“Jangan Pernah Mengalah” – Brendan Gan Emosi Dapat Kembali Ke Skuad Kebangsaan

Brendan Gan

Pemain kebangsaan, Brendan Gan menzahirkan rasa gembiranya apabila berjaya kembali melakukan penampilan bersama-sama Harimau Malaya selepas lama disisihkan.

Gan yang sebelum ini disisihkan akibat disahkan menghidap kanser kembali ke skuad kebangsaan dan memberikan persembahan yang cemerlang ketika Malaysia bertemu Thailand semalam.

Ketua pasukan Selangor itu tidak dapat menafikan yang dirinya sedikit dikuasai emosi ketika kembali menyarung jersi Harimau Malaya.

“Ianya cukup emosi [bagi saya], banyak usaha yang diberikan untuk kembali ke sini [skuad kebangsaan]. Rakan-rakan juga memberikan aksi terbaik untuk mendapatkan kemenangan.

“Ia adalah satu perasaan yang cukup mengagumkan untuk kami melakukannya bukan sahaja untuk pasukan tetapi kesemua yang menyokong kami di Malaysia,” ujar Gan.

Gan yang kali terakhir mewakili negara ketika menentang Thailand di Dubai pada 2021 sewaktu pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Ketika itu Malaysia menang 1-0 hasil jaringan Safawi Rasid.

Ianya adalah satu tempoh yang lama untuk Gan kerana sebelum itu beliau sinonim dalam skuad kebangsaan. Dan untuk kembali ke Harimau Malaya, beliau tidak boleh mengalah.

“Jangan pernah mengalah. Saya ingat yang kali terakhir saya mewakili negara adalah ketika menentang Thailand di Dubai dan kali ini saya kembali dengan menentang lawan yang sama.

“Saya katakan kepada isteri dan keluarga saya yang ini adalah satu perasaan yang hebat apabila berjaya mendapatkan ganjaran hasil daripada usaha keras yang diberikan di belakang tabir dan kembali ke skuad kebangsaan.

“Saya begitu emosi selepas perlawanan kerana ianya adalah tahun yang sukar [2021] dan saya gembira dapat kembali semula kepada pasukan dan berjuang bersama rakan-rakan dan beraksi dengan baik,” kata Gan kepada wakil Semuanya BOLA di Chiang Mai.

Malaysia melangkah ke perlawanan akhir King’s Cup selepas menewaskan Thailand menerusi penentuan sepakan penalti dengan jaringan 5-3.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 selepas gol daripada La’vere Corbin Ong dinafikan oleh Pansa Hemviboon pada minit-minit akhir permainan.

Malaysia akan bertemu dengan Tajikistan pada perlawanan akhir yang akan diadakan pada Ahad ini.

Leave a Reply