Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Saya Tidak Risau Masukkan Syafiq Ahmad Untuk Diogo

Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih trofi ketiga dalam saingan musim 2019 apabila berjaya menundukkan juara Piala FA, Kedah dengan keputusan 3-0 di pentas final Piala Malaysia 2019, malam tadi.

Untuk musim 2019, JDT telah meraih Piala Sumbangsih, kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia. Apa yang diperkatakan sejurus aksi berakhir adalah bagaimana kemasukkan penyerang skuad negara, Syafiq Ahmad yang membolehkan JDT membuka akaun jaringan.

Dalam sidang media sejurus perlawanan, pengendali JDT, Benjamin Mora menjelaskan mengenai perubahan yang dibawa oleh Syafiq Ahmad yang masuk menggantikan penyerang utama, Diogo pada minit ke-24, selepas kecederaan kaki membataskan aksinya.

“Jika Diogo tiada di dalam padang, adakah ianya berbeza, adakah ianya baik atau buruk? Bagi saya, ianya berbeza. Mereka beri kesan berbeza kepada pasukan. Kedua-duanya berada pada tahap yang terbaik. Diogo pamer kebijakkannya, berikan segala pengalaman, pamer kawalan bola yang baik dan tentunya menjaringkan gol.

“Tetapi, Syafiq [Ahmad] ketika ini adalah pemain penyerang terbaik di dalam Malaysia. Sebagai pemain nombor 9, sebagai penyerang kedua, dia juga boleh bermain di sayap dan beraksi di belakang penyerang utama. Dia boleh buat banyak tugasan [dalam padang].

“Dia adalah pemain yang bagus dan dalam prestasi terbaik. Saya tidak risau memasukkan Syafiq tetapi sedih kerana Diogo tidak dapat meneruskan permainannya,” jelas pengendali kelahiran Mexico itu sambil memaklumkan kecederaan Diogo belum pulih sepenuhnya dan mereka sudah jangkakan ianya bakal berlaku.

Syafiq Ahmad yang dimasukkan menggantikan penyerang berbisa JDT itu lantas membantu Harimau Selatan memperolehi jaringan pertama tiga minit kemudian, selepas menghantar bola kepada Gonzalo Cabrera yang melorongkan kepada Leandro Velazquez untuk gol pertama perlawanan akhir dan gol pertama JDT.

Syafiq Ahmad kemudian meledak jaringan rutin menerusi tandukan padu untuk menewaskan Ifwat Akmal kali ketiga pada minit ke-58 seterusnya memadamkan terus api perjuangan Helang Merah.

Bercakap megenai kemenangan ke atas Kedah, Benjamin Mora menyatakan Kedah tewas mungkin disebabkan skuad yang tidak lengkap atas masalah penggantungan dan kecederaan pemain utama yang menyaksikan mereka bergelut sepanjang 90 minit.

“Kedah kehilangan pemain seperti pertahanan daripada Brazil [Renan Alves], Rizal [Ghazali], Fernando [Rodriguez] dan Alex [Azamuddin Akil] saya rasa mengalami kecederaan. Saya rasa mereka skuad yang tidak lengkap dan itu membantu JDT untuk mengawal perlawanan,” jelas pengendali berusia 40 tahun itu.

Benjamin Mora turut mezahirkan rasa terima kasih dan bersyukur atas peluang yang diberikan Tengku Mahkota Johor (TMJ) ke atas semua yang terlibat untuk projek bersama JDT pada musim ini.

Kredit Featured Image: Johor Southern Tigers