Bundesliga 2019/20: Hatrik Werner Bantu RB Leipzig Ratah Mainz 8-0, Hoffenheim Terus Membara Atasi Paderborn

RB Leipzig menamatkan empat perlawanan tanpa kemenangan dalam Bundesliga dengan penuh bergaya selepas mencatatkan rekod baharu kelab dengan menundukkan Mainz 8-0 di Red Bull Arena.

Selepas melakar kemenangan 6-1 ke atas Wolfburg pada pertengahan minggu dalam saingan Piala DFB, anak buah Julian Nagelsmann memastikan prestasi cemerlang mereka diteruskan dengan mendominasi permainan sepanjang aksi ini.

Timo Werner mencipta gol pertama dengan hantaran lintang dari sebelah kiri yang disudahkan Marcel Sabitzer seawal lima minit masa permainan. Werner dan Yussuf Poulsen hampir menambah jaringan beberapa minit kemudian.

Mainz hampir menyamakan kedudukan tetapi kecekapan penjaga gol Peter Gulasci berjaya menyelamatkan menyelamatkan tandukan Alexander Hack dengan kakinya.

Setengah jam selepas permainan berlangsung, Leipzig menggandakan kedudukan menerusi serangan balas pantas yang disudahkan Werner hasil hantaran lintang rendah dari kiri oleh Christopher Nkunku.

Lima minit kemudian, Timo Werner pula membalas jasa dengan hantaran pendek kepada Nkunku sebelum pemain muda Perancis itu merembat kencang dari luar kotak penalti untuk gol ketiga pasukan dan juga gol ketiga peribadinya musim ini.

Hanya tiga minit selepas itu Leipzig terus mengganas dengan gol keempat menerusi bek kiri, Marcel Halstenberg yang menyudahkan hantaran lintang Yussuf Poulsen dari kanan.

Seminit sebelum tamat babak partama, giliran Poulsen pula mencatat nama dalam senarai penjaring dengan memanfaatkan bola muntah selepas penjaga gol Mainz Robin Zentner menyelamatkan percubaan Sabitzer.

Tiga minit selepas waktu rehat, Werner menjaringkan gol keduanya hasil gandingan bersama Nkunku. Minit ke-50, gol ketujuh menyusul apabila bek kanan, Nordi Mukie menanduk bola yang dihantar oleh Werner.

Werner melengkapkan hatrik keduanya musim ini dengan gol kelapan Leipzig hasil hantaran oleh Lukas Klostermann dalam kotak penalti.

Selepas maraih kemenangan terbesar mereka dalam saingan Bundesliga, Leipzig kini di kedudukan ketiga dalam liga di bawah Borussia Monchengladbach dan Borussia Dortmund.

Sementara itu tiga gol pada separuh masa pertama oleh Robert Skov, Pavel Kaderabek dan Jurgen Locadia memastikan Hoffenheim membelasah pasukan tercorot Paderborn dan meneruskan rentak cemerlang mereka dalam saingan Bundesliga dengan empat kemenangan berturut-turut.

Skuad kendalian Alfred Schreuder itu memulakan perlawanan dengan keyakinan tinggi selepas menang dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Seawal minit kedua, Skov telah meletakkan tuan rumah di depan menerusi sepakan percuma selepas penyerang, Ihlas Bebou dikasari Jamilu Collins.

Hoffenheim menggandakan kedudukan 13 minit kemudian apabila Pavel Kaderabak menyungkit bola hantaran Florian Grillitsch melepasi jangkauan penjaga gol Leopald Zingerle.

Kaderabak selepas itu menjadi pembekal gol ketiga oleh pemain yang dipinjamkan dari Brighton, Jurgen Locadia untuk menjadikan kedudukan 3-0 hanya selepas 25 minit permainan berlangsung.

Paderborn tidak mengalah dan cuba untuk bangkit pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan antaranya menerusi percubaan jarak jauh oleh Gerrit Holtmann.

Sergis Adamyan yang muncul hero pasukan sewaktu Hoffenheim menewaskan Bayern Munich turut berpeluang menambah jaringan. Namun percubaan dari jarak dekat berjaya diselamatkan oleh Zingerle.

“Pada separuh masa pertama, kami bermain dengan sempurna. Pemain saya melakukan apa yang kami mahukan. Mereka telah menunjukkan bakat, disiplin dan fokus sepanjang perlawanan.” kata Schreuder selepas perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Hoffenheim melonjak ke tangga kelima dengan 17 mata sementara menunggu beberapa perlawanan lain yang bermula lebih lewat.

Sementara Paderborn pula terus menderita dengan kekalahan kelapan mereka dalam 10 perlawanan dan terperosok di dasar liga.

Leave a Reply