‘Insights’ Benjamin Mora Tentang Syafiq Ahmad Yang Boleh Cuba ‘Ditiru’ Penyerang Tempatan Lain

Syafiq Ahmad Benjamin Mora komen 2019

Minit ke-15, Syafiq Ahmad terpaksa dikeluarkan dan digantikan oleh Mohamadou Sumareh, namun Malaysia akhirnya tumbang juga kepada musuh Seberang Tambak, Singapura dengan keputusan 1-2, pada Sabtu.

Dan terang lagi bersuluh, Sumareh gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Syafiq Ahmad. Ia juga berlaku dalam aksi berdepan Filipina apabila Sumareh gagal memainkan peranan sebagai penyerang skuad negara.

Kita tak boleh salahkan pemain naturalisasi negara itu oleh kerana beliau bukanlah pemain di posisi serangan. Seperti yang kita tahu, Sumareh merupakan pemain sayap dan mungkin itulah kali pertama beliau diberikan peranan sebagai penyerang. Dan di bawah Kim Pan-gon, Malaysia menggunakan taktikal penyerang False 9.

Kesan Tanpa Syafiq Ahmad & Dion ‘Tak’ Cools Antara 5 Perkara ‘Kemarau’ Kemenangan Malaysia Atas Singapura

Mungkin pengendali kelahiran Korea Selatan itu mahu menguji Sumareh sebagai False 9. Eksperimen itu gagal dan beliau tetap memberikan peluang itu kepada pemain sayap itu dek kerana kekurangan pilihan di bangku simpanan. Jika Darren Lok ada, mungkin pemain itu bakal diberikan lampu hijau untuk masuk ke padang.

Luqman Hakim juga mampu memainkan peranan tersebut seperti ketika beliau beraksi bersama skuad B-22 dalam kelayakan Piala Asia B-22, tetapi hanya Kim Pan-gon tahu mengapa beliau bukan pilihan utama.

Pengulas di Astro Arena, Keeshaanan Sundaresan dilihat turut menekankan mengenai kesan ketiadaan Syafiq Ahmad di jentera serangan. Jelas, Malaysia seperti hilang rentak di depan selepas kehilangan sentuhannya.

Ringkasnya, False 9 adalah keadaan berlaku di mana single striker berlegar-legar jauh dari kawasan penalti lawan dan berkedudukan lebih dalam dari posisi striker tulen. Mereka bersifat roaming di pelbagai posisi.

False 9 adalah satu konsep di mana peranan nombor 9 (penyerang tengah) bukan dimainkan oleh penyerang tulen. Mereka biasanya daripada nombor posisi lain terutama sekali nombor 10, penyerang sayap dan nombor 8. Ini faktor mengapa Sumareh – pemain sayap menyerang diberikan ‘lesen percubaan’ oleh Kim Pan-gon.

Untuk mengetahui lebih mendalam tentang taktikal False 9, anda boleh baca artikel Semuanya BOLA di sini.

Pengenalan Kepada Taktik Licik “The False 9”

Insights daripada pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tentang Syafiq Ahmad mungkin boleh membantu kita memahami bagaimana beliau berfungsi. Di Malaysia, sukar untuk kita menemui penyerang tempatan sepertinya yang boleh bermain sebagai ‘penyerang palsu’. Jadi, insights ini perlu diberi perhatian.

Ketika pemain yang dipinjamkan beraksi di Kedah Darul Aman FC pada musim ini sedang berada di kemuncak prestasi bersama JDT pada musim 2019, Benjamin Mora ada ‘bercerita’ tentang prestasi Syafiq Ahmad ketika mereka berhasil menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2019 selepas menundukkan Kedah 3-0 di pentas final.

“Jika Diogo tiada dalam padang, adakah ia berbeza, adakah ia baik atau buruk? Bagi saya, ianya berbeza. Mereka beri kesan berbeza kepada pasukan. Kedua-duanya berada pada tahap terbaik. Diogo pamer kebijakkannya, berikan segala pengalaman, pamer kawalan bola yang baik dan tentunya meledak gol.

“Tetapi, Syafiq [Ahmad] ketika ini adalah pemain penyerang terbaik di dalam Malaysia. Sebagai pemain nombor 9, sebagai penyerang kedua, dia juga boleh bermain di sayap dan beraksi di belakang penyerang utama. Dia boleh buat banyak tugasan. Dia adalah pemain yang bagus dan dalam prestasi terbaik. Saya tidak risau memasukkan Syafiq tetapi sedih kerana Diogo tidak dapat meneruskan permainannya.”

Benjamin Mora, sidang media pasca final Piala Malaysia 2019

Piala Malaysia 2019: Saya Tidak Risau Masukkan Syafiq Ahmad Untuk Diogo

Berdasarkan komen pengendali JDT itu, Syafiq Ahmad adalah seperti penyerang serba boleh. Setiap posisi di jentera serangan mampu digerakkannya menjadikannya calon terbaik untuk menjadi False 9 terbaik negara.

Oleh itu, setiap penyerang tempatan perlu cuba untuk menjadi sepertinya agar mampu menarik perhatian Kim Pan-gon selepas ini. Peranan ini amat digemarinya menjadikan sesiapa yang mampu menjelmakan aksi seperti Syafiq Ahmad, mungkin mudah untuk mereka dipertimbangkan bagi menyertai kem skuad kebangsaan nanti.

Mungkin Kim Pan-gon ada caranya yang tersendiri, tetapi tak salah untuk penyerang tempatan yang diturunkan beraksi di Liga Super selepas ini untuk cuba mencipta sesuatu yang seakan-akan Syafiq Ahmad telah lakukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN