Ketika sidang media pasca aksi minggu ke-5 Liga Super antara Penang FC dan Kedah Darul Aman, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak ada mengeluarkan kenyataan mengenai komentar negatif terhadap skuadnya.
Jika diamati, ia bukan hanya melibatkan skuad kendaliannya, tetapi kebanyakkan pasukan di Malaysia melalui perkara yang sama iaitu komentar negatif penyokong terutamanya di media sosial di saat ledakan internet kini.
Apa yang disampaikan Aidil Sharin ketika melihat skuadnya menundukkan Penang 2-1 di Stadium Bandaraya?
“Ini yang saya harapkan pemahaman baik daripada anda semua. Sebab terlalu banyak komen dan posting negatif sebelum perlawanan dan saya rasa ini bukan sesuatu yang baik untuk bola sepak Malaysia.
“Seperti yang saya sampaikan tadi, sebelum aksi, terlalu banyak posting negatif terutamanya majoriti ‘headlines’ yang mana saya tak tahu ia datang dari mana [tentang Ngah Wanja]. Saya tak tahu mereka melihat bola sepak atau tidak. [Saya rasa] Mereka harus membuat kajian yang lebih mendalam.”
#bolatime Ketika ini situasi bola sepak negara lebih dikuasai oleh netizen yang akan bertindak keterlaluan dengan maki atau 'menyerang' kelab, jurulatih dan FAM jika pasukan negara gagal memperoleh keputusan positif atau membawa pulang pingat emas.https://t.co/m8WcoUXWGu
— Harian Metro (@hmetromy) April 24, 2022
Ini pula komentar pengendali Sarawak United, B Satiananthan tentang situasi bola sepak negara dan netizen.
“Bagus untuk negara apabila [Brad] Maloney menyenaraikan barisan pemain terbaik. Saya nak bertanya adakah netizen bersetuju jika Maloney tidak dapat kesebelasan terbaik untuk dibawa ke Sukan SEA itu?
“Apa yang boleh saya katakan, jika tak dapat pingat emas kena maki. Beliau [Maloney] pun risau jika tidak dapat bawa apa-apa apabila ke Sukan SEA. Situasi sekarang bukannya saya mahu kata berkaitan FAM [menyebelahi FAM], namun situasi [ketika ini] adalah bola sepak [Malaysia] dikawal oleh netizen.”
Kenyataan tersebut adalah disebabkan terdapat suara-suara negatif tentang penundaan perlawanan liga bagi memberi ruang kepada skuad B-23 dapat menyenaraikan barisan terbaik mereka ke saingan Sukan SEA nanti.
Yin and yang represent the fascinating concept of duality, in which two opposing yet complementary forces make up a whole – a reminder to strive for balance in your daily life. Earth Day is tomorrow – celebrate by wearing your yin-yang jewelry! ☯️🌎 https://t.co/f0Lcl7PKni pic.twitter.com/bDsffpDUpx
— Ross-Simons Jewelry (@Ross_Simons) April 21, 2022
Adakah komen negatif memberi kesan langsung kepada prestasi atau suasana liga di Malaysia? Tidak dinafikan adakalanya ia memberi kesan positif atau negatif kepada pasukan. Tetapi, bolehkah mulut pengkritik ditutup?
Sukar untuk dilakukan kerana setiap yang positif, ada negatifnya. Setiap yang putih, ada hitamnya. Dan dalam falsafah Cina juga ada konsep yang dinamakan Yin dan Yang (gelap dan terang). Ia adalah kitaran kehidupan yang memberi keseimbangan dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Ia sesuatu yang harus diterima.
Tetapi, tidak dapat dipastikan komen negatif bagaimana yang dimaksudkan oleh Aidil Sharin mahupun Satia.
#TMJ: Jangan tangkap pengkritik saya, polishttps://t.co/5JupdENuu5 @PDRMsia @KBAB51 pic.twitter.com/WYcyDnjHFI
— Malaysiakini (BM) (@mkini_bm) May 30, 2016
Pasukan yang hebat pun tidak dapat lari daripada komen negatif dan pengkritik. Hanya kejayaan akan dapat menutup mulut mereka. Lihat sahaja bagaimana Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup mulut pengkritik mereka dengan lapan kejuaraan Liga Super. Tetapi, adakah ia akan mampu menutup sepenuhnya mulut pengkritik?
Tentunya tidak. Namun, selagi mereka meraih kejayaan demi kejayaan, mereka tidak perlu ambil pusing tentang komen negatif terhadap JDT. Mereka hanya perlu kekal fokus dengan apa yang dirancang oleh pengendali pasukan, Benjamin Mora dan pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Kembali ke komen atau persoalan negatif yang bermain di media sosial ataupun dikalangan pengkritik, adakah salah persoalan negatif ditimbulkan? Ia bergantung kepada penerimaan penerimanya. Lihat sahaja bagaimana wartawan yang mewakili Astro Arena, Faiz Gurun melontarkan persoalan ‘negatif’ kepada Ralf Rangnick.
" We definitely have a problem in DEFENDING "@akaljenuhpod speaks to Ralf Rangnick after @ManUtd 3-1 loss #ARSMUN #AstroEPL pic.twitter.com/sdnq34js9Y
— Stadium Astro 🇲🇾 (@stadiumastro) April 23, 2022
Kita tahu tekanan yang dilalui Ralf Rangnick bersama Man United saat ini. Prestasi buruk mereka memberikan gambaran tekanan yang dilalui berdepan kritikan dan komen negatif saban hari. Tetapi lihat sahaja bagaimana beliau menjawap persoalan dan komen yang mungkin boleh kita katakan negatif yang diberikan Faiz Gurun.
Adakalanya persoalan sebegini mampu membangkitkan semangat penerimanya. Masih ingat bagaimana bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar telah bangkit daripada kritikan terhadap prestasinya pada awal musim lalu?
Terikat 1-1 menentang Penang di Stadium Bandaraya, penulis berpeluang bertanyakan tentang kritikan negatif terhadap kapten skuad Hijau Kuning itu kepada pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak di sidang media.
Tegas Aidil Sharin sejurus perlawanan itu berakhir, “Saya rasa Baddrol [Bakhtiar] adalah pemain yang sangat berpengalaman. Saya rasa dia dapat mengawal situasi tersebut, walau apa pun yang beliau hadapi ketika ini.”
Baddrol Bakhtiar Bangkit Dari Kritikan, Muncul Penjaring Terbanyak Tempatan
“Bagi saya, saya tidak risau. Baddrol telah banyak membantu pasukan dan sentiasa beri yang terbaik sebagai kapten pasukan dan dia adalah ketua dikalangan pemain. Hari ini kita melihat dia main lebih baik berbanding aksi sebelum ini. Saya tidak risau [prestasinya] dan dia sentiasa bersama saya membawa pasukan ke depan.
“[Jadi] saya sangat hargainya. Apa yang saya dapat katakan, dia akan bertambah baik selepas ini,” ujarnya.
Penegasan dan kepercayaan Aidil Sharin terhadap Baddrol Bakhtiar dibalas segera oleh arkitek berusia 33 tahun itu. Lima hari kemudian, berdepan PJ City FC di Stadium Darul Aman, beliau telah meledak gol dan membuat satu assist untuk membantu mereka membenam PJ City 3-1 – kemenangan kedua mereka dalam liga.
Saat ini, JDT turut berdepan komen dan kritikan pedas selepas ‘dikendurikan’ Kawasaki Frontale 5-0 pada malam yang sama Kedah ‘bersedekah’ empat gol kepada Sabah FC. Apa respon Benjamin Mora terhadap kekalahan tersebut? “Saya tidak berasa kecewa dengan kekalahan itu,” tegas pengendali kelahiran Mexico itu.
Ini adalah sebahagian perspektif tentang kritikan atau komen negatif yang berlegar di media sosial. Tiada siapa mampu menghalangnya. Apa yang perlu dilakukan adalah pasukan membuktikan sebaliknya. Jika hanya terlalu mengharapkan yang positif sahaja, bimbang-bimbang ia mampu membuat kita terlampau terbuai dan hanyut.