Berpunca Sikap Sendiri, ‘Penyokong’ Perak Diamuk Penyokong Kelantan?

penyokong Perak casual Kelantan Liga Premier 2022

Tidak boleh menerima kenyataan pasukan mereka tewas menjadi punca penyokong Kelantan FC hilang pedoman mengamuk di halaman sendiri?

Ataupun adakah ia berpunca daripada sikap atau tindak tanduk segelintir penyokong Perak FC yang menjadi bibit mula kepada amukan tersebut?

Berdasarkan beberapa perkongsian di media sosial dapat dilihat penyokong tuan rumah membaling batu kepada penyokong dan bas pemain Perak.

Tidak dapat dipastikan punca sebenar kepada amukan mereka. Kelantan telah tewas 1-2 kepada Perak dalam aksi Liga Premier 2022, semalam.

Cermin bas pemain Perak pecah dibaling batu

Menerusi perkongsian laman penyokong, Perak The Yob, dapat dilihat bas pemain Perak pecah menerima balingan batu daripada penyokong lawan.

Malah, laman Facebook yang dipercayai milik pengurusan pasukan, TBG Super Fan turut berkongsi gambar yang sama bersama satu kenyataan.

“Kena geng. Macam ni ek profesional?”

Mereka turut berkongsi maklumat tentang dua buah van dan tiga buah bas yang menerima nasib yang sama seperti mana bas pemain sebelum itu.

Penyokong ‘dihujani’ batu dari luar stadium

Penyokong Perak turut menerima ‘hujan’ batu dari luar Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Ini memaksa polis memindahkan mereka ke tengah padang untuk meredakan ketegangan dan demi menyelamatkan mereka.

Sambil masuk ke tengah padang dapat dilihat sebilangan penyokong ‘The Bos Gaurus’ mengejek penyokong ‘The Red Warriors’ yang berada di tempat duduk penyokong. Jadi, adakah ia berpunca daripada sikap penyokong pelawat sendiri? Malah, mereka dirakam kencing ketika berada di padang.

Menurut laporan Utusan Malaysia, segelintir penyokong Perak FC yang telah memulakan provokasi terlebih dahulu kepada penyokong Kelantan.

Dan dengan melihat kepada video ketika mereka diarahkan masuk ke tengah padang, mereka terus membuat provokasi sehingga kencing di atas padang bersama satu lagi bukti tangkap layar daripada pemilik Facebook, Farid Ayed, jelas mereka hadir dengan niat untuk menimbulkan kekecohan.

Dipercayai mereka adalah segelintir penyokong yang menggelarkan diri sebagai PERAK Casual – I.C.F yang dilihat sering kali membuat kekecohan di stadium sehingga penyokong Perak sendiri mengatakan mereka ini yang memburukkan nama ‘The Bos Gaurus’ dan tidak patut berada di stadium.

Sebelum menyalahkan pihak lain, mungkin pengurusan dan penyokong Perak wajar melihat semula sikap sebilangan penyokong mereka sendiri. Mungkin sudah ada provokasi sebelum perlawanan berlangsung lagi. Ini menjadikan pertembungan ini lebih hangat daripada biasa dan membawa kepada amukan terhadap penyokong pelawat yang datang ke stadium.

facebook penyokong Perak
Tangkap layar tulisan oleh penyokong Perak di Facebooknya

Jangan hanya melihat kepada sebelah pihak yang kononnya jadi mangsa keadaan sedangkan ia juga berpunca daripada sikap segelintir daripada mereka. Kedua-duanya wajar dipersalahkan, tetapi akar kepada masalah ini wajar dilihat semula. Mungkin ini kejadian yang pertama pada musim ini tetapi ini bukan kali pertama ‘mereka’ terlibat dalam insiden sebegini.

Adakah mereka ini digelar ‘penyokong’ pasukan? Kesan ditanggung semua.

Sebagai tuan rumah, Kelantan FC juga wajar dipersalahkan kerana gagal membendung insiden yang tampaknya semakin memburuk selepas itu.

Diharapkan operator Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat meneliti semula insiden ini dan mengambil tindakan yang lebih keras ke atas kedua-dua pasukan terlibat.

Kalau tiada angin, pokok takkan goyang. Kalau tiada api, mana datang asap.

Leave a Reply