Park Ji Sung Mahu Son Heung Min Sertai Manchester United

Bekas bintang Manchester United, Park Ji Sung telah mencadangkan kepada Son Heung Min agar memulakan langkah untuk menyertai Manchester United.

Son tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain penyerang terbaik dalam saingan Premier League, dan jelas sekali beliau merupakan nadi utama untuk skuad Tottenham Hotspur.

Beliau menyertai Spurs pada tahun 2015 yang lalu dari Bayer Leverkusen dengan yuran perpindahan bernilai £22 juta.

Sejak dari awal ditandatangani, Son Heung Min telah berjaya menjaringkan 114 gol dan turut mencatatkan 67 assists dari 299 penampilan untuk kelab dalam semua pertandingan.

Park Ji Sung menegaskan yang rakan senegaranya itu bakal beraksi dengan sangat cemerlang bersama Manchester United dengan beliau menyatakan bahawa:

“Son telah membuktikan dirinya sendiri sebagai yang terbaik dalam saingan Premier League dan saya percaya dia cukup bagus untuk lakukan yang terbaik bersama United. Hanya isu kecil yang ada ialah nombor kegemaran dia nombor tujuh kini sudah menjadi milik Cristiano Ronaldo.”

Park turut menamakan dua pemain lain yang boleh beraksi cemerlang di Old Trafford selain Son Heung Min dengan beliau menyatakan bahawa:

“Tapi jika saya perlu pilih seseorang selain dari Son, saya akan pilih sama ada Hwang Hee Chan dari Wolves atau Lee Kang In dari Mallorca dengan kedua-dua pemain ini ada potensi yang bagus untuk jadi pemain yang hebat.”

Manchester United sebelum ini telah dikaitkan dengan duo serangan Son di Tottenham Hotspur, Harry Kane pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Seteru utama Man Utd, Manchester City turut berminat untuk mendapatkan Kane, dengan mereka pada musim panas lalu pernah menghantar bidaan bernilai £120 juta untuk mendapatkan bintang England itu namun ditolak oleh Spurs.

Son baru menandatangani kontrak selama enam tahun bersama Spurs, walau bagaimanapun ia bukan jaminan untuk Son tidak akan pernah meninggalkan Tottenham Hotspur.

Kekurangan kejayaan bakal menjadi punca utama untuk pemain berprofil tinggi seperti Son untuk pergi meninggalkan kelab.

Dalam temu bual yang sama, Park Ji Sung turut bercerita tentang bekas rakan sepasukannya Cristiano Ronaldo, dengan beliau memberikan pujian menggunung kepada pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu.

Park Ji Sung turut memuji Cristiano Ronaldo

Park Ji Sung turut memuji bekas rakan sepasukannya di Old Trafford, Cristiano Ronaldo yang membuat kepulangan semula menyertai Manchester United pada musim panas baru-baru ini.

Park menghabiskan masa tujuh tahun bersama Manchester United dengan beliau turut membuat lebih dari 200 penampilan untuk kelab.

Beliau berjaya memenangi empat gelaran Premier League bersama Manchester United sepanjang tempoh tersebut dan turut memenangi satu gelaran Champions League.

Sepanjang kariernya bersama Red Devils, Park Ji Sung turut pernah beraksi bersama Cristiano Ronaldo dengan beliau mendedahkan tentang betapa sukarnya untuk seorang pemain lakukan apa yang bintang Portugal itu lakukan pada ketika ini.

“Ia bukan mudah dan sangat sukar untuk seorang pemain kembali ke United selepas dia mengharungi waktu kemuncaknya bersama kelab, tapi saya fikir kalau ada pemain yang mampu lakukan hal itu, dia adalah Cristiano Ronaldo.”

“Apa yang paling penting, seperti yang kita semua tahu, dia merupakan pemain pertama yang akan tiba di padang latihan, dan orang terakhir akan pulang, itu sudah cukup untuk menunjukkan semangat dia terhadap bola sepak.”

Park turut menegaskan yang beliau langsung tak terkejut melihat Ronaldo masih boleh sebati dengan kelab walau pemain-pemain yang ada semuanya jauh lebih muda darinya.

“Orang kata persembahan dia sungguh menakjubkan walau dia sudah berusia 36 tahun, tapi sebagai bekas rakan sepasukan, saya sudah nampak dia buat semua ini dahulu, saya percaya ia benda biasa yang dia buat dan ia langsung tak mengejutkan saya.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN