Jamal Nasir : “Tidak Adil Jika Ambil Tindakan Ke Atas Pahang”

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) baru-baru ini mengesahkan tidak akan menghantar penyertaan untuk bersaing di pentas Piala AFC 2018 bagi menggantikan Kedah FA yang gagal memperolehi lesen pertandingan.

Memetik sumber yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman rasminya, Pahang disahkan secara rasmi tidak menyertai kejohanan tersebut.

Badan induk bola sepak negara itu tidak mendapat sebarang maklum balas dari pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selepas tarikh akhir 30 November yang diberikan kepada pasukan Pahang berlalu.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) itu seharusnya diterima oleh semua pihak.

Beliau bercakap kepada berita harian, Pahang tidak boleh dipersalahkan menolak tawaran itu kerana mereka tidak layak secara merit sebaliknya menggantikan Kedah yang tidak dapat beraksi kerana tidak memiliki lesen AFC.

“Pada pandangan saya, keputusan Pahang menolak tawaran menyertai Piala AFC tepat kerana mereka ditawar bukannya disahkan beraksi pada pertandingan itu.

“Pada masa sama, keputusan Pahang juga mungkin disebabkan beberapa faktor iaitu pasukan belum bersedia serta tidak mempunyai cukup masa untuk membentuk barisan terbaik.

“Bagi mengelak menjadi pasukan yang gagal mempamer aksi terbaik di Piala AFC hingga memberi kesan terhadap mutu bola sepak negara, PBNP berasakan lebih baik menolak tawaran itu.

“Bagi saya hanya barisan kepimpinan PBNP yang tahu prestasi pasukan hingga memutuskan untuk menolak tawaran selepas Kedah tidak dibenarkan beraksi,” katanya kepada wartawan berita harian.

Pahang lulus dalam Perlesenan AFC bagi membolehkan mereka bertanding dalam saingan pentas Asia.

Menurut Jamal, tidak adil jika FAM memutuskan untuk mengambil tindakan ke atas Pahang dan mereka sepatutnya membantu Kedah sama ada mendapatkan lesen sementara daripada AFC bagi membolehkan skuad Helang Merah beraksi.

“Bagi saya tidak adil mengambil tindakan terhadap Pahang dan ia sememangnya tidak sepatutnya dilakukan kerana Pahang bukannya layak secara automatik.

“Sebaiknya FAM mencari jalan penyelesaian terbaik iaitu membantu Kedah mendapatkan lesen bukannya bertindak untuk menghukum Pahang,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John menjelaskan slot 1+1 buat pasukan dari Malaysia ke saingan berprestij benua Asia itu langsung tidak terjejas memandangkan kelayakan sudah diputuskan menerusi kedudukan ranking terkini kelab AFC.

“Penarikan diri Pahang tidak memberi apa-apa kesan kepada slot yang sudah ditawarkan bagi dua musim itu. Hanya slot Piala AFC bagi musim hadapan sahaja yang terjejas memandangkan ia tidak akan diberikan kepada pasukan lain selepas Pahang mengambil keputusan untuk menarik diri.

“Apapun, dua slot ini hanya diberikan untuk musim 2019 dan 2020 sahaja dan tidak ada jaminan pasukan daripada Malaysia akan terus bertanding dalam kejohanan itu.

“Jadi, kita perlu meneliti ranking terbaharu pada masa itu bagi menentukan sama ada Malaysia akan terus kekal mendapat dua slot untuk menyertai kejohanan terbabit,” katanya kepada wartawan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN