“Minta Maaf Semua”- Azam Azih Akui Hilang Fokus Pada Saat Akhir

Saat Malaysia berjaya meraih kemenangan pada perlawanan pertama saingan King’s Cup semalam, ada individu yang boleh dikatakan bernasib agak malang dalam kem kebangsaan sepanjang permainan berlangsung.

Pemain tengah negara, Nor Azam Azih menjadi antara sasaran segelintir para penyokong skuad Harimau Malaya di media sosial semalam berikutan aksi ditampilkan beliau sangat kurang menyakinkan, selain menjadi salah satu punca kebangkitan Thailand pada penghujung permainan.

Pada perlawanan tersebut, kelibat Azam yang bergandingan bersama Brendan Gan dan Safawi Rasid di bahagian tengah dilihat agak kurang berfungsi sepanjang permainan.

Berbanding Brendan Gan yang sentiasa mengitari sekeliling padang untuk membantu rakan sepasukan serta menghalang kemaraan lawan dengan baik, kelibat Azam pula seolah kehilangan punca untuk menjadi enjin penting buat skuad kebangsaan.

Pemain tersebut juga dilayangkan dua kad kuning sepanjang perlawanan berlangsung, sekali gus menyaksikan Azam terpaksa keluar lebih awal sebelum perlawanan berakhir.

Disebabkan itu, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain dan akhirnya dibolosi oleh Thailand pada penghujung perlawanan untuk mengheret ke penentuan penalti.

Semalam, pemain tersebut telah pun memuat naik satu kenyataan yang berbaur rasa kecewa dengan meminta maaf kepada para penyokong negara atas kelemahan dirinya.

“Minta maaf semua, dah cuba yang terbaik tapi hilang fokus pada minit akhir permainan. Terima kasih pada keluarga dan rakan sepasukan atas kata-kata semangat.

“Komen-komen positif dan negatif semua akan jadi pembakar semangat saya untuk jadi lebih baik di masa akan datang,” jelas Azam menerusi Instagram rasminya.

Sesuatu yang agak positif dapat dilihat apabila rakan-rakan pemain lain turut tampil di ruangan komen untuk menaikkan moral Azam kembali.

Antara tampil untuk mempertahankan Azam ialah tonggak tengah kebangsaan iaitu Brendan Gan dengan menyatakan mereka akan terus berjuang bersama.

Selain itu, Safawi Rasid, Corbin Ong, Dion Cools dan beberapa lagi rakan pemain lain turut hadir di ruangan komen untuk menaikkan kembali motivasi pemain kelahiran Pahang itu.

Untuk perlawanan akhir menentang Tajikistan, Azam tidak akan bermain susulan layangan kad diterima ketika aksi menentang Thailand, dan dijangka Nazmi Faiz Mansor bakal dijadikan pilihan utama Pan-gon.

Walau apapun yang dibuat oleh Azam, pemain ini dilihat masih terus berjuang dengan baik dan jangan lupa, sekiranya beliau tidak menjatuhkan lawan pada penghujung aksi, sesuatu buruk mungkin berlaku dengan lebih awal.

Leave a Reply