Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee memberi peringatan buat barisan pemainnya supaya tidak terlalu memikirkan mengenai keputusan perlawanan persahabatan pramusim serta harapan tinggi yang diletakkan penyokong, sebaliknya mereka harus memberi fokus sepenuhnya agar dapat memperbaiki segala kesilapan dalam permainan sebelum liga bermula.
Menurut Ong, beliau jelas memahami segala harapan yang diimpikan para peminat untuk pasukan mencapai keputusan positif dalam apa jua perlawanan yang dihadapi, namun ketika ini pihak kejurulatihan masih dalam proses mengenal pasti segala kelemahan yang ada untuk diperbaiki bagi menyediakan rencana yang sesuai menjelang permulaan Liga Malaysia (Liga-M) tidak lama lagi.
Tambah beliau, keputusan perlawanan pramusim ini tidak wajar dijadikan kayu pengukur oleh para penyokong untuk memberi tekanan buat barisan pemain, sebaliknya ini suatu proses pembelajaran buat mereka untuk memperbaiki segala aspek kelemahan yang ada.
Skuad kendalian Ong Kim Swee semalam tewas kepada pasukan dari Liga Premier, Kuching City dalam siri perlawanan pra musim dengan keputusan 0-1 di Stadium Likas.
“Pasukan kami tewas dengan serangan balas, ini pasti memberi kami pengajaran, yang paling penting keputusan bukan untuk malam ini tetapi bermula Liga Malaysia nanti kami tidak boleh mengulangi kesilapan atau tidak dapat jaringkan sebarang gol.
“Ini lumrah pasukan tertentu bertahan melengah masa, bagi saya ini hanya suatu permulaan yang kami tidak boleh tertekan dengan situasi seperti ini, kami harus belajar,” katanya kepada pemberita menerusi Berita Harian selepas perlawanan itu malam tadi.
Sebelum itu, dalam perlawanan pertama Sabah pada 16 Januari lalu menyaksikan skuad tersebut mencatat keputusan seri 1-1 sewaktu menentang Kinabalu Jaguar FC yang juga merupakan pasukan dari Liga M3.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Dalam masa sama, perubahan strategi akan terus dibuat mengikut kesesuaian pasukan dengan kini mereka hanya menanti tiga tonggak import terbaharu yang bakal tiba minggu depan untuk menambah sengat dalam rencananya.
Sabah bakal menghadapi satu lagi perlawanan pra musim minggu hadapan untuk bertemu skuad bawah 23 kebangsaan (B-23) dan beliau berharap para pemain dapat membuktikan sesuatu yang lebih baik untuk memenuhi jangkaan para peminat.
Setakat ini Sabah berjaya mengekalkan dua tonggak import musim lalu iaitu pemain pertahanan, Park Tae-soo dari Korea Selatan serta pemain sayap lincah dari Indonesia, Saddil Ramdani sambil menunggu tiga lagi import untuk menyertai pasukan bagi memenuhi kuota yang disediakan.