Ini Aspek Yang Cheng Hoe Sudah Perbaiki Dalam Skuad Harimau Malaya Kali Ini

Apa yang Tan Cheng perbaiki Piala AFF 2020

Apa yang Tan Cheng Hoe sudah perbaiki dalam skuad Harimau Malaya di saingan Piala AFF Suzuki 2020 berbanding pada edisi 2018 yang menyaksikan Malaysia berjaya mara ke pentas final berdepan Vietnam?

Masih ingat kekurangan ketara skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara kejohanan, tewas 2-3 kepada Vietnam di pentas akhir?

Mereka tiada ‘percikan’ kreatif di jentera tengah. Gandingan di pivot berkembar yang digunakan pengendali, Tan Cheng Hoe bukanlah pemain yang memiliki kreativiti dan kemampuan untuk mencatur permainan negara.

Akram Mahinan dan Syamer Kutty Abba bukanlah pemain yang kreatif. Dalam dua perlawanan pertama, kedua-duanya kelihatan statik dan kaku walaupun Malaysia berjaya mengatasi Kemboja dengan keputusan 1-0 dan menang 3-1 ke atas Laos. Peranan yang Cheng Hoe beri kepada Syamer Kutty sebenarnya lebih ‘bebas’.

Piala AFF 2018: Corak Permainan Malaysia Di Bawah Tan Cheng Hoe

Selepas dua aksi itu, kita dapat lihat Syamer Kutty berjaya membaiki aspek tersebut dengan meninggalkan ‘kembarnya’ ketika Malaysia dalam fasa menyerang. Namun, masih Malaysia kurang ‘percikan’ kreatif.

Dalam skuad Malaysia di saingan Piala AFF 2020 kali ini, tampak Cheng Hoe membawa dua pemain yang mampu mencatur permainan. Kekurangan di edisi 2018 – kreativiti dari segi hantaran akhir dan playmaking dilihat sedang cuba diperbaikinya dengan kemasukkan ‘raja assist‘, Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal.

Namun, Harimau Malaya kali ini tiada pemain untuk membuat kerja-kerja kotor atau bahasa bola sepaknya, seorang pemain tengah bertahan. Akram Mahinan dan Kenny Pallraj mengalami kecederaan saat akhir ketika pentas final Piala Malaysia yang menyaksikan mereka beraksi untuk KL City FC dan menewaskan JDT.

Begitupun, kita tahu, Baddrol Bakhtiar boleh bertindak sebagai pemain tengah bertahan kerana itu adalah posisi sekundernya. Mungkin itu yang cuba digarap Cheng Hoe dalam aksi kedua ketika menang 4-0 ke atas Laos.

Dalam perlawanan pertama ketika mengatasi Kemboja 3-1, Malaysia mempertaruhkan Junior Eldstal di posisi tengah bertahan, namun ia hanya bertahan selama 27 minit sebelum Mukhairi Ajmal masuk menggantikannya.

Menurut pengendali itu, beliau melihat Junior Eldstal yang sudah dua tahun tidak bermain di posisi tengah bertahan bergelut dan Malaysia hilang cengkaman di tengah. Bersama Chonburi FC, beliau bermain di bek tengah. “Lebih kepada pertukaran taktikal selepas melihat dia gagal menyesuaikan diri,” ungkap Cheng Hoe.

Malaysia Laos AFF 2020 Grouping B
FOTO: AFF Official

Dalam aksi berdepan Laos, Malaysia menggunakan formasi taktikal 4-1-4-1 atas kertas, namun di dalam padang, adakalanya Mukhairi Ajmal akan membentuk pivot berkembar bersama Baddrol Bakhtiar, sementara Syafiq Ahmad akan lebih ke atas dengan peranan sebagai penyerang kedua, di belakang Luqman Hakim.

Mukhairi Ajmal yang cemerlang bersama skuad B-22 negara di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 tempohari mungkin masih ‘malu’ untuk mempamerkan sentuhan sebenarnya. Oleh itu, selaku pemain senior, Baddrol Bakhtiar adakalanya menjadi fokal kreativiti skuad negara ketika Malaysia dalam fasa melakukan serangan.

Malah hantaran lolosnya untuk jaringan ketiga Harimau Malaya yang disudahkan Shahrul Saad adalah hasil hantaran kemasnya disenaraikan sebagai ‘assist of the day’ oleh laman AFF Suzuki Cup. Selain itu, beliau juga terlibat dengan beberapa hantaran akhir ke kubu lawan, namun ia kerap kali disia-siakan jentera serangan.

Apa lagi mampu dikata? Beliau memang dikenali sebagai ‘raja assist‘ dan skuad negara kini mempunyai hub kreativiti berbanding edisi yang lalu. Mukhairi Ajmal juga sebenarnya memiliki gaya sentuhan yang sama. Ini antara beberapa klip hantaran-hantarannya yang mampu menghadirkan gundah kepada benteng lawan.

Inilah aspek yang telah Cheng Hoe perbaiki walaupun saat ini mereka berdepan masalah luar padang pula.

https://www.tiktok.com/@mi14._futboll/video/7039705946548931866?sender_device=pc&sender_web_id=6997768204521424386&is_from_webapp=v1&is_copy_url=0

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN