Shah Alam Antlers FC: Gabungan Idea Freiburg, Kashima & Western Sydney Wanderers

Jika saya perlu menjelaskan apa itu Shah Alam Antlers FC dalam satu ayat, saya akan menjawab:

Shah Alam Antlers FC adalah jawapan orang Shah Alam kepada soalan ‘apakah sumbangan anda kepada bola sepak negara’.

Ketika John F. Kennedy memberikan ucapan pertamanya sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Januari 1961, beliau telah memberikan satu ucapan ikonik. Dalam ucapannya Kennedy berkata:

“And so, my fellow Americans: ask not what your country can do for you — ask what you can do for your country.”

Ia satu bait ucapan yang hebat. Sangat hebat sehinggakan sampai sekarang orang masih ingat mesejnya: jangan tanya apa yang negara boleh buat untuk anda, tanya apa yang anda boleh buat untuk negara anda.

Sebagai peminat bola sepak, bait ucapan Kennedy ini juga selalu membuatkan saya tertanya-tanya: apa sumbangan saya kepada bola sepak negara?

Kritik di FB tapi tiada inisiatif diri sendiri

Bola sepak tempatan bukanlah satu subjek yang membanggakan peminat bola sepak tempatan sejak akhir-akhir ini. Maka tak hairanlah ia sering menjadi subjek kritikan, cacian dan makian.

Tetapi bak kata orang, kritik itu mudah. Apa pula sumbangan saya selain daripada mengkritik di artikel dan media sosial?

Saya beruntung kerana mempunyai 7 rakan yang berfikiran serupa. Letih mengkritik, kami buat kelab bola sepak sendiri. Maka lahirlah Shah Alam Antlers FC. Seronoknya bukan kemain.

Sumber: Shah Alam Antlers Football Club

Masalah tubuhkan kelab bola sepak

Selepas rasa seronok-seronok dah mula beransur, reality sets in.

Di mana nak cari pemain? Di mana nak cari coach? Di mana nak cari padang bermain dan padang latihan? Macam mana nak tarik sokongan komuniti? Apa strategi nak tarik penaja? Pemain dan coach perlukan gaji. Mana nak cekau duit? Macam mana nak minimumkan kos penggunaan padang?

Anda mungkin fikir semua masalah ini boleh diselesaikan dengan duit. Tapi di sinilah ramai orang – termasuk kami – silap. Ada juga masalah-masalah yang kami tak dapat selesaikan dengan duit.

Bagaimana nak luangkan masa untuk kelab apabila kami sibuk bekerja? Bagaimana nak bekerja dengan 7 individu yang berlainan personaliti? Bagaimana nak menegur mereka jika mereka buat silap? Bagaimana nak memujuk kawan-kawan jika mereka marah?

Ketika inilah kami sedar apa maksudnya ‘mengkritik memang senang, nak buatnya susah’.

Lupakan agenda peribadi, utamakan orang Shah Alam

Semua masalah ini boleh menghancurkan pelan asal penubuhan Shah Alam Antlers jika kami lupa dan abaikan sumber kekuatan kami: penyokong-penyokong Shah Alam Antlers FC.

Ketika kelab tiada modal untuk mencetak t-shirt kelab, penyokonglah yang mengumpul duit sesama mereka untuk dijadikan modal. Apabila t-shirt habis dijual, modal dipulangkan kepada mereka semula. Hasil keuntungan dijadikan dana untuk kelab.

Ketika kelab masih sibuk dengan urusan kontrak pemain, penaja dan pendaftaran liga, penyokong jugalah yang membuat aktiviti community engagement dengan orang-orang Shah Alam lain.

Ketika kelab masih kekurangan staf, penyokonglah yang membantu kelab menjayakan Trial Day yang dihadiri 500 pemain. Merekalah yang mengutip bola, mengangkat barang-barang dan mengemaskan stadium.

