Barisan lama yang menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika masih lagi teras kepada skuad La Roja ini. Sebelum itu, Sepanyol adalah juara Eropah pada 2008, dan mengulangi kejayaan yang sama pada 2012.
Namun mereka dikecewakan pada 2014 di Brazil apabila tersingkir seawal peringkat saingan kumpulan.
Andres Iniesta, Sergio Busquets, Sergio Ramos dan Gerard Pique masih menjadi nadi utama skuad Sepanyol ini, namun misi kali ini diibaratkan seperti ‘now or never’ buat barisan pemain ini.
Skuad Sepanyol ke Rusia
Beberapa nama dari luar La Liga khususnya EPL seperti David De Gea, David Silva, Cesar Azpilicueta, Nacho Monreal dan juga Andres Iniesta yang ke China telah disahkan antara 23 nama akhir yang dinamakan Julen Lopetegui.
Tatkala nama seperti Gerard Pique, Sergio Ramos, Jordi Alba and Sergio Busquets sememangnya antara nama tetap skuad Lopetegui, Diego Costa meneruskan kebangkitan sejak meninggalkan Chelsea untuk turut ke Rusia.
Namun demikian, tiada tempat buat trio dari Chelsea, Alvaro Morata, Marcos Alonso dan juga Cesc Fàbregas di dalam pasukan Sepanyol ini.
Cabaran Sepanyol
Berada di dalam Kumpulan B, cabaran Sepanyol di Piala Dunia kali ini bermula dengan penuh liku apabila terlebih dahulu perlu berhadapan dengan juara eropah, Portugal pada 16 Jun.
Kemudian ia diikuti dengan wakil Asia, Iran sebelum cabaran peringkat kumpulan ditutup dengan berhadapan Maghribi pada 26 Jun.
Tatkala Sepanyol dijangka tiada masalah dengan cabaran Iran dan Maghribi, Portugal pasti satu ujian besar buat La Roja.
Analisis taktikal
Dalam keseluruhan perlawanan kelayakan dan persahabatan, Sepanyol menggunakan formasi 4-2-3-1 dan 4-3-3. Jujurnya, kedua-dua formasi ini tidak jauh berbeza.
Formasi sedemikian membenarkan Sepanyol memfokuskan jumlah pemain di bahagian tengah; kelebihan yang mereka miliki disebabkan kelebihan bakat di dalam skuad La Roja.
Ketika menyerang, formasi 4-2-3-1 memberikan skuad Lopetegui lebih stabiliti. Sergio Busquets dan Koke akan mengambil tugasan bertahan di bahagian tengah.
Manakala ancaman dari sisi sayap diberikan oleh kedua-dua bek sayap iaitu Dani Carvajal (jika cergas) dan juga Jordi Alba. Selepas itu, Diego Costa mampu memberikan ancaman untuk menerima hantaran lintang dari kedua-dua belah sayap.
Sistem 4-2-3-1 ini juga membenarkan Sepanyol mengekalkan tekanan di bahagian tengah padang dengan pemain seperti Andres Iniesta, David Silva, Marco Asensio dan Isco bebas bergerak dari arh sisi ke bahagian tengah untuk memberikan ruang kepada bek sayap turut melakukan asakan.
Sepanyol turut menggunakan formasi 4-3-3. Bezanya dengan 4-2-3-1, formasi 4-3-3 digunakan oleh Lopetegui untuk menggunapakai peranan No.9 jadian yang diberikan kepada Isco.
Bercakap mengenai Isco, di bawah kendalian Lopetegui, pemain ini boleh beraksi di dalam sekurang-kurangnya tiga posisi.
Selain daripada sebagai No.9 jadian, Isco turut boleh beraksi sebagai No.10, dan juga pemain sayap sebelah kanan. Ini menjadikan baik 4-2-3-1 ataupun 4-3-3, Isco mempunyai peranan yang sama iaitu untuk mengekalkan fluiditi pasukan melalui peranannya.
Seperti 4-2-3-1, formasi 4-3-3 ini turut membenarkan pemain sayap bergerak bebas ke arah tengah. Kaedah ini memberi kelebihan kepada Sepanyol untuk menembusi garis pertahanan akhir lawan dari bahagian tengah, terutamanya lawan yang menggunakan pemain pertahanan yang tinggi dan kurang pantas.
Walaupun memiliki unit serangan yang serba mantap, penulis berpendapat Sepanyol harus memerhatikan beberapa isu di bahagian pertahanan.
Salah satu isu di bahagian pertahanan ialah untuk mengendalikan serangan balas pantas lawan daripada bahagian sisi sayap.
Ini kerana kedua-dua belah pemain bek cenderung untuk membantu serangan. Perkara ini akan meninggalkan ruang sekaligus memberikan kelebihan untuk lawan yang pantas melakukan transisi bertahan kepada serangan.
Jika lawan memiliki pemain sayap yang pantas, bahagian sisi sayap pasti menjadi zon kelemahan Sepanyol ketika diserang balas.
Pemain tumpuan
Pasukan Sepanyol ini dibarisi oleh deretan pemain bintang yang memiliki pengalaman beraksi di peringkat tertinggi di dalam bola sepak.
Trofi kejuaraan adalah kebiasaan majoriti bagi pasukan ini. Namun pemain yang menarik perhatian kami di dalam skuad Lopetengui ini ialah penyerang Real Madrid, Isco.
Bersama Los Blancos, Isco kerap kali dibayangi oleh Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan juga Karim Benzema.
Namun bersama La Roja, Isco diberikan lebih kepercayaan untuk mengekspresikan kualiti yang dimilikinya sebagaimana ketika membantu Sepanyol membelasah Argentina 6-1 pada Mac lalu.
Sasaran realistik
Juara dunia? Sepanyol memiliki ramuan untuk berbuat demikian. Namun apa sahaja boleh berlaku di pentas Piala Dunia.
Muncul juara pada edisi 2010 di Afrika Selatan, edisi kejohanan yang sama pada 2014 di Brazil seharusnya meberikan pengajaran buat Sepanyol.
Tewas 5-1 kepada Belanda, sebelum sah disingkirkan oleh Chile selepas turut tewas 2-0 adalah indikasi jelas bahawa Piala Dunia tidak mengenal status sesebuah pasukan jika fokus tidak diberikan sepenuhnya.
Namun berdasarkan barisan skuad sedia ada, separuh akhir adalah sasaran yang realistik, dan apapun boleh berlaku selepas itu.
Penutup
Sepanyol adalah salah sebuah pasukan tumpuan di edisi Piala Dunia di Rusia kali ini.
Namun demikian, status pasukan pilihan tidak semestinya menjamin kemaraan, apatah lagi kejuaraan.
Sejauh mana pencapaian Sepanyol di dalam kejohanan Piala Dunia di Rusia kali ini?