Bekas Pengendali Brazil Sah Sertai Saingan Liga 1 Indonesia

Saingan Liga 1 Indonesia terus rancak ketika ini dengan beberapa pemain berkualiti telah menyertai saingan tersebut serta terkini, pengendali-pengendali berpengalaman juga sudah semakin ramai menjadi jurulatih di sana.

Terbaharu, pasukan yang berada di zon penyingkiran saingan tersebut iaitu Barito Putera sah berjaya mendapatkan jurulatih baharu mereka iaitu Rodney Goncalves.

Perkara tersebut disahkan sendiri menerusi laman Instagram kelab tersebut semalam bersama ucapan selamat maju jaya buat pengendali tersebut.

Rodney ditandatangani kelab tersebut bagi menggantikan khidmat bekas jurulatih Barito Putera sebelum itu, Dejan Antonic yang telah dilepaskan sejak 25 Ogos lalu.

Dejan Antonic dipecat setelah rekod kurang baik beliau sejak awal musim gagal untuk membawa Barito Putera melangkah lebih jauh dalam saingan liga.

Nama Rodney Goncalves mungkin masih asing dalam kalangan penyokong bola sepak Indonesia ketika ini setelah jurulatih tersebut belum pernah tiba di Asia Tenggara.

Namun, rekod beliau dilihat bukan calang-calang apabila Rodney yang memiliki lesen kejurulatihan UEFA Pro ini pernah memimpin Brazil bawah 17 (B-17) serta beberapa kelab di Eropah.

Lebih menarik, pemain terkemuka dunia iaitu Phillipe Coutinho ketika bersama Brazil dan kini bintang tersebut menjadi salah satu tonggak penting bersama Aston Villa dalam saingan English Premier League (EPL).

Sebelum bersama Barito Putera, jurulatih tersebut pernah menyertai saingan Brasilerio Serie C di Brazil untuk melatih Amazonas FC menurut Bola.com.

Rekod Rodney di sana juga agak menyakinkan apabila berjaya memperoleh lima kemenangan daripada 11 perlawanan dikendalikan beliau bersama pasukan tersebut.

Ketika ini, beliau memiliki tugas yang amat berat apabila perlu membawa Barito Putera untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Barito Putera ketika ini berada di kedudukan ke-17 saingan liga dengan hanya mengumpul empat mata sahaja daripada sembilan perlawanan telah dilalui.

Rodney juga bakal bekerjasama bersama bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) iaitu Renan Alves yang kini beraksi bersama pasukan tersebut selaku pertahanan import Barito Putera.

Renan yang juga merupakan pemain kelahiran Brazil setakat ini dianggap sebagai salah seorang pemain paling penting buat pasukan tersebut di barisan pertahanan.

Sumber:
Bola.com

Leave a Reply