Masakan kami boleh lupakan mereka! Layakkah kami untuk membatalkan hasrat penubuhan Shah Alam Antlers kerana tiada duit?

Setiap kali kami mempunyai masalah, kami kuatkan semangat.

Tiada padang, kami buat kerjasama strategik dengan pemilik Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam; Shoot & Score Sdn Bhd.

Kelab tiada dana, kami keluarkan duit poket kami sendiri. Kami jual kad keahlian, t-shirt dan jersi. Kami dapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat yang mempunyai demografik target market yang sama dengan kami.

Semuanya demi warga Shah Alam.

Visi kelab hasil adunan Freiburg, Kashima & Western Sydney

Uniknya Shah Alam Antlers, setiap orang mempunyai idea unik dan bebas mengutarakannya kepada pihak pengurusan kelab.

Ketua Pengarah Eksekutif kami, Ahmad Yani Ismail begitu mengagumi model kelab Bundesliga di Jerman, Freiburg. Beliau memberitahunya dengan terperinci dalam artikel ini (KLIK DI SINI).

Presiden Ahmad Suffian Mamat, Timbalan Presiden Mizal Ghazali dan saya memandang model kelab-kelab J-League di Jepun sebagai rujukan. Antara kelab yang pernah kami lawati adalah Kashima Antlers, Tokyo FC, Tokyo Verdy, Yokohama F Marinos dan Machida Zelvia.

Penyokong kami juga mempunyai rujukan mereka sendiri iaitu Western Sydney Wanderers; kelab berasaskan komuniti Barat Sydney yang baru ditubuhkan tetapi sudah pun bergelar juara AFC Champions League.

Ketika artikel ini ditulis, presiden kami sedang berada di Jepun untuk mencari peluang kerjasama strategik dengan kelab-kelab kecil di sana.

Dalam pada masa yang sama, seorang penyokong kami pula sedang berada di Manchester untuk belajar cara melakukan community engagement dari FC United of Manchester.

Jika dilihat semua kelab-kelab ini, mereka mempunyai banyak persamaan:

  • Mempunyai asas komuniti yang kuat. Aktiviti kelab banyak melibatkan komuniti. Sokongan kelab datangnya dari komuniti.
  • Mengamalkan cara pengurusan kelab yang telus, mampan dan profesional.
  • Memberi kuasa kolektif kepada penyokong dalam pengurusan kelab.
  • Melakukan program pembangunan akar umbi di peringkat komuniti

Freiburg, Kashima Antlers atau Western Sydney Wanderers, kami sedia belajar jika ia memberi manfaat kepada Shah Alam Antlers.

Menjelang aksi rasmi pertama

17 Disember 2016 merupakan hari bersejarah bagi kelab kami. Pada hari ini, Shah Alam Antlers akan memulakan aksi rasmi pertama dalam Klang Valley League menentang lawan kuat; Ingress Tigers FC.

Jika anda mahu menikmati matchday experience yang berbeza daripada perlawanan Liga Super, Perdana dan Piala FAM, ini perlawanan untuk anda.

Jika anda mahu menyaksikan bagaimana Shah Alam Antlers beraksi secara rasmi buat kali pertama, ini perlawanan untuk anda.

Jika anda tertanya-tanya dan ingin tahu apa bezanya Shah Alam Antlers dengan kelab-kelab lain, inilah perlawnanan untuk anda.

Kru Semuanya BOLA juga turut akan memeriahkan perlawanan ini. Kami akan menjual jersi original Selangor, Perak, kasut futsal, bola dan larian untuk anda dapatkan.

Jom ramai-ramai datang ke Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Seksyen 21! Jumpa anda di sana!

Nota editor: Penulis merupakan ketua editor semuanyabola.com dan salah seorang tenaga kerja Shah Alam Antlers FC. 

Baca juga: Terengganu City FC: Kelab Bola Sepak Cetusan Penyokong Yang Mahukan Perubahan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN