“Sampai Bila? Tuan CEO” – Penyokong Kedah Luah Rasa Tak Puas Hati Pada Pengurusan

Kedah Darul Aman (KDA) terus dihantui episod kegagalan mereka untuk mencatat sebarang kemenangan apabila terbaharu mereka sekadar terikat seri bersama Sabah.

Dalam aksi Liga Super semalam, KDA pada awalnya bermula dengan sangat bagus termasuk berjaya meledak gol pertama perlawanan menerusi Ronald Ngah Wanja pada separuh masa pertama.

Namun, kelebihan tersebut gagal dipertahankan sehingga ke wisel penamat, apabila Sabah berjaya menyamakan kedudukan di penghujung separuh masa kedua hasil jaringan Farhan Roslan.

Jika diikutkan, KDA berpeluang melakar kemenangan setelah aksi ditampilkan mereka lebih bagus berbanding siri perlawanan sebelum ini.

Tetapi segalanya tampak tidak begitu menjadi pada aksi separuh masa kedua sehingga mereka membenarkan pelawat pula mendominasi perlawanan serta meraih jaringan penyamaan.

Pada aksi semalam, ada situasi yang mencuri tumpuan dari kawasan penyokong apabila satu kain rentang telah dipamerkan oleh kelompok peminat KDA yang telah meluahkan rasa marah mereka.

Kain rentang yang dipamerkan tersebut telah menunjukkan wajah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA iaitu Khamal Idris Ali dengan sedikit kenyataan berbunyi, “Sampai bila? Tuan CEO”.

Dalam masa sama, beberapa lagi aksi tidak puas hati para penyokong juga telah kelihatan di media sosial setelah ada dalam kalangan peminat memegang gambar CEO tersebut yang diubah menjadi badut.

Untuk rekod, kali terakhir KDA mencatat kemenangan pada 19 Julai lalu sewaktu mereka menewaskan Sarawak United dengan keputusan 3-1 di Stadium Darul Aman.

Selepas itu, KDA terus mencatat kekalahan berturut-turut dalam tiga perlawanan seterusnya termasuk aksi separuh akhir peringkat zon Asia Tenggara Piala AFC di tangan PSM Makassar, sebelum terikat seri semalam ke atas Sabah.

Kemarahan para penyokong rasanya bukan disebabkan keputusan perlawanan yang teruk sahaja, tetapi mereka juga diamuk rasa duka dengan prestasi pengurusan semasa ketika ini.

Menerusi KPI yang dipamerkan oleh pihak pengurusan sebelum itu dalam sesi perjumpaan bersama wakil kelab penyokong KDA, jelas ia juga menjadi salah satu sebab mengapa mereka tidak berpuas hati kepada pengurusan yang disifatkan tidak bercita-cita besar.

KDA pada musim ini boleh dianggap serba tidak menjadi berbanding musim-musim sebelum itu apabila mereka telah terkandas di pusingan suku akhir Piala FA lebih awal, serta semakin sukar pada keadaan semasa untuk merebut kedudukan lebih baik dalam carta liga.

Peluang untuk mereka ketika ini menyertai saingan peringkat antarabangsa musim hadapan juga boleh dikatakan semakin tertutup setelah dua saingan tersebut gagal dicapai KDA dengan baik hingga kini.

Apa yang boleh diharapkan oleh para penyokong KDA ketika ini adalah suatu langkah lebih positif dapat diterjemahkan oleh pihak pengurusan mengenai prestasi semasa pasukan.

Jelas para penyokong KDA ketika ini semakin muak dengan apa diberikan oleh pasukan menerusi keputusan yang tidak memberansangkan, tatkala kelab lain semakin mengorak langkah dengan hasil lebih positif.

Leave a Reply