Beberapa musim ini, kita banyak mendengar isu tunggakan gaji pemain dan juga isu melanggar kontrak dalam pengurusan Liga Malaysia.
Kami sempat berbual dengan salah seorang pegawai Kesatuan Pemain, Professional Footballers Association of Malaysia (PFAM) tentang gejala ini.
Kenapa isu ini masih kritikal? Hasil daripada perbincangan positif itu, kami gariskan 3 sebab utama masalah ini.
1. Kelab Gagal Menepati Kontrak
Isu yang paling kritikal adalah apabila kelab tidak mampu membayar jumlah gaji berdasarkan apa yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Ia adalah isu tidak profesional dan tidak sepatutnya berlaku.
Banyak alasan yang digunakan oleh pasukan. Antaranya adalah isu penampilan pemain dalam satu musim. Mereka tidak berpuas hati apabila pemain tidak dapat bermain banyak perlawanan.
Dalam bola sepak, pemain adalah manusia dan mereka bermain satu sukan yang tinggi risiko kecederaan. Ada juga pemain tidak diturunkan kerana beraksi teruk (off-form) dan masalah-masalah lain.
Jadi, isu untuk tidak membayar mereka kerana isu jumlah penampilan ini, jika tidak termaktub di dalam kontrak sepatutnya tidak berlaku.
Lebih pedih, apabila ada pemain yang sedang dalam kecederaan dilepaskan oleh kelab sama ada dengan pampasan penamatan kontrak tetapi tidak dibayar baki gaji yang ada pada baki kontrak.
Pemain yang tercedera adalah tanggungjawab kelab untuk membantu menyediakan khidmat pemulihan dan rehabilitasi selagi-lagi mereka ada kontrak dengan pasukan tersebut.
2. Sikap Pemain Dalam Menandatangani Kontrak
Kami mendapat tahu daripada pihak PFAM, masih ramai pemain yang terlalu naif dalam menandatangani kontrak. Kontrak pemain melibatkan isu dari kedua-dua pihak.
Kadangkala pemain terlalu teruja dengan angka gaji. Mereka tidak mengambil berat klausa lain yang berpotensi menyusahkan mereka di kemudian hari.
Timbul juga persoalan, adakah pemain sudah meneliti satu persatu klausa kontrak? Ataupun dapat kertas kontrak pada hari itu dan tandatangan.
Jika pemain tidak begitu arif tentang penelitian kandungan kontrak mereka boleh melantik mana-mana individu ataupun pakar perundangan untuk membantu mereka.
Kontrak adalah persetujuan yang dimeterai selepas kedua-dua pihak bersetuju. Pihak kelab berhak meminta dan pihak pemain pun sama.
Isu kritikal adalah pihak pemain tidak tahu hak mereka ke atas kontrak melibatkan mereka. Misalnya di England, ada pemain meminta klausa khas untuk diselit di dalam kontrak mereka.
Sebab itu anda biasa mendengar perbincangan kontrak masih dalam status ‘hold’. Sekarang ini, dilaporkan Arsenal dan Alexis Sanchez sedang berbincang tentang kontrak, ia hampir sebulan sudah berlalu.
Namun pihak Alexis Sanchez tidak tergesa-gesa untuk menandatangani kontrak kerana beliau ada permintaan beliau sendiri.
Ada pemain takut, sikap terlalu ‘cerewet’ / demand ini menyukarkan mereka dapat kelab. Ini antara punca kenapa klausa kontrak sangat berat sebelah dan pemain cuma menurut sahaja kehendak kelab.
Jika pemain sedar akan hak mereka ke atas kontrak, pemain boleh mengawal klausa perlepasan, pampasan jika kontrak dilanggar (breached) dan klausa yang menghalang pemain daripada ditamatkan kontrak kerana masalah kecederaan.
Pemain seperti Neymar menyelitkan klausa agar Barcelona menanggung perbelanjaan setiap bulan bagi rakan dan keluarga beliau yang mahu datang melawat beliau dari Brazil ke Barcelona.
Ia nampak pelik, tapi pemain tahu mereka ada hak untuk meminta dan kelab ada hak untuk menolak atau mempersetujuinya.
3. Ejen Pemain
Di negara kita, kami mendapat tahu kebanyakan ejen pemain adalah orang persendirian. Tidak ada lagi agensi pemain yang benar-benar dikenali.
Di luar negara, Cristiano Ronaldo bernaung di bawah Jorge Mendes yang ada syarikat bernama Gestifute. Mereka menyediakan khidmat konsultansi kepada semua aspek kontrak termasuk perundangan, pengurusan cukai dan kebajikan pemain.
Di negara kita, ejen pemain lebih kepada orang tengah yang akan menghubungkan pemain dengan kelab. Mereka tidak begitu kisah pasal aspek kebajikan pemain dan mereka tidak mempunyai kepakaran untuk berbuat demikian.
Realitinya, kebanyakan ejen adalah berorientasikan wang atas transaksi pemain. Semakin banyak transaksi berlaku maka semakin tinggilah bayaran yang diterima ejen. Di Malaysia, banyak kontrak yang matang untuk setahun dan dua tahun.
Ini antara sebab pergerakan pemain dari kelab ke kelab sangat aktif. Ada kelab berpendapat, risiko untuk memberikan pemain import lebih daripada setahun kerana, jika mereka tidak menyerlah, ia merugikan.
Kelab terpaksa membayar masa mereka rehat panjang dan sebagainya. Sebab itu ditegaskan, cari pemain berdasarkan data scouting.
Benda macam ini sukar dielakkan namun, jika data scouting itu bagus, maka risiko menandatangani pemain yang salah dapat dikurangkan.
Bayangkan musim lalu, ada sebuah pasukan di Malaysia membelanjakan sekitar RM700,000.00-RM800,000.00 hanya untuk bayaran ejen pemain.
Jumlah yang cukup besar jika dilaburkan untuk infrastruktur ataupun pembangunan pemain muda. Jadi timbul keraguan, kenapa kelab terlalu mudah memberikan bayaran kepada ejen?
Ada juga yang mempertikaikan mungkin berlaku ‘magic-hand’ dalam isu ini. Itulah spekulasi yang kita dengar.
Pemain juga harus cuba sedaya upaya memilih ejen terbaik untuk mewakili mereka. Ejen yang memiliki latar belakang yang kuat dalam selok belok pengurusan kontrak dalam bola sepak.
Ejen yang ada potensi untuk memperjuangkan nasib mereka ketika kontrak dilanggar dengan khidmat pakar guaman dan sebagainya.
Buat masa ini, kebanyakan kes adalah dikendalikan oleh PFAM. Namun bukan semua pemain berdaftar dengan PFAM. Ia bukan mandatori. PFAM memberi kebebasan untuk pemain terlibat dalam persatuan pemain ataupun tidak.
Jadi, bagi kami, tidak ada alasan untuk pemain-pemain tidak menyertai PFAM yang hanya mengenakan yuran RM150 setahun.
Solusi?
Hasil daripada perbincangan, kami berpendapat, masalah ini agak kompleks. Ini kerana, pihak pemain sendiri yang tidak cukup kesedaran tentang isu kontrak.
Kami juga bertanya sama ada penetapan salary cap atapun penetapan had gaji maksimum akan dapat membantu masalah ini. Pihak PFAM tidak rasa ia pilihan yang tepat.
Ini kerana, sebelum mengawal gaji maksimum, perlulah ada penetapan gaji minimum terlebih dahulu. Namun isu kawalan gaji ini bukan masalah utama.
Ia lebih kepada sikap pengurusan yang tidak realistik dalam menjaga budget mereka. Ada pengurusan yang mengharapkan duit dari masa depan, bukannya duit yang sudah ada di dalam tangan.
Kes Kelantan misalnya, kenapa KAFA perlu menjadikan alasan duit tajaan tidak masuk sebagai sebab mereka gagal membayar gaji pemain?
Paling penting adalah kesedaran pemain tentang hak mereka ke atas kontrak mereka. Mereka harus cepat bertindak sebaik sahaja gaji mereka tidak dibayar berdasarkan jumlah pada tarikh yang dipersetujui.
Buat masa ini, masih terlalu banyak kes tunggakan gaji pemain oleh pasukan-pasukan di negara kita. Jika masalah ini terlalu meruncing ia dikhuatiri akan menjejaskan imej liga kita di mata AFC mahupun FIFA.
Kita berharap lebih banyak kesedaran dan profesionalisme daripada pihak pihak yang terlibat dalam kontrak pemain termasuk yang menawarkan dan yang ditawarkan.
Jawab soalan kuiz #BolaVaganza dan menang!
[adrotate banner=”27″]
Untuk pengetahuan anda, app Inikan Bola sedang menganjurkan kuiz #BolaVaganza yang menawarkan hadiah-hadaiah lumayan kepada peminat bola sepak tempatan tegar.
Bagaimana cara untuk menang hadiah lumayan ini?
Muat turun app Inikan Bola di Google Play Store dan sertai kuiz #BolaVaganza sekarang!
Baca juga : Shah Alam Antlers FC: Gabungan Idea Freiburg, Kashima & Western Sydney Wanderers