Pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere berjaya beraksi penuh dalam 90 minit perlawanan buat pertama kali dalam tempoh masa hampir tiga tahun apabila diturunkan pada perlawanan Piala Carabao bertemu Doncacter Rovers pagi tadi.
Pada perlawanan menentang pasukan dari EFL League One itu, Wilshere membantu Arsenal meraih kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan Theo Walcott pada minit ke-25.
Pemain yang sering mengalami kecederaan itu telah dipinjamkan ke Bournemouth pada musim lalu. Kali terakhir beliau beraksi penuh satu perlawanan bersama Arsenal adalah pada tahun 2014-15 ketika itu Arsenal tewas ditangan Southampton 2-1 dalam saingan pusingan ketiga Piala Liga (Capital One Cup) di Emirates Stadium.
Pagi tadi dalam saingan yang sama walaupun nama kejohanan yang berbeza, pemain berusia 25 tahun itu kembali membuat penampilan penuh buat skuad bimbingan Arsene Wenger sejak 492 hari menunggu.
Satu tempoh masa yang agak lama buat seorang pemain.
Aksi yang ditampilkannya pada perlawanan tersebut juga membuatkan Arsene Wenger percaya bahawa Jack Wilshere sudah bersedia untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Wenger juga berpuas hati dengan persembahan pemain berasal dari England itu ketika menentang Doncaster Rovers.
“Saya mahu mengekalkannya. Ia adalah permainan yang ideal,” kata Wenger kepada wartawan. “Anda perlu meletakkan permainan itu ke dalam perspektif, tetapi penting untuk dia membinanya.
“Bagi saya dia kini boleh bermain. Saya perlu membuat keputusan bila untuk menurunkannya . Dia memerlukan masa intensiti selama 90 minit untuk diulangi.”
Wilshere turut beraksi pada perlawanan Liga Europa ketika menewaskan FC Cologne 3-1 apabila dimasukkan pada minit ke-68 bagi menggantikan Alex Iwobi pada minggu lalu.
Sumber :
Goal (2017) – http://www.goal.com/en-my/news/wilshere-goes-90-for-arsenal/17aokf2k9qk191v7coctamxtwf
Goal (2017) – http://www.goal.com/en-my/news/wenger-ready-to-give-wilshere-more-chances-with-arsenal/1kh5mc8tommsw1314z9oi8e3bk