AXA KVL M5: Level Up FC Tarik Nafas Lega Berjaya Ikat Shah Alam Antlers 2-2

Level Up FC pastinya menarik nafas lega apabila pengadil membunyikan wisel penamat selepas berjaya mengikat Shah Alam Antlers 2-2 dalam perlawanan minggu ke-5 AXA KVL M5 yang penuh drama di Stadium MPAJ semalam.

Shah Alam Antlers yang turun tanpa penyerang Salihan Jamil yang baru pulih demam dalam kesebelasan utama, tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kelemahan. Seawal minit ke-5 lagi, mereka sudah menjaringkan gol pendahuluan. Berpunca daripada dadaan bola yang baik daripada Shamel Suhaimi dalam kotak penalti, Sherif Ahmed kemudiannya melepaskan rembatan separa voli yang menewaskan penjaga gol Level Up, T. Rajkumar.

Tersentak dengan gol awal Shah Alam Antlers, Level Up bangkit mencari gol penyamaan. Berbeza dengan pendekatan hantaran pendek pantas yang ditonjolkan Shah Alam Antlers, Level Up lebih direct – tetapi efektif untuk mencipta situasi kelam-kabut di kubu pertahanan Antlers.

Pada minit ke-8, kegagalan pertahanan Shah Alam Antlers mengeluarkan bola daripada sepakan penjuru membolehkan penyerang Level Up, Matthew Devaraj untuk menanduk. Bagaimanapun tandukan beliau sempat diselamatkan oleh penjaga gol Antlers, Affendy Razali.

Sherif Ahmed sekali lagi mengancam Level Up pada minit ke-11. Gelecekan beliau di sebalah kanan padang berjaya melepasi kawalan bek kiri Level Up, Sam Arokiasamy. Sherif kemudiannya melakukan hantaran lintang berbahaya dalam kotak penalti Level Up. Tetapi pertahanan sempat mengeluarkan bola sebelum bola sampai di kaki rakan sepasukan Sherif.

Kredit harus diberikan juga kepada Level Up kerana kebolehan pemain tengah mereka melepasi pressing intensif daripada Shah Alam Antlers. Pada minit ke-18, Joshua Lee tenang ‘berdansa’ melepasi 3 pemain Antlers sebelum melorongkan bola ke laluan Matthew Devaraj. Bagaimanapun rembatan cemerlang Matthew ditemui oleh aksi menyelamat akrobatik yang cemerlang juga dari Affendy Razali untuk memberi sepakan penjuru buat Level Up.

Pemain tengah Level Up FC, Aritz Zainal cuba melarikan bola daripada asakan dua pemain Shah Alam Antlers FC.

Level Up kemudiannya mengambil kesempatan daripada sepakan penjuru ini untuk menyamakan kedudukan. Matthew Devaraj kali ini tidak membuat sebarang kesilapan untuk menanduk masuk gol pertama Level Up.

Gol kedua Level Up tiba pada hujung separuh masa pertama. Selepas Joshua Lee, Tan J-Shawn adalah pemain Level Up kedua yang berjaya melepasi pressing intensif daripada Shah Alam Antlers sebelum menghantar bola ke laluan Matthew Devaraj. Pertahanan Antlers mendapati Amtthew terlalu laju sehingga mereka tiada pilihan selain menjatuhkan penyerang berusia 30 tahun tersebut.

Pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti buat Level Up yang disempurnakan dengan baik oleh Joshua Lee.

Memulakan separuh masa kedua dengan ketinggalan 1-2, Shah Alam Antlers menggandakan asakan. Hasilnya pada minit ke-45, kapten dan pertahanan tengah Antlers, Luqman Hadi berjaya melompat melepasi cabaran S. Ashvin untuk menanduk gol penyamaan hasil hantaran lintang baik di sebelah kiri.

Dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2, Shah Alam Antlers umpama sudah dapat menghidu darah Level Up dan semakin lapar. Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Level Up, T. Rajkumar yang bertanggungjawab menafikan 6 peluang keemasan Antlers dari jarak dekat, Level Up mungkin boleh dibelasah dengan skor jaringan tinggi.

Pemain tengah Shah Alam Antlers, Okpe Solomon antara individu penting yang memastikan pasukannya mendominasi separuh masa kedua ketika menentang Level Up FC.

Shah Alam Antlers mungkin kecewa dengan skor 2-2 ini selepas pengadil membunyikan wisel penamat. Tetapi mereka boleh pulang dengan fakta bahawa mereka pasukan lebih baik daripada lawan mereka pada malam tersebut.

Pemain terbaik perlawanan: T. Rajkumar (Level Up)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN