahawa beliau mampu menjadi penyambung legasi legenda Indonesia di Selangor seperti Bambang Pamungkas dan Andik Vermansah.

Apa yang boleh dijangkakan di sini pastinya Maniam akan menjadikan Amri, Segovia dan juga Ilham sebagai rangkaian serangan utama jika menggunakan sistem 4-3-3 pada musim ini.

Bagi 3 lagi penyerang iaitu Sean Eugene Selvaraj, Faizzudin Abidin dan Azizul Baharuddin yang baru dinaikkan dari skuad Piala Presiden, mereka merupakan satu penambahan baik kepada depth bahagian serangan.

Pastinya Maniam akan memberikan peluang kepada 3 penyerang muda ini untuk menyerlahkan bakat mereka dalam perlawanan-perlawanan tertentu.

Ramuan ‘Indonesian Connection’

Jika dapat dilihat, terdapat beberapa pasukan dalam Liga Malaysia sememangnya serasi dengan pemain import dari negara tertentu.

Jika JDT sering serasi dengan pemain import berasal dari Argentina, Selangor pula sering berjaya dengan pemain import dari Indonesia.

Terma Indonesian Connection ini lahir ketika era Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy menerusi ulasan pengulas legenda negara iaitu Allayarham Datuk Hasbullah Awang.

Gambaran tersebut memberikan betapa ampuhnya gandingan Bambang dan Elie pada waktu itu dan Evan serta Ilham boleh menjadi generasi kedua kepada gabungan tersebut di Selangor.

Tidak dilupa pertahanan tinggi lampai iaitu Willian Pacheco.

Pemain yang berasal dari Brazil ini menyimpan rekod sebagai antara pemain import tertinggi yang beraksi di Liga Malaysia – beliau berketinggian 195 cm!

Jangkaan 2018

Pada musim lalu, Selangor hanya mensasarkan untuk tidak tersingkir dari Liga Super selepas mengalami permasalahan di awal musim.

Akan tetapi, mereka berjaya beraksi melebihi sasaran mereka dengan menduduki kelompok atasan (top half) Liga Super di tangga ke-6.

Prestasi itu pastinya menjadi batu loncatan untuk Selangor mencapai kedudukan liga yang lebih baik pada musim ini.

Gambar: FA Selangor

Apa yang pasti, strategi Selangor untuk menggunakan pemain muda dengan menaikkan pemain berpotensi dari skuad Piala Presiden ke skuad utama sambil dicampur dengan pemain senior harus diberikan pujian.

Walaupun masih lagi terhimpit dengan isu luar padang seperti gelanggang rasmi yang masih menjadi tanda tanya, Selangor terus fokus mempersiapkan pasukan mereka untuk musim ini.

Mereka pastinya mahu tunjukkan kepada pasukan lain yang isu di luar padang tidak mampu menggugat Gergasi Merah untuk beraksi mantap di atas padang pada musim ini.

Selamat maju jaya buat pasukan Selangor dalam saingan Liga Malaysia 2018!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN