Legenda pertahanan Liverpool, Jamie Carragher menegaskan bahawa kelemahan jentera serangan The Reds ketika ketiadaan Mohamed Salah merupakan perkara yang merisaukan kelab tersebut.
Kenyataan Carragher itu ada kebenarannya selepas barisan hadapan Liverpool sedikit tumpul pada aksi bertemu Everton, awal pagi tadi yang mana pemain kelahiran Nagrig, Mesir tersebut tidak langsung diturunkan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Goodison Park itu, Jurgen Klopp menyandarkan harapan buat Roberto Firmino, Sadio Mane dan Takumi Minamino bagi memburu jaringan.
Minamino kemudiannya ditukarkan dengan Alex Oxlade-Chamberlain sebelum sepak mula babak kedua manakala Divock Origi dimasukkan bagi menggantikan Roberto Firmino di minit ke-65.
Melihatkan kepada perkembangan tersebut, Carragher mengakui ketiadaan salah seorang daripada peledak utama bakal memberikan masalah buat Liverpool.
”Tiga pemain utama jentera serangan [Liverpool] sememangnya begitu baik di Eropah tetapi apabila salah seorang tiada, ia akan menunjukkan penurunan prestasi.”
”Apabila Liverpool melepaskan mata di Manchester United, Salah tidak beraksi,” ujar Carragher menurut laporan Goal.
”Kerana itulah Liverpool perlu menambah kekuatan di jentera serangan mereka. Divock Origi adalah legenda buat Liverpool kerana dia sering menjaringkan gol pada perlawanan besar ketika saat getir tetapi kualitinya tidak cukup baik.”
”Adakah Takumi Minamino sebahagian daripada tiga penyerang itu? Bagi saya, tidak.”
”Tiga penyerang itu sangat keras dan tidak terlepas banyak perlawanan tetapi jika Liverpool kehilangan salah seorang dari mereka, terutamanya dia pemain ‘wide’, untuk jangka masa yang panjang, ia akan memberikan masalah sebenar pada musim hadapan,” tambah Jamie Carragher lagi.
Perkara yang menjadi kerisauan Carragher ini sudah diutarakan oleh beliau ketika Liverpool tidak berhajat untuk membawa masuk Timo Werner ke dalam pasukan dan membiarkan pemain tersebut menyertai Chelsea.