Saingan Liga Super musim 2022 kembali bersambung setelah berehat selama sebulan demi memberi laluan buat skuad kebangsaan menghadapi siri perlawanan antarabangsa.
Lima perlawanan telah pun berlangsung dengan menyaksikan ada perubahan dalam carta liga apabila kini Sabah berjaya menghuni kedudukan teratas untuk mengutip 18 mata daripada lapan perlawanan.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS10#LigaSuper2022 pic.twitter.com/KugUMP1zNS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 19, 2022
Antara detik menarik minggu tersebut juga apabila Brendan Gan kembali memeriahkan persaingan liga setelah berehat lama kerana menjalani pemulihan daripada kanser testis.
Daripada lima perlawanan yang berlangsung, ada beberapa pemain berjaya mencuri tumpuan dengan gaya dipamerkan sangat mantap untuk membantu pasukan.
Herlison Caion
Penyerang import Selangor musim ini berjaya membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri untuk membuatkan para penyokong cepat melupakan bekas tonggak mereka, Ifedayo Olusegun.
Caion setakat ini sudah mencatat sembilan gol keseluruhan untuk mengikat kedudukan penjaring terbanyak bersama Bergson da Silva.
Pada perlawanan menentang Sarawak United baru-baru ini, Caion telah mencatat hatrik serta satu bantuan gol untuk menyumbang kejayaan terbesar Selangor dengan keputusan 7-0 mengatasi pelawat.
Brendan Gan
Setelah berehat agak lama daripada dunia bola sepak, Gan dilihat tidak mempunyai masalah untuk membuat kembali penampilan beliau dalam saingan Liga Super dengan cepat menyesuaikan diri dalam perlawanan baru-baru ini.
Kembali dari kecederaan dan pertama kali musim ini beraksi secara kompetitif, Gan telah pun meledak satu gol.
Lebih mengujakan, gaya permainan Gan masih lagi berkualiti dengan kerajinan beliau untuk bergerak di serata padang serta bijak membuat hantaran mencari pemain serangan.
Taiki Kagayama
Penyerang import dari Jepun ini berjaya memberi dimensi serangan lebih positif buat Sabah sejak awal musim ini.
Pada perlawanan lalu ketika menentang Sri Pahang, Kagayama berjaya meledak satu gol pada minit ke-18 untuk menjarakkan kedudukan semasa buat Sabah ketika itu.
Gerakannya yang lincah serta kualiti hantaran beliau membuatkan pertahanan Sri Pahang dihambat dengan mimpi buruk untuk mengekang pemain tersebut.
Manuel Hidalgo
Walaupun Sri Pahang tewas di tangan Sabah, kebangkitan yang cuba dilakar skuad kendalian Christophe Gamel pada separuh masa kedua banyak bermula dengan gerakan Manuel Hidalgo.
Pemain tengah lincah ini sering memberi masalah buat Sabah ketika itu yang dilihat sudah menurun intensiti permainan mereka dan membuka peluang buat Hidalgo untuk lebih banyak menyusun serangan.
Gandingan beliau bersama Sean Gianelli di separuh masa kedua nyata memberi beberapa peluang untuk Sri Pahang mendapatkan gol setelah kejayaan mereka meneutralkan kembali posisi tengah setelah dikuasai sebelum itu oleh Sabah.
Habib Haroon
Pemain import dari Bahrain yang beraksi di posisi tengah Terengganu ini pada awal musim mendapat sedikit kritikan daripada pemerhati bola sepak setelah permainan ditampilkan beliau kurang menyakinkan.
Namun pada perlawanan baru-baru ini ketika menentang Kuala Lumpur City (KL City), Haroon seolah mendapat keyakinan baharu untuk beraksi dengan lebih baik.
Ketenangan beliau mengawal bola serta bijak mencipta peluang menjadikan Habib selaku pemain terbaik perlawanan malam itu selain gol pembukaannya yang sangat menarik.