Kemelut penjualan tiket terus menghantui arena bolasepak negara. Daripada saingan liga tempatan sehinggalah ke perlawanan skuad kebangsaan. Kali ini ia kelihatan lebih buruk kerana ia melibatkan skala jumlah penyokong yang tentunya lebih besar.
Pelbagai pandangan, saranan dan kritikan dihamburkan kepada badan berwajib, namun perkara ini sebenarnya bukan kali pertama berlaku. Malah kali ini, laporan polis turut dibuat mengenai penjualan tiket yang diragui mungkin berlaku penyelewengan.
Jika sebelum ini, Semuanya BOLA telah menerbitkan coretan salah seorang pembaca menerusi artikel ‘Penyokong Setia VS Bangsa Final, Siapakah Yang Lebih Berhak?’, kali ini mari kita amati pandangan seorang lagi penyokong Harimau Malaya, Arif Billah.
Nasib baik tak mati
Di sana sini, ramai yang kecewa dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan sistem penjualan tiket bagi perlawanan akhir Piala AFF Suzuki. Mereka ini adalah insan-insan yang kecewa kerana telah gagal mendapatkan tiket untuk perlawanan tersebut.
Apa yang disuarakan adalah mengenai kegagalan dari segi sistem penjualan tiket secara atas talian hinggalah penjualan secara fizikal. Boleh dilihat di gambar dan video, para penyokong telah berkampung dan berkhemah di stadium seawal jam 9 malam.
Ada juga yang tidur bergelimpangan di pusat beli-belah terutamanya di depan pintu kedai Al-Ikhsan semata-mata untuk mendapatkan tiket. Tidak kurang juga ramai yang pengsan dan pitam di dalam lautan manusia. Nasib baik tak mati.
Rakyat Malaysia berjuta, kapasiti stadium 100k
Kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh menampung sehingga 100,000 penonton dalam satu-satu masa, tetapi atas faktor keselamatan, untuk satu-satu perlawanan bola sepak kebiasaannya hanya 85,000 keping tiket sahaja akan dijual.
Jumlah rakyat Malaysia sahaja dah berjuta-juta. Pastinya ramai yang ingin turut sama merasai nikmat suasana perlawanan akhir seperti ini, namun, adalah sesuatu yang mustahil untuk SNBJ menampung kesemua rakyat Malaysia.
Dalam perlawanan akhir saingan liga tempatan juga, kita dapat melihat stadium ini ataupun Stadium Shah Alam akan dilimpahi puluhan ribu penyokong dua pasukan namun di peringkat nasional, pastinya ia akan melibatkan jumlah yang lebih ramai.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sewajarnya sudah belajar dan mampu menyediakan satu kaedah bagi menyelesaikan isu tiket ini kerana di peringkat liga juga sentiasa berlaku masalah penjualan tiket setiap kali melibatkan penting seperti perlawanan akhir.
Tidak mustahil, jika kapasiti stadium adalah 1 juta, rakyat dan penyokong Malaysia juga akan mampu memenuhinya.
Ada penambahbaikan oleh FAM
Untuk kejohanan kali ni, banyak juga penambahbaikan dari FAM dari segi penjualan tiket berbanding edisi terdahulu. Kali ini telah dibuka kaunter khas di Wisma FAM khusus buat penyokong setia yang telah mengembara jauh ke Kota Bangkok. Keutamaan yang diberikan itu tidak perlu dipertikaikan.
Walaubagaimanapun FAM juga perlu memberi keutamaan dan kaunter khas kepada penyokong yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi ketika 2 perlawanan peringkat kumpulan terutama ketika menentang Laos dimana hanya sekitar 12,000 penyokong sahaja yang hadir membanjiri stadium ketika itu.
Penyokong sedemikian juga layak diberikan keutamaan kerana bukan semua orang mampu untuk mengembara jauh ke negara orang. Atau mungkin boleh dibuat pas bermusim seawal peringkat kumpulan dan pemegang pas diberi keutamaan untuk membeli tiket perlawanan peringkat seterusnya, andai Malaysia layak.
Jadi, mungkin FAM boleh mempertimbangkan idea ini untuk kejohanan ataupun dalam saingan tempatan yang akan datang.
Jangan hanya tunggu final, teruskan sokongan luar biasa
Kasihan dengan rintihan beberapa kenalan dimana mereka gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir sedangkan mereka berada di sisi Harimau Malaya di stadium seawal peringkat kumpulan lagi.
Penyokong sedemikian juga berhak untuk berada di stadium ketika perlawanan akhir. Sesungguhnya tiada rezeki buat mereka dan mereka telah tewas perebutan tiket dengan ‘bangsa final’.
Walaubagaimanapun ‘bangsa final’ juga adalah penyokong bola sepak dan mereka juga ada peranannya walaupun hanya muncul ketika pasukan layak ke perlawanan akhir.
Diharapkan untuk edisi yang akan datang, akan ada perubahan dan penambahbaikan terutamanya dalam urusan pembelian tiket.
Dan diharapkan juga rakyat Malaysia dapat meneruskan sokongan luar biasa terhadap negara tercinta tidak kira dimana jua anda berada bukan setakat hanya ketika perlawanan akhir sahaja.
Malah, alangkah indahnya juga jika fenomena sebegini boleh diterjemahkan di semua perlawanan liga tempatan bukan hanya ketika pasukan melangkah ke perlawanan akhir sahaja.
Pastinya anda semua inginkan Malaysia layak ke Piala Dunia bukan? Perubahan dan peranan kecil bermula dari penyokong. Kenapa dari penyokong? Renung-renungkan.
Kepentingan penyokong
Apa yang diperkatakan oleh saudara Arif Billah di penghujung coretannya itu sangat penting disamping isu tiket ketika ini. Selain sokongan luar biasa buat skuad kebangsaan, sokongan kepada pasukan liga tempatan juga perlu dihangatkan.
Liga kita adakalanya sunyi daripada sorakan para penyokong melainkan jika pasukan tersebut mula melangkah ke peringkat yang lebih baik seperti separuh akhir dan perlawanan akhir.
Adakah yang beratur, berebut dan kecewa akibat tempiasnya tidak mendapat tiket perlawanan akhir ini turut sama memberi sokongan buat pasukan masing-masing di dalam saingan liga tempatan?
Ataupun sebagaimana ketika ini, sebilangan besar daripada mereka ini hanya timbul ketika pasukan tempatan mereka layak ke peringkat separuh akhir ataupun pentas final?
Penutup
Tidak dinafikan bahang final merangsang semua pihak untuk terlibat sama dalam merasai kenikmatan suasana perlawanan akhir. Tidak kira samaada anda adalah penyokong setia, bangsa final mahupun ahli politik, semua pihak akan cuba untuk turut sama ke final.
Namun, kehangatan ini wajar diteruskan juga dalam saingan liga tempatan selepas ini. Isu tiket ini biarlah pihak bertanggungjawab seperti FAM memikirkan solusinya. Dan biarlah pihak polis menyiasat jika berlaku ketirisan dalam penjualan tempohari.
Ayuh semua, kita kembali hangatkan saingan liga tempatan yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi. Pastikan pasukan kita juga mendapat sokongan selayaknya sebagaimana skuad Harimau Malaya rasai ketika ini. Ingatlah, liga kita, wajah kita.
Nota editor: Artikel ini adalah coretan Arif Billah di laman Facebook milik beliau dan disunting oleh Semuanya BOLA sebelum diterbitkan dengan kebenaran.