Tandukan pada masa kecederaan oleh Miranda memberikan kemenangan 1-0 buat Brazil menumpaskan musuh tradisi, Argentina dalam aksi Saudi Superclasico yang berlangsung di King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi.
Pemain pertahanan yang beraksi bersama Inter Milan itu melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru yang diambil Neymar bagi menggamatkan stadium yang dipenuhi hampir 60,000 orang penyokong itu.
Penguasaan bola pada perlawanan ini lebih dikuasai Brazil dan turut memperlihatkan keutuhan jentera pertahanan Argentina yang cukup berdisiplin sehinggalah jaringan daripada Miranda terhasil.
FULL-TIME: 🇧🇷1-0🇦🇷#SuperClasico_in_KSA 🇸🇦 pic.twitter.com/Z84csR8XQo
— Brasil Global Tour (@BGT_ENG) October 16, 2018
Ketiadaan Lionel Messi jelas dirindui Argentina apabila skuad yang kini dibimbing buat sementara oleh Lionel Scaloni itu hanya mampu mencipta satu percubaan tepat ke arah pintu gol Brazil.
Bintang Barcelona itu diketepikan selepas Argentina tersingkir di tangan Perancis di peringkat 16 terbaik saingan Piala Dunia di Rusia tempoh hari dan sudah terlepas tiga aksi perlawanan persahabatan.
Angel Di Maria serta Sergio Aguero juga tidak tersenarai pada perlawanan menarik ini. Di jentera serangan, Scaloni meletakkan kepercayaan buat Mauro Icardi dalam usaha memburu jaringan.
Pertembungan di Jeddah itu merupakan perlawanan ke-105 yang menemukan kedua-dua musuh tradisi itu dalam perlawanan rasmi yang menyaksikan Brazil memenangi sebanyak 41 perlawanan manakala 38 aksi memihak Argentina serta 26 keputusan seri dicatatkan.
Kali terakhir Brazil dan Argentina bertemu adalah pada bulan Jun 2017 dimana Argentina berjaya memenangi pertembungan tersebut dengan keputusan 1-0 pada aksi persahabatan.
Kredit foto: Sky Sports