Menjelang aksi saingan Liga Super malam ini membabitkan pertemuan antara Kuala Lumpur City (KL City) menentang Negeri Sembilan, pastinya debaran sangat dirasai kedua pasukan tersebut untuk mengetahui siapa bakal membawa pulang tiga mata penuh.
KL City pastinya mahu mengekalkan momentum kejayaan mereka seperti aksi menentang Viettel FC lalu di peringkat separuh akhir zon Asia Tenggara Piala AFC.
Misi seterusnya!
Satu lagi perlawanan yang akan dilalui oleh skuad Jang.
Negeri Sembilan FC akan berkunjung ke Cheras dalam aksi Liga Super bertemu @KLCityFootball Khamis ini. pic.twitter.com/IYmhjXG2Sn
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) August 15, 2022
Buat Negeri Sembilan pula, mereka pastinya ingin terus melakar kejayaan positif dalam saingan Liga Super 2022 untuk terus mencari tiga mata penting agar dapat menghimpit kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah.
Ketika ini KL City berada di tangga keenam liga dengan 18 mata telah dikumpul mereka hasil 14 perlawanan telah dilalui kelab kendalian Bojan Hodak dan berpeluang melonjak kepada kedudukan lebih baik jika kemenangan dapat diraih.
Manakala pelawat, Negeri Sembilan pula selesa berada di tangga ketiga liga setelah kejayaan mereka mengumpul 32 mata untuk berada di tangga ketiga dengan jarak perbezaan mata agak jauh berbanding Terengganu di tangga keempat.
Ini tiga pemain yang dijangka bakal memberi impak penting buat pasukan masing-masing dalam misi untuk merebut tiga mata penuh demi mengukuhkan kedudukan pasukan masing-masing.
Paulo Josue
Jeneral tengah KL City ini antara pemain paling konsisten beraksi bersama pasukan dalam mana-mana perlawanan dihadapi mereka.
Paulo juga memainkan peranan penting pada perlawanan lalu ketika KL City mencetuskan serangan ke arah kubu lawan menerusi kreativiti dan ketenangan beliau mengawal di bahagian tengah.
Kelebihan Paulo terletak pada teknik kawalan bola beliau yang cantik, pakar dalam situasi bola mati, selain kreatif menyusun serangan buat KL City.
Herold Goulon
Pertahanan kental Negeri Sembilan ini boleh dikatakan sedang menikmati musim terbaik beliau bersama pasukan setelah berjaya memberi impak terbaik di bahagian pertahanan, selain menjadi antara penjaring terbanyak kelab.
Goulon setakat ini sudah pun mengumpul enam gol keseluruhan dalam saingan Liga Super 2022, dan berjaya membentuk kombinasi pertahanan yang bagus bersama Khuzaimi Piee.
Pemain ini boleh dikatakan aset utama Negeri Sembilan setakat ini kerana mempunyai kualiti sebagai seorang pertahanan yang sangat baik serta mampu menjana gerakan dari bawah buat pasukan.
Gustavo Almeida
Negeri Sembilan berjaya mengatasi masalah ketumpulan mereka di bahagian serangan, setelah kehadiran Gustavo Almeida pada pertengahan musim ini pada jendela perpindahan kedua lalu.
Selain Goulon yang sudah meledak enam gol buat Negeri Sembilan, Gustavo juga kini turut mencipta jumlah jaringan yang sama buat pasukan ketajaman beliau amat dirasai para penyokong.
Kehadiran Gustavo jelas memberi impak positif buat Negeri Sembilan menerusi persefahaman beliau ketika membentuk kombinasi serangan bersama seorang lagi penyerang, Matheus Alves.