Jangan Sampai MFL Buat ‘Dress Code’ Untuk Ke Stadium

Isu kekecohan Casual MFL 'dress code' Liga M

Jangan sampai operator Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan ‘dress code’ untuk kita hadir ke stadium pula lepas ini.

Kekacauan demi kekacauan berlaku di stadium telah dicipta segelintir yang hadir ke stadium yang pada dasarnya tidak layak untuk digelar penyokong.

Mereka hadir hanya untuk mencipta pergaduhan. Ini dapat dilihat ketika pertembungan Kelantan FC dan Perak FC dalam saingan Liga Premier.

Berdasarkan satu tangkap layar daripada salah seorang yang kononnya penyokong Perak, Farid Ayed, jelas yang beliau hanya turun ke Kota Bharu dengan niat untuk bertumbuk. Dan insiden amukan penyokong Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dikatakan berpunca daripada ‘puak’ ini.

facebook penyokong Perak
Tangkap layar tulisan oleh ‘penyokong’ Perak di Facebooknya

Stadium Hang Jebat pula jadi medan pertempuran

Pada dasarnya mereka bukanlah penyokong pasukan bola sepak. Ia hanya menjadi adang asap untuk mereka dapat masuk stadium dan bertumbuk.

Apa sahaja yang mereka buat di stadium? Menyokong pasukan atau hanya hadir untuk membuat provokasi kepada penyokong lawan di sana nanti?

Di Stadium Hang Jebat malam tadi, saat Melaka United melayan kunjungan Sri Pahang, tersebar visual pergaduhan antara dua ‘puak’ ini yang berjaya dirakam oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Ia berlaku di dalam stadium dan tentunya akan mengganggu penyokong-penyokong.

Walaupun kedua-dua tempat duduk penyokong sudah dipisahkan, mereka tetap mencari jalan untuk bertembung dan bertumbuk seperti samseng.

Sebelum insiden di Kota Bharu, kita juga tentu pernah mendengar insiden di Stadium KLFA ketika aksi antara KL City FC dan Selangor FC pada Mac lalu.

Apakah persamaan pelaku kepada insiden-insiden ini? ‘Puak’ ini memiliki satu ‘dress code’ dan mereka mahu dikenali sebagai golongan ‘Casual’.

Kaedah TMJ mungkin salah, jadi apa solusinya?

Ada yang menyalahkan kaedah yang digunakan pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan gambar kad pengenalan dan identiti ‘puak’ yang membuat kacau di Kota Bharu yang turut mengidam membuat kacau di Pasir Gudang – Perak bertemu JDT.

Akhirnya, aksi di Pasir Gudang antara Perak dan JDT berlangsung tanpa sebarang kekacauan yang langsung tiada perkaitan dengan bola sepak.

Ada pula yang kata, ‘puak’ ini pun bayar duit tiket untuk masuk ke stadium, jadi tidak patutlah menghalang mereka sampai sebegitu rupa. Jadi, apakah solusi yang ada untuk selesaikan perkara sebegini? Daripada gambar-gambar yang dikongsi, kita sudah boleh kenal pasti ‘dress code’ mereka.

Janganlah dijadikan alasan mereka pun bayar duit tiket masuk ke stadium. Bayar duit tiket bukan lesen besar untuk anda membuat onar di sana.

TMJ haramkan IJF masuki stadium seumur hidup

TMJ pernah mengambil tindakan drastik ke atas ‘puak’ yang kononnya penyokong ini sekitar tahun 2016. Inter Johor Firms (IJF) telah diharamkan untuk masuk ke stadium. Dan TMJ dilihat turut berkata yang IJF tidak diiktiraf sebagai warga Johor kerana memberi nama buruk buat pasukan.

“Pihak yang bertanggungjawab memberi imej buruk dan memalukan negeri Johor akan ditangani dengan segera kerana kumpulan pelampau seperti ini tidak diiktiraf sebagai warga Johor. Orang-orang seperti ini yang telah memberi nama buruk perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh sekalian rakyat Johor.”

Sebagai pemilik pasukan, TMJ tidak sukakan organisasi atau pertubuhan yang berideologi ‘hooligan’ dalam menyatakan sokongan buat pasukan.

Dan IJF dikatakan akur dan menjunjung titah TMJ dengan membubarkan organisasi mereka. Ia selepas deretan isu dan masalah yang timbul yang dikatakan membabitkan mereka dengan penyokong lain. Ia menimbulkan situasi kurang enak buat JDT yang sedang membina empayar mereka.

Itu cara yang TMJ telah lakukan dan harus diakui yang ia sedikit sebanyak membantu. Sukar untuk mengatakan yang ia adalah 100 peratus berkesan.

Di luar negara terutamanya di Eropah juga isu ini dilihat sukar dibendung sepenuhnya. Namun, apa yang penting adalah bagaimana pihak berwajib mencari inisiatif dalam membendungnya. Mereka perlu tahu, mereka sebenarnya tidak dialu-alukan dalam ekosistem bola sepak Malaysia.

Apa solusi MFL dalam cuba membendungnya?

Dengan sudah mengetahui cara mereka berpakaian, mungkin pihak MFL dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menghalang ‘puak’ ini daripada memasuki ruang stadium nanti. Ini sahaja cara untuk mengelakkan situasi yang sama berulang dan memenatkan pihak polis.

Ada juga yang berpakaian biasa yang gemar bergaduh, itu tidak mustahil. Namun, dengan lebih awal menapis sebilangan yang sudah dikenalpasti melalui cara ini akan selesaikan sedikit daripada permasalahan tersebut.

Jangan sampai MFL tiba-tiba memperkenalkan pula ‘dress code’ untuk ke stadium. Hanya pakaian yang menepati ‘dress code’ yang dibenarkan untuk masuk. Barangkali, ia boleh menjadi bahan jenaka dalam dunia bola sepak.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN