Pemain Warisan Indonesia Bakal Sertai Manchester United?

Indonesia sememangnya terkenal dengan kelibat-kelibat pemain warisan mereka yang beraksi di serata negara, terutama sekali di Eropah, selain masih lagi ada belum didaftarkan untuk memperkukuhkan skuad kebangsaan.

Ada juga beberapa pemain warisan mereka yang tidak dapat didaftarkan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kerana masalah-masalah tertentu untuk mewakili Indonesia.

Terbaharu, pemain warisan mereka iaitu Mees Hilgers tampil dengan kejutan di media sosial, apabila gambar pertahanan muda tersebut bersama pengurus Manchester United, Erik Ten Hag dimuat naik di laman Instagram.

Foto tersebut menunjukkan Hilgers bersama pengurus terkemuka itu dalam suatu majlis makan malam bersama beberapa lagi individu lain, seolah telah membincangkan sesuatu.

Menerusi pertemuan tersebut, ianya jelas memberi tanda tanya kepada para penyokong bola sepak Indonesia selain beberapa pendapat mengatakan Hilgers bakal menyertai Manchester United.

Walaupun tujuan sebenar pertemuan tersebut masih lagi belum diketahui buat para penyokong, namun empunya akaun Instagram iaitu Jose Donatz telah memaklumkan ia lebih kepada sebuah projek dinamakan De Talenten Academie.

“Saya berasa sangat berbesar hati ketika diminta untuk menjalankan tugas seperti ini!”, jelas Jose Donatz di laman Instagram rasmi miliknya.

Pertemuan kedua individu tersebut jelas sangat formal apabila masing-masing mengenakan sut serta berada di sebuah kawasan sangat eksklusif menurut Bola.com.

Untuk info, De Talenten Academie merupakan tempat latihan khas untuk para atlet yang memfokuskan kepada beberapa bidang sukan tertentu yang berpusat di Belanda.

Sebelum itu, Hilgers hampir menyertai Indonesia ketika nama beliau telah disenaraikan oleh pengendali pasukan iaitu Shin Tae-yong bersama beberapa pemain lain.

Nama Hilgers ketika itu terus mendapat perhatian mendadak para penyokong Indonesia setelah rekod semasa beliau dalam karier bola sepak profesional sangat baik di Eropah.

Hilgers ketika ini merupakan pemain pertahanan untuk pasukannya iaitu FC Twente di saingan Eredivisie, serta menjadi aset masa depan kelab tersebut kerana usia beliau yah masih muda.

Namun, proses mendaftarkan Hilgers tidak dapat menjadi kenyataan apabila kedua ibu bapanya tidak memberi keizinan buat pemain tersebut menukar kewarganegaraan, meskipun ibu beliau berketurunan Indonesia.

Setelah sah Hilgers tidak dapat beraksi untuk Indonesia, Tae-yong mengalih tumpuan kepada beberapa lagi pemain lain yang turut berpotensi untuk memperkukuhkan skuadnya iaitu Shayne Pattynama, Shandy Walsh, serta Jordi Amat.

Sumber:
Bola.com

Leave a Reply